رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Isnin, 4 Februari 2013

# homeschooling # keibubapaan

Modul Homeschooling 2 : Solat bagi anak kecil


Selepas mengenal Allah dan membiasakan anak-anak dengan kehebatan dan kepentingan Allah Subhanahu Wata'ala sebagai asas 'Aqidah, seterusnya saya mahu membiasakan anak-anak dengan solat pula sebagai kewajipan yang harus disemai sejak kecil. Satu tuntutan yg berterusan mulai sekarang bukan bermula pada ketika mereka sudah besar dan baligh kelak.

Teringat pada pencerahan seorang ustaz dalam kuliah tafsir yg pernah saya ikuti dahulu. Menurutnya, anak-anak diwajibkan mendirikan solat hanya ketika umurnya 10 tahun. Ketika ini, dibolehkan memukul anak yg tidak bersolat sebagai peringatan (dengan syarat) ibubapa sudah mengajarnya bersolat sebelumnya. Sebelum mencapai umur anak 10 tahun ini, ibubapa punya masa yg terlalu banyak untuk menyerunya bersolat pada setiap waktu dan bukannya baru mahu menyeru mereka bersolat selepas umurnya menjejak 10 tahun.

Bagi mencetus MAHU anak-anak terhadap solat, sebagai permulaan saya menggunapakai perkataan yang lebih mudah dihadami anak-anak seawal 2 tahun (Fatihah) dan 3 tahun (Fathi).

Semuanya bermula dengan saya membiasakan mereka dengan mengambil air sembahyang dahulu setiap kali selepas mandi. Ini sudah diajarkan kepada mereka sejak mereka sudah pandai berjalan dan mandi masuk sendiri ke dalam tandas (sekitar umur dekat 2 tahun)..  'Mengambil air sembahyang' ini hanyalah yg asas iaitu basuh muka, tangan, sedikit rambut dan kaki saja. Mereka sudah pandai mengambil air sembahyang sendiri (belum sempurna) setiap kali selepas mandi walaupun saya atau siapa yg memandikannya terlupa.

Kemudian, rutin saya setiap kali mahu mengajak anak-anak bersolat, saya menggunakan perkataan 'bercakap-cakap dengan Allah'. Maksudnya, selepas bersolat mereka akan berdoa. Itulah maknanya bercakap-cakap dengan Allah.



Apabila saya katakan, "Anak mak hari ni dah cakap-cakap dengan Allah belum?" Mereka akan faham. Maksudnya dah solat atau belum. Sebagai permulaan ini, tentulah saya tidak mewajibkannya bersolat 5 kali sehari. Saya hanya 'menyeru' kepada anak-anak 5 kali sehari dan kebiasaannya mereka akan mengikut saya bersolat Maghrib bersama-sama.

Sebelum masuk waktu Maghrib lagi (sejurus selepas habis Upin Ipin) saya akan menyuruh si Abang Fathi menutup tv dan kemudian azan dan bentang sejadah. Mereka berdua memang suka bentang sejadah. Arah kiblat mereka agak sesuka hati tapi tak mengapa.hehe.. Kadangkala, saya membetulkannya saja tapi kemudian mereka ikut juga sesuka hati mereka. Itu tidak menjadi hal.. Allah itu ada di mana-mana.

Mereka sudah boleh membentangkan sejadah sendiri. Setelah mengangkat takbir si abang dan si kakak Fatihah akan membetulkan kedudukan tangan sesama sendiri (meniru gaya saya di dalam kelas mengajar solat kepada anak-anak jiran). Apabila saya ruku', mereka ruku'. Apabila saya sujud, mereka sujud. Begitulah sehingga akhir. Biasanya si abang memang akan dapat mengikutinya hingga akhir 3 rakaat penuh. Fatihah, masih lagi berjalan sana sini dan mengikuti sesuka hatinya.

Biasanya mereka juga akan ikut sebutan akhir bacaan kuat abahnya. Kadangkala, mereka boleh membunyikan sendiri bunyi akhir surah al-fatihah sebelum abahnya habis menyebut lagi kerana saya selalu mengajarnya mengaji sebelum ini melalui kaedah kedua (saya akan kongsikan kaedah ini sedikit masa lagi).

Setelah memberi salam akhir, si Abang Fathi akan terus mengangkat tangan berdoa. Ayat yang saya ajarkan sebagai asasnya dahulu ialah,

"Jadikan Fathi anak yg soleh dan jadikan Fatihah anak yg solehah."

Itu asasnya yg saya ajarkan sejak Fathi berumur 2 tahun. Walaupun masih pelat, dia boleh mengingatinya.

Sejak abahnya sakit sedikit masa dahulu, tak semena-mena saya terdengar doa selepas solatnya sudah di'upgrade' sendiri olehnya. Ia berbunyi,

"Ya Allah, jadikan abang anak yg soleh. Jadikan Fatihah anak yg solehah.  Jadikan abah cepat baik. Jadikan adik dalam perut duduk diam-diam. Amin..."

Semasa itu, saya agak terkedu kerana saya tak ajarkannya skrip sebegitu rupa. Doa itu memang dia buat sendiri. Dan kemudiannya, Fatihah juga meniru doa si abang juga dalam bahasa pelatnya.

Selesai solat, saya dan suami akan memuji doa mereka dan usaha mereka bersolat. Kami bersalaman, cium dan berpelukan dengan maksud yg lebih mendalam (supaya kamu wahai anak akan tetap memelihara solat dan mendirikannya sampai bila-bila)... Kemudian, mereka akan melipat sejadah sendiri tanpa diminta dan meletakkan sejadah di tempatnya, hingga kadangkala saya dan suami tak perlu buat apa-apa, mereka yg mahu melipat dan mengemasnya. Mereka memang terlebih rajin bila tiba bab mengemas apa saja tanpa disuruh-suruh. Perut ini rasa 'sangat sejuk' melihat kebaikan mereka.huhu..

Inilah gaya biasanya mereka bersolat.~~~~

Semakin membesar ini, Fathi dan Fatihah semakin banyak cakap dan banyak pula yg mereka minta apabila membawanya ke kedai. Selalunya, nak aiskrimlah, nak air kotaklah, nak mainanlah dan macam-macam lagi. Saya kurang gemar mengikuti saja kata-kata anak walaupun berapa sen sangatlah air kotak itu. Selagi boleh dikawal, saya cuba berhemah dan 'tawar-menawar' dengan mereka.

Saya mahu mengajarkannya konsep bersabar dan tak semua benda yg kita mahukan itu kita akan dapat. Kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Saya berfikir bagaimana mahu memahamkan mereka tentang ini.

Pada satu hari seperti biasa kejadian yg selalu berlaku di kedai :

Fathi : Mak, nak air kotak!
Saya : Boleh.. Tapi tengahari tadi abang dah cakap-cakap dengan Allah tak?
Fathi : Tak...
Saya : Hah, kalau kita tak cakap-cakap dengan Allah, macamana Allah nak bagi kita air kotak? Abang tak cakap dengan Allah. Sebab tu, kalau kita nak apa-apa kita kena cakap-cakap dengan Allah dulu. Bila abang mintak pada Allah, barulah Allah bagi apa yg abang nak. Allah kan yg buat semua benda.
Fathi : Alah, nanti balik rumah abang sembahyang. Nak jugak air kotak!
Saya : Eh eh, kan mak dah pernah cakap dulu. Tak semua benda kita nak kita boleh dapat terus. Bila kita sabar, kita bagitau Allah apa yg kita nak, barulah Allah beri. Selagi abang tak cakap-cakap dengan Allah macamana Allah nak bagi apa yg abang nak tu?

Lebih kurang dialog sebeginilah saya akan ulang-ulang setiap kali Fathi merengek mahu itu dan ini. Awal-awal dulu, dia terus menangis dan buat muka tak puas hati apabila tak dapat apa yg dimintanya. Ketika dialog ini tidak berkesan, saya akan mengubah teknik untuk menyuruhnya bersabar pula. Di sini, adiknya pula memainkan peranan sebagai 'pengaruh rakan sebaya'. Bagaimana tekniknya saya akan kongsikan dalam modul homeschooling ketiga kelak. Bersabar bukan setakat kata-kata.

Dan biasanya dialog sebegini akan terus diulang-ulang setiap kali dia meminta. Sekarang, apabila dialog begini saya ulang semula, dia akan pasrah dan senyap saja sambil memandang jauh ke luar tingkap kereta.hehe.. Apabila melihatkannya begitu, saya akan segera menukar topik dan mengajaknya berbual tentang cerita Upin Ipin pula.

Ada ketika semasa anginnya tak mahu ikut bersolat saya tak marah. Saya hanya berkata, "Ok takpe kalau abang taknak cakap-cakap dengan Allah hari ni. Tapi nanti kalau abang nak air kotak ke nak mainan ke nak aiskrim ke, jangan nangis tau kalau tak dapat." Dia akan menjawab, "Abang taknak apa-apa lagi.."

Apabila keesokan hari ke kedai, dia meminta aiskrim saya akan berkata, "Eh, semalam cakap taknak apa-apa.. Macamana mak nak belikan? Abang tau kan sebab apa abang tak boleh dapat aiskrim harini?" Dan biasanya dia akur. Dia akan berkata, "Balik ni abang nak sembahyanglah!"..

Selepas pulang ke rumah tanpa rengekan atau tangisan sedikitpun, dia memang bentang sejadah dan bersolat sendiri. Tapi, doanya tetap sama seperti di atas. Bukan berdoa meminta apa yg dia mahukan semasa di kedai tadi. hehe..

Apabila sekali lagi ke kedai, biasanya memang saya akan membelikannya apa yg dia minta tak dapat sebelumnya walaupun semasa itu dia tak meminta lagi dan sudah melupakannya. Saya memang dengan ringan hati membelikan untuk mereka berdua. Biasanya jika mahu dibelikan banyak sekalipun (atas kebaikan yg dilakukan tanpa diminta) dia tak mahu. "Abang nak satu je. Makan sikit-sikit, tak baik makan banyak-banyak nanti tak habis." katanya...

Fatihah tiada masalah. Dia memang rajin mengikut saya bersolat. Dan apabila dia mendengar saya sering berkata begitu kepada abangnya, dia pun semakin faham dan menghafal dialog saya. Kadangkala, saya belum cakap lagi pada abangnya, dia sudah 'bercakap' dengan abangnya terlebih dahulu. Fatihah cepat faham dan kurang merengek meminta itu dan ini seperti abangnya.

Oh ya, satu lagi perkara yg saya ajarkan mereka ketika di kedai (semasa sessi tawar menawar apabila mereka main ambil saja coklat atau gula-gula di tepi kaunter) ialah lihat cop halal. Saya menerangkan pada mereka hanya yg ada cop halal (sambil menunjukkan logo halal) saja yg boleh dibeli dan dimakan. Walaupun mereka tak faham cop halal itu apa, sudah menjadi kebiasaannya Fathi dan Fatihah akan beri saya apa yg dia ambil itu dan bertanya, "Ni boleh makan tak mak?" Dan kemudian, saya akan mengajaknya bersama-sama mencari logo halal tersebut di plastik bungkusan.

Berbalik semula pada tajuk asal. Akibat penanaman 'software solat' ini, saya mendapati satu respon yg tidak disangka-sangka hasil pemahaman si anak selama ini.

Fathi menegur Maksunya yg ketika itu sedang 'bercuti bulanan'. Dia mengajak Maksunya solat Maghrib bersama. Lalu, Fathi berkata,

"Cu, kalau tak sembahyang nanti tak dapat aiskrim, tak dapat mainan, tak dapat air kotak, jangan menangis!" (sambil jari telunjuknya berdiri tegak ke arah Maksunya)..

Hahaha! Saya tergelak saja ketika itu dan cuba memahami dialog pertama kali mendengarnya itu. Maksunya pula berkata, "Ini mesti dialog mak engko ni, macam moksu tak tau!" haha..


Download complete.

------------------------------------------------

Penekanan konsep : Kita perlu meminta hanya daripada Allah. Walaupun perkara itu kita minta daripada manusia lain hakikatnya minta apa saja dan bercakap apa saja kepada Allah yg Maha Mencipta setiap satu perkara yg kita suka ataupun tidak. Untuk mendapatkan sesuatu perlu kepada usaha.

Solat adalah salah satu usaha asas yg harus ada dalam minda anak-anak sejak kecil supaya usaha asas ini selari dengan 'Aqidah asas yg diterapkan sebelum ini. Niat membuat sesuatu samada kerana Allah ataupun kerana benda yg kita mahukan itu atau apa saja akan berubah seiring ilmu yg kita perolehi sepanjang hidup ini. Yang paling penting apa yg mendasari dalam hatinya.

Wallahu 'alam..

----------------------------------------------------



Tiada ulasan:

#jdtblogger #teambloggerjohor