رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 26 Julai 2011

# keluarga # sudut pandang

Dua mutiara hati..


Fathi dan Nurfatihah.


Bersama peminat setia blog ini.. ||Batrisya Amira Ramzi||. Cubaan untuk membuat 'peace'.


Dalam zon berangannya sendiri..


Siapa Tiha?? "Ni Taaaa"..


Aktiviti wajib hariannya..



Sejak ada anak dua ini masa saya untuk berFB dan berblog sangat berkurangan. Jika terbaca kenalan di dalam FB yang bercerita tentang anak, saya akan tersenyum sendiri dan berkata, "Dulu aku pun macam gini jugak....haha.. Tapi sekarang dah insaf!"

Maksud saya, dulu semasa Fathi masih seorang saya sentiasa upload gambar dia dan bercerita apa yang dia buat samada tergolek waktu tidur ke atau sudah mula pandai tersenyum. Tapi bila masuk yang kedua sudah tiada masa lagi untuk semua itu bukan tidak mahu update pasal anak kedua seperti anak pertama dulu.. Percayalah, kepada kaki-kaki FB anda akan berubah bila anak sudah ada dua nanti.. ngehngehngeh..

Mungkin agak berlainan sikit jika bagi mereka yang punya masa berFB di pejabat atau di tempat kerja lain. Haaa, yang ini mungkin tidak berubah sangat..

Walaupun saya tidak bekerja di luar, namun masa saya sangat terhad dengan masa bekerja di rumah. Waktu yang ada untuk saya bersosialisasi melalui internet ini hanyalah pada jam 10 malam ke atas dan selepas subuh hingga jam 8 saja. Oleh kerana saya mahu berubah untuk tidur sebelum jam 12 tengahmalam (untuk mendapatkan kesihatan yang optimum), selepas ini saya akan sempat untuk update blog hanya selepas subuh. Moga perubahan saya berjaya!

Kali ni saya nak bercakap tentang perangai anak-anak saya yang sangat maju sekarang.

Fathi berumur 2 tahun lebih. Dia masih belum dapat bercakap penuh lagi.. Tapi dia sudah mula bercakap ikut bunyi belakang huruf sahaja. Selalunya saya akan bercakap teka-teka dengan dia..

"Mak.. Mak.. Ea eak.. Ea eakk (berak)."
"O berak.. Taik dah keluar belom?"
"Tak. Tak.."
"Kalau Fathi nak berak betol bukak seluar sekarang. Berak dalam bilik air." (Kadangkala betul-betul dia buka seluar kalau nak terberak. Kadangkala dia cuma nak main air dalam tandas.. Tu yang penat nak layan..)

"Mak.. Mak.. Ea eakkk..." (sambil pegang pampers)..
"Jom masuk bilik air. Taik dah keluar belom?"
"Dah.. Dah.."
"Haa! Alamak Fathi apasal tak bukak seluar cepat-cepat.. Kan mak suruh berak dalam bilik air.."
"Tak.. Tak.." (Tak sempat). Saya pun bawak masuk bilik air..
"Tom.. Tom.." (Jom)..
"Pa.. Pa..." (Selipar).. Sekarang kalau masuk bilik air ada selipar khas untuk Fathi. Saya ambil dan letakkan di lantai tapi tergolek pula..
"Lek.. Lek.." (Tergolek)... Sambil mencangkung membetulkan seliparnya yang tergolek itu..

Di waktu lain dia selalu merengek meminta itu dan ini bila tengok katalog Giant yang sampai di rumah..

"Mak.. Nyum nyum!! Nak.. Nak..!"
"Ok boleh... Ambik lah.." Kadangkala saya bolehkan aje semua yang dia tunjuk sebab kalau cakap tak boleh mesti disambungnya dengan menangis.
"Mak, nyum nyum... Nak!!"
"Nak sekarang ke? Alamak, kita telefon abah la suruh belikan sekarang jugak! Fathi ambikkan telefon mak. Mak nak telefon abah eh.." (Walaupun telefon tu tak jauh mana pun tapi suruh dia ambik sendiri).. Buat-buat tekan telefon...
"Alamakkkk, abah tutup la telefon.. Abah gi masjid ni sembahyang. Abah tutup telefon macamana nak telefon abah ni?"
"Pon.. Pon..." (Telefon lagi).
"Tak boleh haaaa... Abah tutup telefonnya.. Abis macamana ni? Fathi ada idea lain tak macamana nak telefon abah?"
"Nenek..nenek.."
"Ha, pakai telefon nenek nak telefon abah?"
"Tak.. Tak.."
"Abis suruh nenek telefon abah?"
"Tak.. Tak.."
"Abis apa?"
"Tok.. Tok.."
"Ok.. kita tunggu atok balik masjid jap lagi eh.." Terus dia senyap dan tunggu kat depan pintu sambil bawa katalog tu tunggu atok dia balik masjid. Lepas tu, atok Fathi lah jadi mangsa belikan air milo dan yougurt yang dia nak..hehe..

Masa ketawa saya semakin bertambah bila Fathi dah mula pandai bercakap ni. Tapi masa stres tetap tak berkurangan bila kedua-duanya merengek dan menangis nakkan sesuatu. Fatihah, adiknya kurang sikit merengek, tapi kuat menangis dan meronta/merajuk jika tak dapat benda atau ditinggalkan.. Walaupun sekejap. Jadi, apa kerja pun susah nak buat di dapur. Kebiasaannya, saya akan buat cerita lain atau ajak mereka tengok burung/pokok/babytv untuk alihkan pandangan dan fikiran dia dari tertumpu apa yang dia nak saja-saja itu.. Dah diberi susu, makan, macam-macam tapi saja dia nak yang merepek.. Tu yang tak tahan tuh!

Tapi, bila tension atau kepenatan, Fathi akan datang pada saya..

"Mak, Lamm.. Mimm.."
"Ooo Fathi nak ngaji eh.. Ok.. Bismillahirrahmanirrahim."
"Lam."
"Mim."
"Nunn"
"Pandai anak mak.. Lagi?"
"Waooo"
"Laalip" (terberhenti lama).. Saya sambung..
"Hamzah"..
"Ya..!" Pastu saya sebut "Wassalaaaa"... Dia sambung.. "muuuuuuu".. Pastu baru saya masuk sambung..
"Alif".. Dia sambung..
"Abaaaa.."
"Taaaa.." Tu dia laju sebab lepas abah dia ialah Ta (Tiha) dalam hidup dia.. haha! Pastu saya akan sambung sampai jum Lam semula dengan gaya-gaya penuh perasaan untuk gambarkan setiap huruf.. Dia akan tiru sebijik-sebijik gaya yang saya buat..

O ye, Fathi mengaji bukan bermula dengan Alif Ba Ta dulu tapi dia mula dengan Lam Mim Nun dulu.. Kalau mula dengan Alif dia tak faham dan dia akan sebut Lam awal-awal dulu.

Sama jugak macam sebut nombor, Namm(6), Juh(7) tetiba Pe (8) stail klantan... Dia tak sebut no Tu(1), wa(2) dulu..

Fatihah agak berbeza dari abangnya.. Dia belum pun masuk 1 tahun 2 bulan sudah laju berjalan. Kadangkala berlari bila tiap kali atok atau abah dia pulang dari kerja, nak masuk rumah.

Fatihah sangat pantas! Saya tengah suapkan dia makan tapi tangannya sudah menolak pinggan jatuh.. Saya baru letak nasi panas atas meja di hadapan suami saya baru nak pusing badan tangannya sudah capai nasi itu. Dan akhirnya ibu jarinya sekarang sudah berbalut sebab luka seperti terkena minyak panas.

Sakit sakit pun masih tetap tak reti dok diam.. Dikeluarkan semua buku lama atoknya dari rak dan jarinya masuk habuk menjadi semakin merah.. Abangnya tak pernah sentuh buku dalam rak tu tapi dia selalu meniru Fatihah kalau dia buat apa saja.. Itu yang saya selalu marah! Hatta, adik jalan terkangkang-kangkang (gaya budak baru berjalan) Fathi akan tiru sebijik gaya adiknya itu berjalan di belakang adiknya..

Fatihah memang suka memanjat.. Sangat bertenaga!!! Dah banyak kali dia buat stunt. Sebab tu banyak kali dah nangis sebab jatuh. Tak larat dah nak marah.. Marah pun bukan dia faham. Tengokkan jelah sambil selamatkan mana yang sempat..hehe.. Tapi, bila di depan orang, dia dan abangnya berperangai elok. Senyap je macam tak bersalah. Dan mampu duduk diam cecah 2 minit tanpa bergerak langsung! Tu yang orang tengok budak berdua ni baik je tertib depan orang lain.. Senang nak jaga kata mereka.. Huh tapi, mereka itu tak tahu macamana rupanya bila tiada orang yang dikenali!

Persamaan keduanya suka azan dan sembahyang bila saya suruh sembahyang.. Cepat je dia tunduk cium lantai (sembahyang).. Dan kedua-duanya walau berbeza umur sudah mampu memahami arahan yang saya beri.. Ya, Tiha sangat bergeliga.. Hatta, dia tahu kat mana nak buang pampers kotor dan suruh saya tukarkan pampers abangnya semasa abangnya tidur.. Tapi, bila bermain sangat suka bersama-sama nak-nak terjun atas tilam lepas tu golek-golek dan memanjat tilam satu lagi di atas satu tilam di bawah.

Begitulah perangai anak-anak yang bermacam.. Saya dah tak mampu untuk marah tapi vokal saya semakin membesar kerana menjerit setiap hari. Ya, sebolehnya saya tidak mahu menjerit pada anak-anak. Tapi, kadangkala saya sedang membuat kerja lain dan dia juga membuat kerja-kerja eksperimennya sendiri jadi, terpaksalah saya menjerit dari jauh untuk hentikan dia untuk teruskan kerjanya. Jadi saya ada sikit masa untuk berkejar ke tempatnya dan menyimpan semua alatan yang dia ambil sendiri itu. Jika tidak ada aksi sebegitu biasanya saya hanya akan ia kan saja apa yang dibuatnya dengan kawalan di depan mata saya. Tapi, realitinya banyak lagi kerja saya nak buat di rumah bukan hanya duduk goyang kaki dan jaga anak saja. Itu yang menyebabkan saya percen saya tension agak tinggi berbanding saya ketawa setiap hari.

Kehidupan begini walaupun agak sukar namun puas. Banyak kepuasannya. Biasalah, dalam hidup ni setiap apa yang kita buat pasti ada 'kos lepas'nya. Ya, kos lepasnya sudah pasti saya tidak dapat menjalani hidup sosial saya bersama teman-teman seperti dahulukala (menyebabkan saya selalu rasa kesunyian tanpa teman berbual atau teman 'lepas laku') di samping saya tidak dapat menikmati gaji tetap yang lumayan setiap bulan seperti teman-teman seUIA saya yang sudah bekerjaya mewah yang lain.

Kerana itu saya gemar mendengar slot motivasi di Ikim.fm seperti bersama Dr. Muhaya hari Rabu (pagi) dan Ust. Pahrol Juoi hari Isnin (petang) untuk menaikkan motivasi diri yang sentiasa tertekan dan keletihan ini.

Saya bersetuju untuk berpegang seperti kata-kata Dr. Muhaya..

"Buang perkataan takut, susah hati, risau, kalau... DELETE semua perkataan itu. Fokus pada nikmat yang kita ada bukan masalah. Mukmin yang berjiwa besar tidak mengambil hati atau berkira pada apa yang orang lain kata dan pandang. Yang lebih penting apa yang ALLAH kata dan apa yang ALLAH pandang.. Lebih baik lagi dia tidak mengharapkan penghargaan orang kepadanya. Namun, lebih mengharapkan keredhaan ALLAH.."

Ust. Pahrol juga banyak mengeluarkan ayat-ayat yang saya lebih tenang mendengarnya kerana bertepatan dengan prinsip yang saya pegang selama ini.

"Walau apa kerja yang kita lakukan sekalipun samada doktor, arkitek, engineer, jual nasi lemak, surirumah kita harus menjadi seorang profesional dalam bidang kita sendiri. Jika jadi surirumah, jadi pengurus rumahtangga yang profesional, yang tahu selok belok mengurus dengan baik. Semua itu perlukan ilmu."

"Mendidik anak sedari kecil umpama mengukir di atas batu. Mendidik anak ketika sudah dewasa umpama mengukir di atas air."

Kerana itu saya mengambil keputusan yang tidak popular ini untuk meneruskan kerjaya saya dalam bidang pendidikan anak-anak sedari kecil dan rumahtangga. Prinsip saya ada di dalamnya. Kerana waktu mereka kecil tidak akan berulang kembali. Masanya sangat singkat untuk diatasi. Namun, kita takkan tahu apa yang bakal menjadi esok hari sesudah kita berusaha di awal hari..

Moga mutiara hati saya ini dan seterusnya akan dapat digilap hingga dapat memancarkan sinarnya kepada seluruh umat akhir zaman bila sudah sampai masanya kelak. InsyaAllah..



Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor