Langkau ke kandungan utama

Berdoalah!

Saya amat menyukai cara penyampaian Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang (selain daripada Ustaz Zahazan). Kata-kata dan ayat yang digunakan sangat santai dan sangat jelas. Hari Isnin yang lepas saya berkesempatan menonton siaran Halaqah edisi ulangan bertajuk 'PASSWORD DOA'.

Saya tengok tu pun sudah agak sampai di pertengahan. Tapi apa yang paling menyentap ke jiwa saya beberapa poin yang menarik yang saya ingin kongsikan di sini. Mudah-mudahan juga akan datang anak-anak saya dapat membaca artikel ini ketika saya sudah tiada lagi di sisi mereka agar dijadikan azimat dalam kehidupan.

Pada satu hari, seekor ular masuk ke dalam rumah. Ada seorang anak kecil di dalam rumah itu bersama ibunya. Ular itu sedang berdiri betul-betul di hadapan anak kecil itu. Di dalam pengetahuan dan ilmu si ibu ular itu merbahaya. Ia harus dijauhkan dari anak itu dengan segera! Manakala, di dalam pengetahuan dan ilmu si anak kecil itu, ular tersebut dilihatnya sebagai barang mainan. Dia ingin sekali mengejar dan menangkap ular itu!

Begitulah... Allah s.w.t. lebih Maha Mengetahui. Dia lebih tahu dan mempunyai setinggi-tinggi ilmu di dalam alam semesta ini.

Kerana itu, jika kita berdoa tetapi selalu saja tidak dimakbulkan oleh Allah, janganlah kita gusar dan bersusah hati kerana Allah lebih mengetahui apa yang paling baik untuk kamu. Walaupun di dalam pengetahuan kita dan ilmu yang kita ada (logik akal) kita harus mendapatkan sesuatu yang kita pandang baik tetapi mungkin saja di dalam ilmu Allah itulah yang paling buruk untuk kamu.

Jika kita punyai anak-anak yang degil tidak mengikut kata, berdoalah! Jika hari ini keadaan masih juga serupa, tidak ada apa yang berubah mengikut apa yang dipinta. Bersabar. Teruskan berdoa lagi. Kita tak tahu bila doa itu benar-benar diperkenankan oleh Allah apabila tiba masanya yang terbaik.
Jika hari ini dalam ilmu teknologi maklumat semuanya harus mempunyai password untuk diperkenankan masuk ke dalam satu-satu sistem, begitu juga doa. Juga mempunyai passwordnya.

Password doa itulah ialah Y2K.

Y2 - Yakin. Perlu dua kali yakin. Yakin apa?

1. YAKIN Allah sentiasa mendengar permohonan dan harapan kita melalui doa. Allah tidak pernah zalim terhadap hambaNya yang sentiasa meminta. Yakinlah Allah mendengar.

2. YAKIN Allah akan memakbulkannya. Bila? Bagaimana? Macamana? Itu semua adalah kerja Allah. Dia lebih mengetahui apa yang baik untuk kita. Bila waktu yang sesuai untuk dimakbulkan permintaan kita. Bagaimana dan bila itu tidak perlu kita fikirkan. Kita hanya berusaha, tawakal dan yakin kalau bukan sekarang, lambat laun permintaan kita itu akan dimakbulkan. Allah sedang menguji kesabaran kita.

K - Khusyuk. Bagaimana untuk khusyuk?
Jika kita berdoa dengan mengucapkan bacaan dalam bahasa arab yang kita hafal saja mungkin kita tidak faham sebetulnya setiap maksud butir ayat tersebut. Berdoalah mengikut apa yang kita fahami dan yakini. Berdoa dengan sejujur hati dan faham apa yang kita maksudkan.

+ Berdoa dengan ADAB. Dimulai dengan 'Alhamdu' (alhamdulillahi rabbil 'alamin) dan selawat nabi. Dan diakhiri juga dengan selawat nabi dan 'alhamdu' (walhamdulillahi rabbil 'alamin). Di tengahnya adalah doa-doa yang kita minta tapi sebaiknya didulukan doa-doa yang ada disebut di dalam al-Quran. Seperti 'Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina...' dan 'Rabbana aatina fiduniya hasanah...'

Dan doa yang terbaik untuk dibaca oleh ibu-ibu tak kira ada anak bermasalah atau tidak ialah 'Allahummaj'alni muqiimas solah wa min zuriyyati..'

Dibawakan contoh lagi. Ada seorang pegawai. Dia selalu berdoa agar dinaikkan pangkat dan tangga gaji. Tapi, setiap hari dia berada dalam kesedihan kerana doa itu nampaknya belum termakbul lagi. Dia tidak dapat naik pangkat lagi walhal dia selalu berdoa dan bertahajud dengan adab-adab yang sempurna kepada Allah. Namun, akhirnya dia tetap di dalam keluh kesah. Rupa-rupanya setelah beberapa tahun dia berkeadaan begitu sehinggalah dia terfikir. Selama ini dia terlalu mengutamakan pekerjaannya saja tanpa dia sedari suami dan anak-anaknya selama ini terabai dek kerana kesibukannya. Jika dia dinaikkan pangkat lagi kemungkinan dia akan menzalimi anak dan suaminya lebih teruk lagi kerana kesibukan pekerjaannya tanpa banyak alasan.

Begitulah... Kadang-kadang, kita punya doa agar segera dimakbulkan dan kita dapat dengan segera.

Kadang-kadang ada doa kita perlukan segera tapi Allah makbulkan selepas beberapa ketika mungkin beberapa tahun, mungkin beberapa zaman.

Dan kadang-kadang kita punya doa yang baik tapi Allah tidak makbulkan langsung.

Itu semua adalah hak Allah. Kita hanya harus meminta agar apa yang di dalam pengetahuan kita dan kita rasakan baik itu dapat dimakbulkan. Tapi bila, bagaimana dan macamana Allah perkenankan itu bukanlah urusan kita lagi.

Apa yang penting, berdoalah! Berdoa tanpa rasa berputus asa dan gundah gulana jika ianya masih belum diperkenankan dan tidak dapat diperkenankan. Teruskan berdoa. Mungkin saja kita terselamat dari bala bencana dan maksiat yang berpanjangan hari ini disebabkan berkat doa nenek moyang kita satu masa dahulu...



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Permohonan tauliah guru al-Quran negeri Johor

Kerana makcik itu....... (Al fatihah). Stage 1. Alkisah, satu masa dahulu selepas sessi rehearsal dengan seorang ketua kumpulan yasin di Taman Universiti ini untuk majlis khatam al Quran sehari sebelum majlis pernikahan pada 16 Mei 2008, makcik ini menyuruh saya segera mendapatkan tauliah untuk mengajar ngaji. Ketika itu pada usia 26 tahun, saya hanya tertawa kecil dan berfikir yang tauliah mengajar ngaji tidak termasuk langsung dalam senarai kerjaya idaman saya. Maklumlah, graduate UIAM. (Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya). Lagipula, saya membayangkan tauliah sebegitu hanya untuk makcik makcik veteran sahaja. Saya tidak nampak keperluan saya berbuat seperti yg disarankan beliau. Lalu, saya diamkan saja. Allah Maha Berkuasa.

Bagaimana nak daftar pertubuhan alumni di ROS?

Semuanya bermula daripada satu idea. Semasa kami mendapat perkhabaran yang sekolah lama kami menghadapi sedikit kekangan untuk membaikpulih fasiliti, ada beberapa suara yang berbunyi "Sekolah dah tak ada duit ke?" - "Duit kerajaan pergi mana sampai semua dana dipotong?" Ini fenomena biasa. Semua orang berhak bertanya begitu dan begini. Itu hak mereka. Namun, saya tidak mahu memberi banyak alasan dengan hanya bertanya ke sana ke sini mengenai sesuatu yang kita sendiri tidak pasti malah tiada jawapan mengenainya. Jauh sekali mahu berspekulasi serta membawa sisi pandang ke arah 'mencari kesalahan orang lain'. Ia tidak membawa apa-apapun manfaat. Tiada hasil. Lalu, saya mendapat mesej daripada salah seorang kawan lama yang menyatakan hasrat jika boleh diwujudkan satu akaun khas bagi alumni menyalurkan semua sumbangan dana berbanding mengumpul melalui akaun persendirian, itu adalah lebih baik. Kelak, mana tahu sumbangan itu boleh dimanfaatkan me...

99 hari emak yang kuat - Krukenberg

Sejak Julai lalu tak update blog ni. Entry terakhir pada bulan terakhir sambut birthday sama-sama dengan mak buat kali terakhir - 13 & 14 Julai 2019. Dan kemudian Allah izinkan saya mengadakan bengkel bedah buku yang terakhir sebelum saya nekad melepaskan semuanya demi menjaga dan merawat emak sepenuh masa dengan tenang. Alhamdulillah. Kita diberi pelbagai nikmat dan kegembiraan bersama-sama sekeluarga. Alhamdulillahi 'ala kulli haal. Akhir bulan Ogos 2019, semuanya bermula. Emak disahkan mengalami kanser ovari terlebih dahulu. 8 September, barulah disahkan bacaan tinggi Cancer Marker pada ovari DAN usus. Stage 4.