Jumaat, 4 Mac 2011

Kenapa saya terus menulis blog?


Saya terbaca semula penulisan saya yang lama dulu semasa saya masih menetap di KL. Saya kemukakan di sini kembali agar ia masih dapat dibaca dan dapat membugarkan kembali niat asal saya terhadap penulisan blog ini.


Wahai anak-anakku....

Seperti tagline Ust. Hasrizal pernah sebutkan, saya ni bukanlah ibu mithali tapi ibu realiti. Saya cuma mahu berkongsi apa yang saya fikirkan dalam soal pembentukan anak-anak zaman sekarang. Mudah-mudahan ada juga perkara yang boleh dipersetujui bersama agar generasi selepas kita ini masih mampu dibentuk ke arah yang benar.

Saya dan suami dari dua benua yang jauh. Johor-Kelantan tak lah jauh mana pun..hehe.. Latar belakang yang berbeza, pendidikan awal yang berbeza, asal sosio-ekonomi juga berbeza. Kadangkala, sesetengah perkara dalam rumahtangga sekarang ini pun kami punya pendapat yang berbeza. Tapi, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami ada pandangan yang sama terhadap pembentukan awal anak-anak. (Yelah, anak saya masih kecil lagi. Itu praktikalnya.)

Suami pernah bercerita. Masa kecil dulu dia dan adik-adik bawahnya dijaga oleh seorang pengasuh yang datang ke rumah. Ma (ibu mertua sayalah sekarang) dulu seorang wanita berkerjaya. Penoreh getah. Keluar rumah subuh sebelum matahari keluar lagi, balik rumah biasanya tengahari dalam lepas Zohor kadang-kadang sampai ke petang. Kalau lepas beranak sekalipun hari ke tiga biasanya dah menoreh semula dengan menggendong anak di belakangnya. Jadi, ma terpaksa ambil pengasuh untuk memasak dan menjaga suami dan adik-adiknya masa tu.

Dia ingat lagi, pengasuhnya yang terakhir seorang budak remaja dalam belasan umur. Ma ambil dia jadi pengasuh sebab dia orang susah, tak sekolah dan bolehlah tolong masak, kemas rumah sebelum ma balik kerja. Oleh kerana pengasuhnya tu belasan umur lagi jadi satu hari ni dia leka bermain dengan suami saya dan adik-adiknya (masa tu diorang dalam 3-4 tahun). Bila ma balik je tengok nasi tak masak lagi, rumah lintang pukang! Ma terus pecat pengasuh tu takyah kerja lagi. (Suami kata dulu ma adalah seorang yang sangat tegas!hehe..)

Sejak dari tu ma tak ambil pengasuh. Kena jaga diri sendiri. Tapi satu je, walau sesiapa pun yang jadi pengasuh dulu suami kata yang paling penting ma ajar anak-anaknya mengaji Muqadam-Quran sendiri. Pernahlah dulu suami kata dia belajar Quran dengan orang lain sekejap tapi bila ma dapat tahu banyak main dari belajar, terus berenti belajar Quran kat rumah orang. Ma yang ajar sendiri!

Air liur ibu inilah yang menjadi titik persamaan antara saya dan suami.

Lepas kahwin dengan abah, mak memang tak bekerja. Mak saya membesarkan kami adik beradik dengan sepenuh tenaga dan masanya walaupun masa tu mak punya impian sendiri yang belum tercapai. Mak yang ajar saya dan adik beradik belajar mengenal huruf samada jawi atau rumi. kadangkala je abah 'take over' ajar Quran dengan rotan di tangan.. haha...Biasanya, Along dengan Alem la yang selalu jadi mangsa sampai kena kurung dalam bilik belakang rumah sebab merangkak baca Quran! hehe.. Oleh sebab saya rajin sikit 'praktis' baca Quran jadi biasanya saya terlepas dari kena rotan abah! (woooo, jangan cakaplah kalau abah dah angkat rotan tu wooo... Tu yang sampai berapa banyak kali rotan bertukar dalam masa seminggu sebab tetiba rotan boleh hilang.. Angkara komplot anak-anaknya lah siapa lagi yang sembunyikan rotan tuh.)

Bila sessi bercerita zaman kanak-kanak dengan suami memang sangat best! Tahu asal usulnya, corak dia dibesarkan.. Sesuatu yang menarik dan baru untuk dijadikan bahan ketawa dalam rumahtangga.

Kami berdua tak pernah sambut harijadi. Maksudnya semasa kecil dahulu orangtua suami dan mak abah saya juga tidak mempraktikkan sambutan harijadi jenis tiup-tiup lilin ni. Takde! Tapi, sekurang-kurangnya saya merasa juga semasa belajar dulu, kawan-kawan yang baik hati buat jugak 'birthday party' untuk saya. Dapatlah merasa sikit. Tapi suami takde langsung..

Walaupun saya pernah merasa kedua-dua situasi begitu, di akhirnya saya merasakan apa yang mak selalu buat semasa harijadi saya dan adik beradik yang lain iaitu memasak pulut kuning dan menghantarnya ke masjid adalah yang paling baik. Lebih mendamaikan jiwa sesuai peningkatan umur sebagai seorang hamba Allah.

Di sinilah saya dan suami menyetujui yang pendidikan awal anak-anak ini harus bermula dengan seorang ibu yang melahirkan seterusnya menjaga dan mendidik bukan sekadar mengajarnya tentang ilmu yang pelbagai. Kami juga menyetujui anak-anak ini tidak harus diajar tentang 'kelazatan' dunia sejak awal lagi. Saya setuju tentang itu tapi bab praktikalnya saya akui yang saya agak lemah kerana kadangkala saya sendiri cuba untuk mengimbanginya agar kelak dia tidak mencari kelazatan itu sendirian bila sudah bergaul dengan rakan-rakan yang bermacam.

Cuma pada asasnya, suami akan marah jika saya menidurkan anak di hadapan TV, membiarkan anak tengok tv lama-lama. (Ermmm, kadangkala bukan anaknya yang tengok tv tapi maknya.hehe..) Sampai saya pun kena marah sekali.

Membiarkan anak melihat kita bersembahyang.. Biarlah dia tertonggeng-tonggeng meniru pelakuan kita semasa solat, duduk bermain sejadah semasa solat. Mendengar kita membaca al-Quran. Biarlah dia mengacau mahu memegang al-Quran bersama. Asalkan dia tahu dan nampak apa yang kita buat dan cuba sampaikan. Kelak, anak-anak ini akan terbiasa. Sepertimana saya ingat lagi suasana emak dan abah bersembahyang jemaah di ruang tamu rumah semasa di Muar dulu. Perasaan itu sungguh mendamaikan walaupun semasa itu saya berumur dalam 5-6 tahun dan tak tahu bersembahyang dengan betul lagi tapi saya ingat 'perasaan' itu..

Suami juga berpendapat tidak perlu membawa anak ke tempat orang berhibur seperti karnival atau membiasakan mendengar lagu-lagu yang membingitkan. Biasanya saya lah yang mintak untuk berjalan-jalan ke tempat seperti Jom heboh (kadang-kadang) tapi suami selalu berkeras tak mahu. Dan akhirnya kenalah mengalah sebab bila fikir balik pun tak bagus juga awal-awal lagi dah dedahkan anak ke tempat-tempat sebegitu. Nanti dah besar dia minta selalu pergi ke acara seperti itu.

Semuanya nampak idealis.

Saya tak pasti pendidikan yang kami beri kepada anak-anak ini dapat meresap ke jiwanya kelak agar mencari sesuatu yang bukan hanya berbentuk hiburan semata. Kadang-kadang memang tak salah berhibur. Tapi, dalam dunia sekarang dah terlalu banyak orang yang suka berhibur, cinta dunia hingga takutkan mati (hubbud duniya)- satu penyakit sosial yang bermaharajalela sekarang. Kat dalam kereta tu suami cuma dengar lagu nasyid je. Saya taklah sefanatik tu. Awal-awal kawin dulu boring jugak, bila dah lama ni dah macam terbiasa pulak bila keadaan sebegitu, anak jadi tenang dan mudah tertidur bila masuk kereta.hehe.. (Yang ni sebab keturunan pun ada jugak, ikut maknya yang suka tidur dalam kereta.)

Saya dan suami mengakui yang kami masih setahun jagung dalam mendidik anak-anak ini. Tapi, rujukan kami adalah ibubapa kami yang berjaya mencorakkan kami seperti hari ini. Saya percaya dalam apa hal sekalipun, nekad seorang ibu atau pemikiran seorang ibu / intuasi seorang ibu itu perlu kuat untuk membentuk apa yang akan terjadi pada anak-anaknya pada masa akan datang.

Jika kita hanya menggambarkan apa anak kita akan jadi pada masa hadapan tanpa disertakan ilmu yang betul, ia akan memakan diri. Jika kita bekalkan ilmu yang betul dengan keyakinan dan gerak hati yang kuat, insyaAllah, mereka akan menjadi seperti apa yang ada pada dirinya sendiri.Tak perlu menjadi apa yang kita inginkan cuma.

Ibubapa mana yang tidak meletakkan harapan pada anak-anak. Harapan yang bermacam-macam. Tapi, saya dan suami cuma berharap agar anak-anak kami ini menjadi seperti fitrah yang sudah ditentukan ke atasnya kelak. Tak kiralah samada baik atau buruk tak bermakna mereka perlu membesar dengan sempurna. Kesenangan, kemewahan, apa saja minta terus dapat. Oh tidak! Dengan itu semua tak bererti kehidupan yang sempurna.

Cuma kami ingin membekalkan ilmu untuk mereka sesempurnanya. Dalam hal sebegini saya banyak belajar dari mak, bertanya pada ibu mertua, minta pandangan dari abah melalui buku tarbiyyatul aulad (Imam al-Ghazali). Dan seuniknya, saya gemar memerhatikan bapa mertua saya kerana dengan memandang urat-urat dan kerut-kerut pada tangan dan mukanya saya dapat 'belajar' sesuatu tentang kehidupan walaupun kami jarang berbual dan bertukar pendapat.

Seperti niat asal saya memulakan blog ini adalah untuk meninggalkan secebis kenangan dan titipan untuk anak-anak saya pada masa akan datang. Agar mereka tahu apa yang mereka tak pernah tahu di awal kewujudan mereka di dunia.

Saya selalu berdoa sambil mengusap-usap ubun-ubun anak-anak semasa lenanya agar menjadi seperti nasihat di dalam surah Luqman ayat 13 & 17.

"Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya".

Itu sajalah permintaan dan harapan saya sebagai seorang ibu...

Anak-anak emak. Di masa hadapan, kamu bakal melakukan apa saja tak kira yang baik atau yang buruk, maka belajarlah dan fahamilah di sebalik setiap perkara itu. Berfikir, ambil iktibar dan perbaiki diri. Jika tersalah langkah, pulanglah ke asal pendidikan emak dan abah bekalkan sedari kecil ini. Semoga kamu semua bersabar dan tabah melihat segala yang berlaku dalam hidup ini, baik atau buruk, berjaya atau tidak adalah semuanya mengenai ilmu dan kekuasaan Allah yang perlu menjadi tunjang pasak dalam hidup kamu semua.

source : http://ija.smach.net/node/100

Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...