رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 3 Disember 2013

# keibubapaan # keluarga

Anak kuat merajuk.

Dari peti soalan.

Soalan : salam khadijah..apa kaba?dl mula2 ingt khadijah kakak,upanya sy yg akak.mentaliti ni,kalo org lbh 1 ank,ingt lbh tua dr akak.pngl je k.emy.sbnrnya nk minta tips dr khadijah nk atasi hal ank yg cpt merajuk dn kck ati..bole share?


Jawapan : Sebenarnya, saya pun tak tahu nak tulis bagaimana. Anak-anak saya juga boleh tahan juga merajuknya. Hmm, saya pun baru perasan, dulu memang kuat merajuk. Sekarang, sudah kurang sikit.

Si abang Fathi (4 tahun) kalau merajuk dulu suka masuk bilik. Sikit-sikit masuk bilik. Kalah anak perempuan saya Fatihah (3 tahun). Tiap kali dia masuk bilik saya tepuk dahi sekuat mungkin! Aduhaiii, apa nak jadi anak laki aku ni..Dalam hati.hehe..

Fatihah pula kalau merajuk akan diam sekejap. Diam daripada biasa. Lepas tu, dia akan mengamuk! Habis semua barang dibaling dan dilemparnya ke lantai sambil menjerit. Makin dekat, makin dipujuk makin kuat jeritannya sambil menghentak-hentak kaki..hehe..



Cara saya bukanlah semestinya yg betul atau yg terbaik. Tidak sama sekali. Apa yg saya kongsikan di FB ini hanyalah cadangan alternatif kepada ibubapa untuk mempraktikkan jika situasi sama dihadapi. Jika ada yg menjadi, dipersilakan. Jika tidak menjadi, itu lumrah bahawa setiap seorang anak sangat berbeza dan unik.

Kebetulan pagi ini saya terbaca blog seorang pakar kanak-kanak mengenai topik yg sama ini. Saya suka membaca semua buah tangannya - http://bustamkamri.blogspot.com/2013/09/anak-suka-mengamuk.html

Begini... Apabila anak merajuk, dia cenderung membuat satu tindakan semerta samada berbentuk agresif atau kurang agresif bergantung kepada perangai semulajadinya. Kita tidak boleh menyuruh anak-anak berhenti mengamuk atau merajuk atau kecil hati seperti yg kita mahukan hanya kerana kita nampak perangai seperti itu tidak bagus.

Sebenarnya ia bagus. Dan ia normal. Menunjukkan anak-anak kita normal sebagai manusia biasa yg sudah mula membina perasaan yg pelbagai. Bukankah hidup ini ada manis, masam dan pahitnya?

Kita hanya perlu mengawalnya sahaja dengan tujuan si anak belajar untuk mengawal perasaannya dan mengurus emosinya. Seperti perkongsian saya sebelum ini, kita tidak boleh mengajar anak mengawal perasaannya jika kita sendiri tidak mengawal perasaan kita. Dan kita tidak boleh menyalahkan anak suka merajuk jika kita sendiri menjadi DNA utama dia mendapat DNA yg serupa.

Tak dinafikan dahulu, saya seorang yg agak 'cepat sentap'..hehe... Nak-nak semasa mengandungkan Fathi, kesentapan saya lebih daripada biasa. Asyik-asyik terasa hati dengan misi dan kemudian balik ke rumah tarik muka dan tidak bercakap langsung. Hinggalah tuan suami terpaksa bercakap banyak dan menjustifikasikan ayat misi itu semula untuk saya mengalah dan buang kesentapan hati itu jauh-jauh. hehe...

Jika tindakan semerta anak kurang agresif (masuk bilik), saya membiarkan beberapa minit sahaja dahulu untuk dia bertenang seorang diri. Barulah saya berkonfrontasi dengannya dengan lemah lembut tapi tegas pada apa yg salah. Betul, beri dia ganjaran sedikit jika dia mendengar cakap kita (untuk keluar bilik). Selalunya, memang saya perlu belikannya aiskrim! hehe..

Jika tindakannya agresif (membaling-baling barang), saya biarkan dia puas membaling dahulu (kadangkala cukup 3 barang yg dibaling saja) saya memegang tangannya dan terus memeluknya dengan mulut yg senyap, terkunci. Tidak bercakap apa-apa dahulu. Senyap saja hingga kita boleh dengar nafasnya kurang kencang dan semakin reda.

Jika dia segera bertenang, mudah untuk terus saya berkata-kata.

Jika dia melawan semula dengan terus menjerit, saya melepaskan pelukan. Saya hanya memanggil nama penuhnya untuk datang sendiri dekat dengan saya. Dia akan terus menjerit!

Tahan telinga. Terus panggil nama penuhnya dengan nada suara yg rendah (lebih rendah dari bercakap) dan pandang tepat ke anak matanya yg paling dalam. Sebaiknya semasa dia mengamuk itu pastikan anak mata kita terus memandang anak matanya.

Oh ya, yg pertama sekali sebenarnya adalah berhenti dari semua kerja yg sedang kita lakukan. Letakkan semua kerja ke tepi sebentar. Pujuk anak dahulu.

Kadangkala, anak kerap merajuk atau kecil hati hanya untuk menarik perhatian kita sahaja.

Semasa kita memandang tepat ke mata si anak, berikan isyarat supaya dia datang dekat dengan kita.

Saya katakan begini, "Nurfatihah, sini kejap, mak nak sayang. Nurfatihah. Nurfatihah. Mak nak sayang Tiha sikit boleh?"

Tiha akan terus menjerit dan membaling barang.

"Meh la sini. Tiha nak apa cakap dengan mak baik-baik. Kalau Tiha jerit-jerit mak tak faham, semua orang tak faham. Meh sini cakap dengan mak. Mak nak dengar."

Tiha kendur sedikit. Beri masa. Pujuk lagi.

Bila dia sudah datang dekat, saya peluk dan gosok-gosok belakang badannya. Saya katakan, "Tiha kan orang yg sabar.. Kan? Orang yg sabar Allah sayang. Semua orang suka. Jadi, Tiha nak apa je boleh dapat. Cuba Tiha beritahu mak Tiha nak apa tadi sebenarnya?"

Tiha tetap diam. Dia hanya melentok-lentokkan badannya.. Apa saya boleh cakap jika anak nombor 2 ini memang garang! Tapi sangat manja.

Dia tak beritahu apa yg menyebabkan dia merajuk. Saya tak mahu memanjangkannya kerana ada kerja yg perlu dibuat. Jadi, saya 'timang-timang'nya sahaja.

"Tiha kan anak mak yg paling sabar, comel, bersopan-santun, tak suka jerit-jerit..Bila Tiha cakap baik-baik semua orang faham. Barulah Tiha boleh main yg Tiha nak tu. Taknak jerit-jerit, taknak marah-marah. Barulah Tiha lagi comel dari mak! Kan?" Sambil cubit-cubit manja pipinya. (Tip asas #1 : Puji anak, nyatakan impak).

Bila dia sudah boleh tersenyum.

"Haa, macam tulah anak mak yg baik hati. Kalau nak barang, dia suka minta elok-elok. Tak nak baling-baling barang lagi. Barulah abang pun nanti beri Tiha mainan main sama-sama. Kalau abang taknak main dengan Tiha, nanti mak jelah yg main dengan Tiha boleh?" Sambil menggeleteknya.

Bila dia sudah boleh ketawa, saya segera tukar topik. (Untuk menghentikannya duduk meleset lebih lama lagi dan kerja saya pun tak jalan hehe)..

"Mak nak jadi dinosour lah! Makan budak aummm..." (Dengan gaya dinosour yg bengis mahu tangkap budak). Dia menjerit sekali lagi dan lari menyelamatkan diri.

"Eh, meh la sini.. Dinosour lapor ni! Aumm.. Aummm.." (Konon-konon kejar dia).

"Siapa yg tak main kat sini, dinosour nak makan dia! Aummm!"

Dan dia akan menjerit lagi dan terus duduk bermain ke tempat mainannya tadi dengan senyuman sambil ketawa.

Itulah indikator akhir yg perlu dipastikan untuk menunjukkan yg rajuk si anak sudah hilang begitu saja tidak disimpan dalam hati..hihi..

Kejadian ini sebenarnya baru berlaku semalam. Sudah lama mereka tidak merajuk. Jika dulu ada saja perkara jadi isu, sekarang dalam seminggu hanya sekali saja salah seorang merajuk dan membaling barang.

Yang paling penting, semasa mereka bermain dengan baik dan berperangai elok-elok saja, segeralah memujinya di hadapan orang lain. Puji bersertakan kesannya bermain dengan baik tanpa menangis.
Mereka akan belajar dan menerima isyarat bahawa dengan berkelakuan begini dia masih boleh mendapat pujian dan perhatian ibubapanya. Bukan hanya dengan berkecil hati atau mengamuk.

Nota tambahan :

Penting untuk kita membetulkan dan memberitahu apa yg salah. Tapi, bercakap dengannya hanya apabila si anak bersedia untuk mendengarnya (bertenang melalui pelukan atau gosokan lembut ke badannya).

Dengan masing-masing menjerit, tidak menyelesaikan apa-apa. Malah, dia belajar yg menjerit/marah tanpa sebab itu dibolehkan kerana kita sendiri menjerit dan marah-marah kepadanya.

Anak kecil tidak faham apa itu kecil hati. Fahamkan mereka dengan memberikan jalan penyelesaiannya supaya mereka tahu untuk membesarkan jiwanya. Untuk membesarkan jiwanya, ulang semula perilaku yg baik dan positif (lawan perangainya yg tak baik itu) semasa dia baru masuk tidur sambil mencium pipinya dan menggosok-gosok kepalanya.

Saya katakan, "Fatihah anak yg baik, cakap baik-baik, tak suka jerit lagi, tak suka merajuk lagi, nak apa-apa minta baik-baik kat mak, ok?"

Tiha mengangguk dengan mata terpejam rapat. Baru saya perasan yg Fatihah sedang berusaha membaiki dirinya. Berikan dia masa.

Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor