Jumaat, 23 September 2011

Bahagiakah anak kita?

Petang tadi saya tertengok pula satu dokumentari yang sangat menarik lagi berinformasi! Saya mengikut gerak hati untuk melihat channel #731 Astro BioChannel. Tajuknya saya lupa pula. Saya tengok pun sudah separuh jalan. Tapi saya tak sabar untuk berkongsi dengan ibubapa lain di luar sana apa yang saya peroleh.

Dalam rancangan tu, mereka menemubual beberapa jenis keluarga dengan masalah anak-anak serta pengurusan rumahtangga masing-masing. Mereka membuat penyelidikan untuk melihat sejauh mana kebahagiaan anak kecil itu dapat dilihat dan dikesan sejak awal. Saya kongsikan apa yang saya dapat.

Keluarga ini pada awalnya (semasa anak 2 dan sedang mengandung yang ke-3) sangat bahagia walaupun suaminya seorang disleksia dan kedua-duanya tidak bekerja. Semasa temubual si isteri baru saja mendapat pekerjaan. Selang beberapa bulan setelah bayi ketiga dilahirkan baby Charlotte, berusia 5 bulan, mereka melihat kembali kondisi keluarga ini.

Si ibu ini seorang yang suka bekerja di luar. Katanya, dengan keluar dari rumah dan berjumpa orang ramai membuatkan dirinya dapat melupakan seketika rengekan dan hiruk pikuk anak-anak yang sangat merimaskannya. Konflik antara dia dan suami pula menjadi semakin teruk kerana suaminya tidak dapat bekerja seperti orang lain dan akhirnya suaminya yang lebih selesa menjadi surirumah, menjaga anak-anak. Sehinggalah klimaks konflik ini pada satu hari si suami keluar minum bersama kawan-kawannya dan pulang lewat malam dan si ibu menjadi sangat berang apabila dia terpaksa menjaga anak-anak untuk sehari suntuk. Mereka bergaduh besar sehingga mengancam untuk membunuh suaminya. Sebelum itu pun mereka sentiasa bergaduh setiap hari hingga mereka tidak boleh berjumpa lagi dan tak boleh memandang antara satu sama lain! Anak-anak diletakkan di tepi jalan saja apabila masa penjagaan bertukar di antara mereka.

Lalu ujian pemerhatian di makmal dilakukan.



1. Seorang bayi berusia lingkungan 6 bulan dengan seorang ibu yang tipikal dan dari keluarga yang biasa-biasa. Mula-mula si ibu menemankan si anak bermain. Kemudian, pakar memberi sedikit stres kepada si anak dengan memanggil si ibu keluar dari bilik. Si anak tinggal seorang diri melihat ibunya tiada lalu menangis tanpa henti. Lalu disuruh orang luar datang memujuknya. Si anak tetap menangis mahukan ibunya. Si ibu masuk semula ke bilik. Si anak tersenyum lebar dan berhenti menangis serta merta.

Dapatan pemerhatian : Adalah sesuatu yang sangat normal apabila si anak menangis bila melihat tiada ibu di sisi. Dia merasakan kebergantungannya pada si ibu. Merasakan insecure (tidak selamat) dengan kehadiran orang asing yang mendekatinya. Jadi, si anak tetap mahukan ibu sebagai lambang kasih sayang  dan keselamatan yang dia dapati hanya daripada ibunya.

2. Baby Charlotte berusia 5 bulan (dari keluarga yang diceritakan di atas tadi). Di dalam bilik yang sama, ibunya duduk di atas kerusi membaca majalah. Si anak bermain di bawah. Si ibu keluar bilik, si anak pandang ke arah ibunya lalu menyambung bermain seperti tiada apa-apa berlaku. Tiada tangisan, tiada rengekan.  Lalu, disuruh orang asing masuk ke bilik. Si anak lebih selesa dengan kehadiran orang asing yang bermain dengannya. Si ibu masuk ke bilik semula dan duduk di kerusi membaca majalah, si anak terus bermain menjauhi si ibu.

Dapatan pemerhatian : Pakar merasa sangat risau dengan respon si anak. Si anak hilang tempat kebergantungan pada si ibu. Si anak juga memang 'menjarakkan' dirinya dari si ibu kerana selepas ibunya masuk kembali ke dalam bilik dia terus membelakangkan badannya dari si ibu dan bermain jauh hingga ke pintu. Dia merasakan si ibu tidak penting dalam hidupnya malah lebih suka dengan kehadiran orang asing. (Si ibu sendiri mengakuinya kerana dia turut merasakan yang dirinya seperti tidak diperlukan oleh si anak).

Lalu pakar memerhatikan lagi si anak untuk mendekati ibunya. Si anak yang leka bermain semakin lama mendekati si ibu tetapi terhenti-henti dan mengambil masa yang lama. Ini menunjukkan si anak seperti trauma untuk mendekati si ibu dan konsep penjarakkan dan tidak bergantungan pada si ibu lebih difahami oleh anak. Tiada kasih sayang.

Setelah beberapa bulan selepas itu, mereka membuat tinjauan semula.

1. Si ibu tiada kedua belah tangan. Punya anak lelaki berusia dalam setahun ke atas. Tidak boleh duduk diam. Sering terjadi konflik antara anak dan ibu kerana si ibu gagal mengawal anaknya sehingga kadangkala ke rumah orang pun ibunya berasa malu disebabkan anaknya yang suka memanjat dan membuat sesuatu yang menimbulkan kemarahan si ibu. Lalu si ibu berjumpa pakar untuk memastikan ianya suatu tabiat buruk yang dicetuskan oleh anak atau ianya sesuatu yang diwarisi.

Ujian dilakukan dalam sebuah bilik melalui ujian ritma jantung.

Mula-mula, si ibu dan anak serta seorang pakar berada dalam bilik. Lalu disuruh ibu keluar. Si anak menangis mengikuti si ibu hingga ke pintu. Pakar memanggil si anak namun si anak tidak berganjak dan mahu membuka sendiri pintu itu (tempat ibunya keluar tadi). Pakar membuka pintu dan ibunya masuk kembali ke bilik tapi anaknya keluar dari bilik tak mahu masuk-masuk.

Dapatan pemerhatian : Ritma menunjukkan semasa di dalam bilik bersama ibu ritma jantungnya menaik mendadak (bermain, memanjat, melompat). Tapi bila ibu keluar bilik, ritmanya menurun serta merta. Dan bila melihat ibunya ada kembali di sebalik pintu, ritmanya kembali menaik! Itu menunjukkan bahawa si anak adalah seorang 'pencari keseronokan' a.k.a suka sesuatu yang adventure. Suka meneroka. Suka sesuatu untuk dicuba. Ianya bukan suatu tabiat buruk yang si anak develop sendiri tetapi ia ada dalam DNA si ibu. Rupa-rupanya si ibu mengakui yang dia juga seorang yang sukakan sesuatu yang adventure. Ujian ke atas ibu juga mengesahkannya. Orang yang suka adventure ini jika positif dia akan suka melakukan aktiviti yang mencabar seperti bungee jumping dan sebagainya. Jika tersalah ke arah negatif dia boleh terjebak ke arah penyalahgunaan dadah!  Lalu pakar memberitahu, jika kita ingin ubah perangai anak yang juga asalnya perangai kita (DNA kita) si ibu harus mengubah dirinya terlebih dahulu sebelum usia 30 tahun. Kerana tabiat seseorang boleh berubah-ubah dan menjadi betul-betul kekal apabila menginjak usia 30.

2. Si Charlotte tadi bersama ibunya. Untuk mengetahui samada wujud perubahan kasih sayang terhadap si anak. Ujian yang sama. Si ibu keluar bilik, si anak tidak menangis langsung dan terus bermain seperti biasa. Apabila si ibu masuk, si anak tengok ke arah ibu dan tersenyum lebar untuk beberapa ketika dan kemudian menyambung bermain.

Dapatan pemerhatian : Ritma jantung si anak pada mulanya menurun semasa bersama ibunya. Apabila ibunya tiada, ritmanya mencanak naik! Dan kemudian menurun semula apabila ibunya masuk ke dalam bilik. Kes ini tidak seperti kebiasaan. Walaupun tidak banyak namun ada sedikit perubahan. Si anak mula faham kepentingan dan kasih sayang ibu apabila tersenyum melihat ibunya masuk kembali ke dalam bilik. Lalu, barulah si ibu tersenyum dan mencium si anak apabila pakar memberitahu yang anaknya mula sayang kepadanya.

Di akhir rancangan ini kesimpulan yang diberikan sangat bagus.

Kebahagiaan adalah hasil kasih sayang. Terpulang bagaimana kita mahu membahagiakan anak-anak dan sebanyak mana kita mahu memberikan kasih sayang kepada mereka.

Dapatan pemerhatian saya :

Berhati-hatilah jika anak anda tidak menangis atau tidak takut langsung jika diberikan kepada orang lain. Apabila si anak lebih selesa dengan orang lain dan bukan kita, ibunya, anda harus merasakan sesuatu dan berbuat sesuatu mengenainya.

Jadi, jangan panik sangat kalau anak kita sentiasa menangis apabila berjumpa dengan orang yang tidak biasa dengannya. Kerana itu normal bagi anak kecil rupanya.

Jika terlalu kerap kita memarahi anak dan tidak suka akan tabiatnya yang merunsingkan, kita sebenarnya harus memarahi diri kita sendiri terlebih dulu. Anak-anak lebih dahulu mengenali siapa ibubapanya yang sebenar dari kita memahami dan mengenali anak-anak. Kerana apa yang mereka lakukan, fikirkan dan cakapkan semuanya hanyalah biasan kepada tindak tanduk, pemikiran dan keceluparan diri kita sendiri. DNA kita ibubapanya sudah wujud dan sedang membesar di dalam DNA anak-anak kita.


Kerana itu, muhasabah diri kita yang terbaik adalah anak-anak.

Saya teringat satu peristiwa. Ketika makan malam beramai-ramai di atas meja. Anak saya, Fathi (2 tahun) mahu makan sendiri. Selalunya dia ambil nasi di pinggan pakai tangan tapi dia minta sudu pula. Saya katakan baik-baik padanya, "Fathi, makan pakai tangan. Tengok abah, atok, nenek, semua orang makan pakai tangan." Fathi menjawab dengan cepat sekali."Mak?".... Baru saya tersedar yang saya sedang menghirup kuah rojak dengan sudu! OOoohoo, malunya saya!

Kesimpulannya (mengikut pandangan saya yang bukan pakar apa-apa ni), saya mahu kongsikan dengan semua ibubapa resepi kejayaan tokoh ibu mithali Malaysia 2007 yang saya sempat tengok sekejap pagi tadi. Kata beliau,
1. Sembahyang berjemaah setiap hari.
2. Makan beramai-ramai.
3. Mengajar sendiri anak-anak mengaji al-Quran.

Ya, saya suka menggabungkan penemuan barat dengan sesuatu dalam acuan kita sendiri sebagai umat Islam.

Untuk memastikan kebahagiaan anak-anak amat sukar jika kita hanya menilainya melalui kasih sayang ataupun melalui ritma jantung semata. Namun begitu, Islam datang dalam keadaam syumul (lengkap). Saya pasti jika setiap ibubapa berpegang dengan 'nilaian' Islam sebenar, maka berbahagialah si anak!

Solat berjemaah, makan bersama seisi keluarga adalah sesuatu yang mungkin menjadi rutin kebanyakan keluarga. Namun, alangkah bagusnya jika anak-anak dapat belajar sendiri mengaji al-Quran dari ibu atau bapa sendiri?

Kerana itu semua orang boleh mempunyai anak, mampu bermain bersama anak, boleh memenuhi kemahuan dan keperluan anak serta bersedia membesarkan anak. Namun, mendidik anak-anak amat jarang ibubapa sendiri melakukannya.

Bersiap sedialah dengan segenap ilmu di dada jika kita berhasrat menjadi ibubapa yang bukan saja melahirkan, membesarkan dan menjadi teman permainan malah dapat mendidik anak-anak dengan tangan sendiri. Hanya dengan kita mengajar anak-anak kita barulah kita akan tahu dan nampak warna sebenar mereka dan bagaimana kita harus mengawalnya. Tidaklah hanya membiarkan tugas ini kepada cikgu-cikgu di sekolah sahaja yang tugasnya hanya mengajar bukan mendidik. Mana yang masih belum cukup yakin, belajarlah dan berbuat sesuatu ke arah pemantapan ilmu agar anak-anak dapat merasai kasih sayang kita yang seikhlasnya seterusnya mendidik mereka dengan sempurna agar mereka dapat merasai buah kebahagiaan  di sepanjang kehidupan mereka seadanya.



Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...