رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 29 Disember 2017

Bagaimana menulis secara organik?

Disember 29, 2017 0 Comments



Mendapat sokongan daripada ramai sahabat dan follower di sini kerana memiliki buku pertama saya #bukansekadarhomeschooling amat memberikan saya satu semangat yang sukar diungkapkan.

Malah, saya menerima banyak soalan yang sama semasa mereka memegang naskhah ini.

"Rajinnya awak menulis! Tebal buku ini."

"Macamana nak menulis? Sibuk memanjang! Tak sempat apapun."

"Teringin nak buat buku macam awak juga. Tapi tak pandai menulis."

.
.
.

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang rajin menulis.

Saya tidak update facebook status saya setiap hari.

Saya juga tak sempat menulis setiap hari.

Saya tidak upadate blog saya juga setiap hari.

Saya juga sibuk dengan banyak perkara di dalam dan di luar rumah bukan saja anak-anak tetapi banyak perkara melibatkan beberapa NGO yang saya anggotai. Kadangkala, buat home visit.

Saya juga asalnya tak pandai menulis. Hanya menulis sesuatu yang emosional. Menulis hanya sebagai terapi bagi saya memastikan tahap kewarasan saya sebagai seorang surirumah..

Boleh baca blog saya 4-5 tahun sebelum ini. Anda akan nampak perbezaan penulisan saya di blog dan fb.

Namun, hanya satu matlamat saya sejak dari dulu iaitu saya mahu ada buku sendiri satu masa nanti.

Pertamanya, saya tidak pernah mahu mempunyai buku pertama ini dalam genre parenting. Pernah terdetik, tetapi saya merasakan saya bukanlah orangnya kerana saya tidak layak. Terlalu banyak tokoh perseorangan yang lebih baik dan bagus berkongsi mengenai tip-tip parenting di fb yang menjadi viral. Tetapi saya, tidaklah dikenali seramai mereka yang selalu mendapat post yang viral.

Saya hanya berniat untuk membukukan pengalaman mengajar mengaji anak-anak sendiri dan anak-anak murid. Tetapi, ternyata perancangan Allah mengatasi segalanya. Dia mengizinkan saya membukukan pengalaman saya mendidik anak-anak pula walhal bukanlah bermaksud saya ini sudah berjaya mendidik anak-anak sama sekali. Bukan.

Sebelum ini juga saya pernah mengikuti kursus penulisan denga beberapa kaedah. Tetapi kebanyakannya tidak menepati kemampuan dan keupayaan saya sebagai seorang surirumah.

Anda akan faham mengapa saya katakan begitu jika anda juga seorang surirumah tanpa pembantu rumah dan menguruskan semua perkara secara berdikari. Dengan anak-anak yang masih lagi kecil dan berderet serta memerlukan perhatian sepenuhnya dalam usianya membesar kini, saya tidak mahu menulis sesuatu yang saya tidak lakukan dan amalkan.

Bekerja "bersama anak-anak" 24/7 di hadapan mata amat mencabar untuk kita mempunyai ruang dan masa berada di hadapan laptop dan menulis. Ia berbeza dengan seseorang yang bekerja di pejabat yang mempunyai ruangnya sendiri dan adakala mampu mengadakan sedikit masa rehat untuk menulis walau hanya dalam tempoh 5 minit.

Tetapi, apabila berada di rumah, limitless dan spaceless.

Ini bukan alasan tetapi inilah kenyataannya. Saya faham itu.

Jadi bagaimana mahu menulis jika semua kenyataan di atas mencabar masa 24 jam yang kita ada?

1. Tidur awal sebelum jam 11 malam dan bertahajudlah di akhir malam.

2. Mulakan hari anda 1-2 jam lebih awal sekitar jam 4-5 pagi untuk menulis selepas solat tahajud.

3. Di dalam solat tahajud adanya ketenangan untuk anda menulis dan mencetuskan idea.

* Semasa ini, saya perlu mengakui anak kecil saya Farihin (2 tahun) akan sering terjaga kerana saya tiada di sebelahnya. Maka, bersabarlah. Dan tarik nafas panjang-panjang apabila idea sedang berkoyan-koyan dan kita terpaksa berhenti sebentar menidurkan anak kecil kembali.

4. Lazimi solat dhuha. Kerana di dalamnya ada "latihan kesabaran" yang tertinggi.

5. Menulis setiap apa yang mahu dikongsikan di facebook saja dulu. Tidak semestinya setiap hari kerana hakikatnya anak-anak perlukan perhatian kita melebihi facebook dan instagram.

6. Pastikan tujuan kita menulis untuk berkongsi sesuatu isu/moral yang kita pelajari setiap hari daripada anak-anak walaupun tanpa perlu upload gambar anak-anak setiap hari. Sesuatu yang meaningful dan mendalam yang berlaku dalam hidup anda.

Ya, tidak semestinya setiap hari.

Kerana bagi saya sendiri, hanya bercakap (baca : menulis) hanya apabila perlu. Lebih banyak kita bercakap, lebih banyak kesalahan yang mungkin terjadi, lebih banyak hati yang mungkin kita cederai/sakiti tanpa kita sedari. Bercakaplah hanya apabila perlu.

7. Di setiap komen pembaca ambil perhatian kerana biasanya komen yang berbentuk perbezaan pendapat pasti akan membuahkan satu lagi tajuk kecil di bawahnya.

Jangan sesekali block follower kita, tetapi uruskan dengan sebaiknya apa jua perbezaan pendapat yang terjadi.

8.Simpan semua penulisan di facebook ke dalam blog anda setelah pencerahan dibuat. Facebook akan hilang bila-bila masa.

Jangan menulis dengan membiarkannya berlalu pergi begitu saja di wall anda dimamah masa. Buat back up dan simpan. Sebaiknya adalah blogspot (murah dan mudah). Mulakan dengan apa yang ada.

9. Usah sesekali runsingkan atau takut-takut mahu menulis hanya kerana "tiada siapa" yang like atau share atau singgah baca blog kita. Jangan runsingkan sama sekali!

10. Atas semua perkara di atas, apa yang lebih utama ialah mulalah belajar menulis dengan tulisan huruf yang penuh dan tatabahasa yang betul. Walaupun ada ayat tunggang langgang, tak mengapa. Belajar menulis dengan susunan yang mudah difahami pembaca.

Sentiasa pecahkan tulisan mengikut perenggan. Tulislah dalam 1-2 ayat dan kemudian mulakan perenggan baru. Atau 3-4 ayat dan kemudian pecahkan kepada perenggan baru.

Biar pendek-pendek perenggannya. Pembaca akan malas membaca tulisan anda jika perenggannya terlalu panjang dan anda menggunakan singkatan huruf seperti tulisan remaja sekarang ini. Jangan begini!

11. Dalam tempoh masa akan datang (4-5 tahun) anda susun semula semua tajuk yang sudah dikumpulkan di blog. Dan ambilkira apakah bentuk penulisan yang anda cenderung menulis yang terkini. Apakah post yang paling mendapat share terbanyak (walaupun tak viral) dan susun semula semua tajuk-tajuk ini.

Jadikan ia bab-bab utama dan hantarlah ke rumah penerbit yang bersesuaian dengan konsep penulisan anda.

12. Jika manuskrip ditolak?

Its ok. Alhamdulillah. Allah sedang mengajarkan kita tentang kesabaran dan mahu kita keluarkan lagi sisi terbaik dari dalam diri kita.

Senyum. Dan teruskan saja menulis seperti biasa. Buka semula blog catatan yang lama dan jernihkan semula penulisan yang sudah tersedia. Tidak semua post yang dikongsikan perlu dijadikan manuskrip. Pilihlah dengan cermat perkara bab yang paling memberi nilai yang tinggi kepada pembaca.

Jika manuskrip diterima, sentiasa berlapang dada menerima kritikan dan pandangan sisi baharu daripada penerbit & editor. Ini paling penting! Sentiasa ada semangat ingin belajar dan memperbaiki diri. Jangan sesekali berasa tulisan kita sudah tiptop sampai perlu berkeras tidak mahu menambahbaik ilmu penulisan bila diminta ubah. Dengar cakap editor! Hehe.. Sentiasa ada ruang perbincangan.. Bila kita menghormati pekerjaan orang lain dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada ahli dalam bidangnya, orang lain juga akan memberi penghormatan yang sama kepada kita dan boleh bertolak ansur dengan beberapa perkara yang kita mahukan. Percayalah, tiada apa yang tidak boleh dibawa berbincang. 

13. Jadikan diri kita ber"minda" penerbit buku. Kita mahu berkongsi nilai yang baik dan unik kepada pembaca dalam masa yang sama kita tidak mahu penerbit menanggung rugi jika buku kita ini sejenis yang biasa-biasa saja.

14. Nyalarasa yang tinggi untuk terus menulis perlu dihidupkan tidak kira ia mengambil masa berapa tahun mahupun kita sedang berhadapan dengan apa jua isu dan cabaran pun.

Setiap daripada kita ada jalan cerita yang berbeza. Allah sebaik-baik Penulis dalam hidup ini, terjemahkannya untuk memberi nilai yang sama kita pelajari kepada orang lain.

15. Mohon Allah bimbing hati ini melalui amalan solat sunat dhuha dan tahajud. Kunci utama memperoleh ketenangan dan kesabaran menghadapi cabaran setiap hari yang melelahkan malah tahun demi tahun yang menguji kekentalan dan istiqamah diri.

Adakala, kita merancang untuk buku A diterbitkan, dalam tempoh masa 5-10 tahun itu, Allah lorongkan kita untuk menulis sesuatu yang akhirnya buku Z diterbitkan. Indahnya perancangan Allah.

Yakin akan ketentuanNya.

Mempunyai buku sendiri bukanlah hanya matlamat akhir semata-mata tetapi menulis itu sendiri sebenarnya adalah satu proses. Nikmatilah apa jua proses melaluinya! Kelak, pelangi indah akan muncul di hujung hari.

Better late than never.

.

Menulis bukan kerna viral,

Khadijah Gani
Penulis organik manuskrip 9 tahun
Buku Bukan Sekadar Homeschooling

Ahad, 17 Disember 2017

Ada apa dengan Buku Bukan Sekadar Homeschooling?

Disember 17, 2017 0 Comments



Semalam saya menerima perkhabaran daripada adik usrah saya Lyana M. Tizam yang menguruskan sesi bedah buku & borak santai mengenai buku ini Januari tahun depan sudahpun penuh seramai 52 orang (terlebih kuota) tak sampai 50 jam selepas dibuka untuk pendaftaran. Mula-mula saya ingatkan mengapalah tiba-tiba beliau 😭😭😭.. Hehe..

Rupa-rupanya, beliau amat terharu dengan sambutan di luar dugaan ini. Malah, yang lebih mengharukannya ada ibu yang akan datang dari Perak dan Negeri 9 semata-mata mahu mengikuti sesi bedah buku yang pertama ini dan sedang mencari hotel.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar.

Tatkala mendapat perkhabaran ini keajaiban demi keajaiban yang saya rasakan. Terasa kerdilnya diri kerana takut menghampakan harapan tinggi semua ibu yang akan hadir kelak. Tiadalah daya usaha saya melainkan bantuan dari Allah.

Sungguh, saya ini tiada apa-apa. Saya hanya seorang ibu yang biasa saja seperti anda. Boleh bertanya kepada sahabat-sahabat lain yang selalu berjumpa dan mengenali saya. Saya ini tiada apa-apa. Bukan juga sesiapa. Namun, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pembaca yang sudi membaca semua penulisan saya dan menyokong saya selama ini.

Allah yang maha hebat mengaturkan perjalanan hidup saya dengan ujian-ujian tertentu lalu mengilhamkan saya dengan buah fikiran dan cara yang tidak saya ketahui akannya. Ya, hidup ini penuh pengajaran dari Allah. Lalu, saya hanya menterjemahkannya melalui tulisan. Segala puja dan pujian hanya kepada Allah!

.

Di awal manuskrip asal buku ini dihantar kepada penerbit sekitar bulan Mac awal tahun ini, bukan tajuk ini yang saya kemukakan. Tajuknya ialah ;

* Dari Facebook ke Buku : Didik Anak Abad Ke-21 Generasi Alpha - Model Quranic Homeschooling - Siri 1 (0 hingga 7 tahun)

Buku ini mengandungi 3 bahagian :

1. Isu, throwback & solusi
2. Tips mudah & praktikal
3. Emel pilihan pembaca

Sinopsis :

1. Perkongsian cerita di facebook & blog berdasarkan pengalaman seharian mendidik anak-anak sejak 9 tahun yang lalu sehingga sekarang.

2. Mengumpulkan pelbagai jenis cabaran & realiti yang dihadapi ibubapa hari ini untuk mendidik anak sejak kecil lagi berserta solusinya.

3. Menyusun semula banyak tips mudah untuk diikuti & diamalkan oleh ibubapa generasi alpha ini.

4. Juga turut dikongsikan emel soalan-soalan yang diterima penulis daripada ibubapa mengenai didikan awal anak-anak sejak beberapa tahun lalu sehingga kini.

5. Muhasabah diri buat ibubapa yang ingin memperbaiki diri dari masa ke masa.


Lalu, penerbit menerima manuskrip ini dengan beberapa perubahan yang perlu dibuat bagi menyesuaikan gaya bahasa media sosial dan bahasa buku yang berbeza. Ini juga merupakan kali pertama penerbit menerima satu naskhah yang baru apabila bahasa media sosial perlu diubahsuai menjadi bahasa buku namun mengekalkan originalitinya. Sungguh, banyak saya belajar daripada gaya bahasa buku sebegini.

.

Siap editing, sebelum mahu di lakarkan layout buku, penerbit sekali lagi meminta saya untuk menukar tajuk buku kepada cadangan yang dikemukakan namun, saya kurang bersetuju dengannya dan memohon waktu untuk cadangan tajuk buku baru. Ketika itu, saya sedang mengalami sedikit tekanan semasa dan berada dalam keadaan sedih.

Saya tak dapat berfikir dengan baik semasa itu. Sekali lagi saya rasakan diri ini tersangat kerdil dan lemah. Saya tidak tahu tajuk yang baik untuk dikemukan kepada penerbit. Begitulah juga dalam proses kita mendidik dan membesarkan anak-anak. Adakala, kita hilang punca dan terasa sangat lemah untuk melalui ujian di hadapan mata. Kembalilah bersujud kepada Allah!

 Lalu, saya bersolat 2 rakaat memohon petunjuk Allah. Selesai berdoa, tup!

Tiba-tiba saja perkataan "Bukan Sekadar Homeschooling : Rumahku Sekolah Pertamaku" ini muncul daripada hati yang paling dalam. Ah, sukar saya ungkapkan... Syukur, alhamdulillah!

Terus saja saya mesej penerbit menyatakan tajuk tersebut malam itu juga.

Alhamdulillah, penerbit terus saja menerimanya selepas beberapa hari berbincang.

Proses seterusnya dipermudahkan bila mana akhirnya buku ini terbit pertama kali pada 27 November 2017 dengan layout penulisan yang sangat cantik, berwarna-warni dan tersusun melalui perspektif pembaca buku dengan 320 mukasurat.

Ya, buku ini tebal! Tidaklah saya juga menyangka buku pertama saya ini boleh menjadi tebal sebegini. Subhanallah!

.

Corak penulisan dalam buku ini bolehlah saya simpulkan semula kepada 3 bahagian secara overall iaitu ;

1. Penanaman aqidah (iman)
2. Pembentukan akhlak (sahsiah)
3. Pendidikan ibadah (amalan asas)

Sudah saya katakan, buku ini bukanlah mengenai aktiviti homeschooling semata-mata, malah sebenarnya ini adalah isu-isu yang jauh lebih penting dan lebih awal perlu diterapkan sebagai silibus utama dalam dunia pendidikan anak-anak di rumah.

Saya mulakan dengan bab bagaimana penanaman aqidah kepada anak sejak kecil seterusnya bagaimana pendidikan mengenai perkara ghaib yang perlu diajarkan secara berperingkat-peringkat. Seterusnya bagaimana proses mendidik anak sayang Allah dan Nabi dapat dipraktikkan di rumah. Tidak ketinggalan juga beberapa cara dan tip mengenai penyusuan susu ibu yang merupakan sumber utama yang menjadi tunjang alami kepada pendidikan anak bermula di rumah.

Terdapat juga tip dan cara yang saya kongsikan bagi mengelakkan anak ketagih gajet. Satu isu yang besar di zaman kini.

Ya, buku ini mengenai "how to".

Inilah silibus awal bagi anak berumur 0-7 tahun. Isu selainnya, boleh kita sama-sama bincangkan dan perhalusi lagi dalam sesi bedah buku & borak santai nanti bermula tahun hadapan, Insha Allah.

Saya juga membuka ruang buat rakan facebook saya yang lain jika mahu mengadakan sesi bedah buku ini di tempat anda, bolehlah pm saya perancangan tuan/puan dan kawasan/negeri dengan tarikh yang dicadangkan. Saya akan usahakan untuk memenuhinya jika tiada pertindihan masa dan waktu promosi bersama Telaga Biru. Mudah-mudahan.

.

Terima kasih buat semua yang sudahpun mendapatkan buku ini. Saya sangat senang hati menerima apa jua kritikan terhadap buku ini. Sangat dialu-alukan. Semoga pembacaan tuan/puan bermanfaat buat diri tuan/puan serta dapat diterjemahkan kepada anak-anak sedikit demi sedikit setiap hari.

Bittaufiq wannajah. Ma'as salaamah!

#bukansekadarhomeschooling
#didikanakabadke21

Selasa, 12 Disember 2017

Faham al Quran ~ Tidak semua perkara boleh dilukiskan

Disember 12, 2017 0 Comments


Apabila menerima beberapa soalan berkaitan bahasa arab dan maknanya di dalam al Quran, saya sering merujuk kepada abah saya yang juga seorang pakar bidang dalam ilmu ini. Abah mempunyai lebih banyak ilmu dan pengalaman serta sumber kitab yang lebih sahih dalam asal bahasa arab yang menjadi rujukannya.



Makna "Ittaqa"

1. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ الرِّبَا أَضْعَافاً مُّضَاعَفَةً وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . وَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Soalan mengenai perbezaan makna "wattaqu" yang terdapat dalam surah ali imran ayat 130 dan 131 membawa 2 maksud yang berbeza. Satu ayat bermaksud "bertaqwalah" manakala lagi satu ayat membawa maksud "peliharalah". Mana satukah makna yang sebenar?

Abah : Asal makna "wattaqu" ialah "ittaqa" yang bermaksud takutlah. Inilah keindahan bahasa arab, satu perkataan boleh membawa banyak makna bergantung konteks ayat dan i'rabnya. Dengan takutlah baru manusia akan berhati-hati untuk ambil riba'. Jika manusia itu tak takut, mestilah manusia akan ramai yang kejar keuntungan.

Kerana itu maksud ayat pertama itu lebih kepada bertaqwalah melalui rasa takut. Asal makna. Diikuti ayat kedua, "peliharalah". Kalau manusia yang ada rasa takut, mesti dia akan pelihara diri dia dari api neraka. Kerana itu, maksud yang kedua "taqwa" tu lebih kepada rasa memelihara kerana adanya rasa takut tadi.


Makna "An Najmu"

2. وَالنَّجْمُ وَالشَّجَرُ يَسْجُدَانِ

Dalam ayat nombor 6 surah ar rahman, perkataan "an najmu" ialah tumbuhan. Padahal, dalam surah lain atau makna sebenar "an najmu" maksudnya bintang. Mana satukah makna sebenar?

Abah : "An najmu" ada dua makna. Satu, bintang. Satu lagi tumbuhan melata (yang tidak berbatang). "Asy syajaru" ialah pokok yang berbatang (bukan tumbahan melata). Jadi, maksud ayat 6 ini ialah kedua-dua jenis tumbuhan melata dan tak melata (pokok berbatang) pun tunduk sujud kepada Allah.


Ketika ini, saya teringat ia sama kes seperti maksud nama anak keempat saya, Farihin, yang mempunyai 2 maksud berbeza di dalam al Quran. Satu, dalam surah as-syu'ara ayat 149 yang bermaksud "dengan bijak dan bersungguh-sungguh".

وَتَنْحِتُونَ مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا فَٰرِهِينَ

Manakala dalam surah ali imran ayat 170 membawa maksud "mereka dalam keadaan gembira" (orang-orang yang gembira).

فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا۟ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Sungguh, indahnya bahasa syurga ini! Sangat berseni dan mempunyai banyak ilmu bersamanya.

Carian makna di dalam al Quran melalui Google tidak boleh didapati dengan betul dan benar jika kita tidak tahu ilmu alatnya. Pentingnya untuk mempelajari dan mengetahui paling kurang pun asas bahasa arab sebegini.

Lalu, abah bertanya mengapa soalan begini boleh timbul? Abah hanya mahu tahu duduk perkara sebenar.

Saya menerangkan sebelum ini penyoal memberitahu yang dia mahu menerangkan maksud ayat ini kepada anak kecilnya supaya dapat digunakan dalam perbualan harian. Kerana itu dia mahu tahu mana satukah maksud yang sebenar.

Di sisi yang lain, ada juga satu kaedah di zaman ini yang menggunapakai lukisan bagi mewakili maksud ayat al Quran bagi tujuan memudahkan anak faham dan menghafaz al Quran.

Kata abah, "Oh, itu bahaya tu! Tak semua perkataan dalam al Quran boleh digambarkan, apalagi dilukis. Jangan mudah terpengaruh dengan cara barat. Orang barat memang banyak kaedah tapi tak semuanya kena dengan cara Islam sebenar. Bahasa Arab ada i'rab. Bahasa Inggeris ada i'rab tak? Belum lagi masuk wazan. Kena tahu ilmu alat untuk faham al Quran."

Ya. Saya tak pasti bagaimana kaedah ini berasal.

Pernah juga satu masa dahulu saya cuba menggunapakai kaedah begini. Anak-anak saya juga suka melukis. Hakikatnya, semua anak kecil sukakan lukisan. Tetapi saya agak was-was dan tidak sedap hati untuk meneruskannya.

Bilamana tiba pada ayat seperti jalan yang lurus, tidaklah boleh saya gambarkan kepada anak samada jalannya seperti jalan tegak bertar atau jalan bengkang-bengkok yang selalu kita nampak di dunia ini. Serba salah saya.

Bagi ayat "Mizan" pula tidaklah boleh saya gambarkan kepada anak sama seperti dacing umno pula. Saya sendiri tidak tahu neraca Allah itu bagaimana. Jalan ke syurga atau neraka itu bagaimana. Saya beriman kepada yang ghaib tetapi saya tak tahu bagaimana harus digambarkannya kerana saya belum melihatnya.

Hakikatnya, timbangan Allah takkan serupa dengan timbangan manusia. "Siratol mustaqim" pula tidak akan sama seperti jalan lurus yang kita lihat di dunia ini.

Prinsip asas : Sesuatu yang ghaib tidak boleh digambarkan sama seperti di dunia. Di dalam al Quran mengandungi banyak perkara ghaib yang kita beriman kepadanya tetapi tidak boleh kita gambarkan sama seperti keadaannya di dunia.

Kerana itu, lebih selamat untuk mengajar anak menghafaz ayat-ayat al Quran hanya dengan mengulanginya dan mengingati nombor ayat atau lajurnya atau mukasuratnya sahaja.

.

Di sini juga, saya ingin mengingatkan bahawa syaitan juga tidak boleh digambarkan. Ia termasuk dalam perkara ghaib. Mohon majalah tersohor di Malaysia yang menerbitkan majalah mengenai "syaitan" tidak lagi menerbitkannya. Walaupun isinya baik dan betul, menggambarkan syaitan dengan wajah-wajah tertentu amat menyalahi aqidah. Bila anak saya bertanya tentang isu HANTU, saya akan berhadapan dengan isu "anak pernah nampak syaitan" melalui pembacaan majalah syarikat tuan/puan. Mohon jangan begitu.

.

Ilmu alat dalam memahami al Quran juga harus kita cakna dan mengikutinya dengan penuh tertib. Di dalam al Quran mengandungi banyak ayat muhkamat dan mutasyabihat.

هُوَ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ ءَايَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَـأَمَّا الَّذِيْنَ فِي قُلُوْبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُوْنَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِـغَاءَ الْفِـتْنَةِ وَابْتِـغَاءَ تَأْوِيْلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيْـلَهُ إِلاَّ اللهُ وَالرَّاسِخُوْنَ فِي الْعِلْمِ يَقُوْلُوْنَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُوْا اْلأَلْبَابِ ءال عمران : 7

Maknanya : "Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada Muhammad. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat muhkamat, itulah Umm Al Qur'an (yang dikembalikan dan disesuaikan pemaknaan ayat-ayat al Qur'an dengannya) dan yang lain ayat-ayat mutasyabihat. Adapun orang-orang yang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya sesuai dengan hawa nafsunya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (seperti saat tibanya kiamat) melainkan Allah serta orang-orang yang mendalam ilmunya mengatakan : "kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu berasal dari Tuhan kami". Dan tidak dapat mengambil pelajaran darinya kecuali orang-orang yang berakal". (Surah Ali Imran : 7)

Ayat muhkamat ialah ayat yang boleh diketahui dengan jelas makna dan maksudnya. Manakala, ayat mutasyabihat ialah ayat yang tidak jelas maknanya. Atau yang memiliki banyak kemungkinan makna dan pemahaman sehingga perlu direnungkan agar diperoleh pemaknaan yang tepat yang sesuai dengan ayat-ayat muhkamat.

Tidak semua ayat boleh jelas difahami mengikut logik akal manusia apalagi boleh digambarkan.

Berhati-hatilah.

Tahu limitasi kita.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Didik anak kecil kita dengan asas Aqidah yang benar dan berpeganglah kepadanya.


#sampaikanlahkebenaranwalaupunianyapahit
#bersamamenjagakesucianAlQuran
#noteswithlove

Rabu, 6 Disember 2017

Kurangkan fikir, banyakkan zikir.

Disember 06, 2017 0 Comments


"Emak, apa yang mak lakukan kalau misalnya mak selalu terlupa sesuatu perkara yang mak nak buat?"

Tiba-tiba Fathi bertanya sedang saya sibuk menyidai baju di ampaian. Hmm, berat juga soalannya.

"Sebab tu kita jangan terleka dengan apa yang kita buat. Kalau terleka dengan satu perkara, kita mesti akan terlupa perkara yang lain. Jadi, bila emak ingatkan semula abang kenalah tersedar yang abang terleka dan cepat-cepat buat apa perkara yang terlupa tu."

"Oh, misalnya... Kita main game. Kita seronok bermain sampai kita terlupa nak sembahyang? Sebab tu mak tak bagi abang main game walaupun game tu bagus?"

Errrr..

"Tak semua game tak bagus dan tak semua game juga yang bagus. Kena tahu memilih mana yang bagus mana yang tak bagus. Misalnya educational game tu baguslah. Mak bagi abang main. Sebab tu kalau nak main game mak suruh tanya abah dulu. Abah lagi tahu game mana yang bagus ke tak. Bukan tak boleh main langsung. Tapi kita tetap kena limitkan masa bermain game. Tak boleh main game tak berhenti sampai tertinggal sembahyang walaupun game itu bagus. Kita kenalah tahu limit masa kita."

"Tapi mak, abang rasa bermain gamelah menyebabkan abang terlupa banyak perkara lain. Abang jadi lebih terleka. Limitkan masa tu apa mak?"

"Haa. Nampak kan kesan bermain game ni tak kira kita main sekejap ke atau lama lagilah kesannya kita sendiri dapat rasakan. Walau apapun perkara yang kita buat, tak kiralah main game ke, buat kerja apa-apa pun sebenarnya itu semua aktiviti kita berfikir. Kita perlu setkan masa tertentu. Sebab apa?"

"Supaya kita tak jadi terus terleka dan terlupa benda lain?"

"Betul! Sebab manusia ni banyak dia nak fikirkan. Tapi, bila dia berfikir tanpa henti sampai kurang zikirnya, minda dia akan terperangkap dengan urusan dunia. Kenapa Allah wajibkan solat 5 kali sehari? Belum lagi tambah dengan solat sunat pagi dan malam.

Sebab waktu-waktu solat yang ditetapkan tu sebagai limit masa bagi manusia berhenti sekejap daripada semua aktiviti berfikir dan banyakkan berzikir. Barulah fikiran manusia tu seimbang dan waras. Jangan terleka dengan aktiviti berfikir manusia yang takkan habis sampai bila-bila ni.

Sebab ni juga, mak selalu ingatkan abang kalau boleh jangan sembahyang cepat-cepat macam turun naik turun naik dah. Sekelip mata je habis sembahyang. Tak boleh! Sebab apa kita perlu baca betul-betul masa sembahyang? Baca satu persatu bukan cepat-cepat nak habis?"

"Errr, entah!"

"Sebab apa yang kita baca dalam solat tu semuanya zikir! Zikrullah yang mesti akan dapat
menenangkan kita dan fokus balik dengan apa yang kita perlu buat. Kat situ ada keberkatannya. Seberapa banyak pun aktiviti kita berfikir yang kita buat, sebanyak itulah juga kita kena berzikir supaya otak kita terus dapat berfungsi dengan baik. Sebab tu Allah kata solat ni bukan untuk Allah hanya ibadah puasa je untuk Allah. Nampak tak sebenarnya solat ni untuk diri dan minda manusia sendiri supaya terjaga fungsinya dan kewarasannya?

Sebab Allah dah tahu manusia ni memang banyak nak buat kerja, banyak guna fikirannya, maka solatlah pada waktu-waktu tertentu supaya kamu dapat limitkan masa kamu antara aktiviti berfikir dengan berzikir.

Buatlah berapa banyak pun aktiviti berfikir kamu, tapi perbanyakkan juga zikir kamu. Jika tak seimbang? Kamu akan mula merasai fungsi dan kewarasan minda yang semakin susut bermula dengan asyik terlupa akan sesuatu yang penting. Nampak tak pentingnya zikir (baca : solat) dalam hidup kita?"

"Ooo.. Baru abang faham kenapa mak selalu ingatkan abang solat."

.
.
.

Ilham ini datang dengan sendirinya selepas saya teringat kata-kata Ustaz A A Gym semasa menonton satu rancangan tv tempohari. Semasa itu, saya mengalami tahap tekanan yang agak serius lalu saya tergerak membuka channel tersebut yang kebetulannya ada siaran ulangan bersama A A Gym.

Katanya, siapakah orang yang stres itu?

Orang yang stres itu yang terlalu banyak fikirannya tetapi amat kurang zikirnya. Makanya, untuk hindari stres perlulah kita perbanyakkan zikir.

Sepertimana yang pernah saya tulis dahulu, sekarang ada saya himpunkan dalam buku #bukansekadarhomeschooling,

Solatlah Dhuha untuk mendidik jiwa kita kepada kesabaran.
Solatlah Tahajud sebagai mendidik jiwa kita mendapatkan ketenangan.



#bukansekadarhomeschooling
#ceriteraanaksekolah
#satubatuuntukduaburung

Dunia bukan syurga. (Tantrum anak besar)

Disember 06, 2017 0 Comments


"Fatihah, nanti petang pulak kita beli wedges boleh? Dah ada makanan banyak dah ni. Kita habiskan makanan yang ada dulu kat rumah."

Fatihah antara yang kuat tantrumnya semasa kecil dahulu. Sekarang, umurnya 7 tahun tiba-tiba saja mengamuk balik dari sekolah. Sudah lama dia tidak menunjukkan amukannya yang sebegitu rupa. Menendang pintu kereta dan menjerit-jerit. Seperti biasa.... Tarik nafas dahulu, kemam kemarahan.

"TAKNAKKKKKKKKKKK!!! NAK SEKARANG JUGAK!" balas Fatihah.

Apabila anak menjerit, kita diam dahulu. Lihatkan saja emosi yang diterjemahkannya secara fizikal.

Sampai di rumah, bila masuk ke rumah Fatihah masih menjerit-jerit kepada abangnya dan Fahmi menyuruh bukakan pintu untuknya dan menutup pintu untuknya. Si abang Fathi menurutkan saja bersabar dengan adik perempuannya seorang itu. Tapi selepas itu, Fathi tak mahu menutup pintu kereta untuknya lalu berlaku lagi jeritan demi jeritan yang lebih menggegarkan angkasaraya!

"Fatihah, baca a'udzubillah bila masuk rumah. Cukup dah menjerit. Nak apa-apa kena cakap elok-elok. Dari Fatihah kecik lagi mak kan dah ajar Tiha dengan semua pasal apa? Kalau kita nak sesuatu kita perlukan apa?"

Saya mula bercakap dengan tegas bukan marah-marah.
Tidak membesarkan kesalahannya tapi menerangkan peraturan asas.

"Mak selalu ajar kalau nak apa-apa kena sabar!" Fathi menjawab.

"Kena sabar dulu baru dapat apa-apa kita nak." Fahmi menjawab juga.
Saya tersenyum. Dan senyap dahulu. Tidak mahu mengecohkan keadaan bila anak pulang dari sekolah.

"Kita kena bersabar dulu Fatihah kalau nak apa-apa. Mana boleh kita nak apa-apa terus dapat depan mata. Kalau kita nak terus dapat tu kat syurga! Jadi, sebelum masuk syurga kenalah sabar dulu."
Fathi tiba-tiba menyambung kata-katanya. Saya terkesima sebentar. Terus dapat idea!💡💡💡

"Betul cakap abang tu Tiha.. Kalau kita nak apapun cakap dalam hati je terus boleh dapat tu kat syurga je. Sekarang, kita kat dunia nak taknak kita kena sabar dulu. Sebab dunia bukan syurga! Betul abang?"

"Ya, betul tu! Ni dunia. Kita bukan kat syurga sekarang. Jadi, nak apa-apa kenalah sabar dulu. Nanti dah masuk syurga haaa mintaklah apapun Tiha boleh dapat sekelip mata je. Tapi jangan sampai tersalah cakap pulak kat syurga nanti!"

"Errr, salah cakap macamana abang?" Saya tak sangka ada lagi tips dari Fathi.

"Iyalah. Kan kita boleh dapat apa je yang terlintas kat hati kita. Jangan sampai kita niat nak makan kentang sampai 200 bekas! Nanti depan mata ada 200 bekas habislah Tiha kena makan sorang-sorang sampai tak larat, membazir pulak! Tak boleh tamak jugak."

Hahaha! Saya ketawa kuat-kuat dengan Fahmi. Sebagai melepaskan emosi saya yang kepenatan juga dengan kerenah anak-anak.. Hehe..

Fatihah mula tersenyum. Nak senyum tak senyum. Nak senyum tak senyum. 😊
Tiada lagi tangisan atau tengkingan lagi. Selesai.

.

Menangani tantrum anak-anak ada banyak gayanya. Setiap ibubapa lebih tahu gaya yang terbaik bila berhadapan tantrum anak di hadapan mata.

Saya ada berkongsi beberapa perkara asas semasa menangani tantrum anak, selepas dan juga sebelum tantrum anak berlaku lagi di dalam buku #bukansekadarhomeschooling.

Anak yang bertantrum menunjukkan pembangunan dan pembentukan emosi anak yang normal. Ia bukanlah sesuatu yang tidak baik atau terlalu jijik sehingga kita perlu memastikan anak tidak bertantrum langsung. Malah sebenarnya kita hanya perlu mengurusnya sahaja agar tantrum si anak supaya ia tidak menjadi-jadi atau berada di luar kawalan.

Ya, kata kuncinya - uruskan tantrum anak dengan baik - beritahu peraturan asas - tidak membesarkan kesalahannya - berceritalah yang dunia ini bukan syurga. Selamat mengurus! 😎



#ceriteranaksekolah
#bukansekadarhomeschoolingDUA

Isnin, 30 Oktober 2017

Mahu mencari anak angkat? ~ Carilah ilmunya dahulu

Oktober 30, 2017 0 Comments

Sebelum ini sebenarnya saya menerima begitu banyak komen, emel dan private message yang meminta untuk 'dijodohkan' dengan sesiapa yang tidak mahukan baby dan mohon diberikan kepada pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin tapi belum dikurniakan zuriat. Ini semua bermula daripada satu perkongsian pengalaman saya membantu seorang hamba Allah ini satu masa dahulu

Namun, setiap komen dan mesej tersebut adakala saya jawab dengan baik jika beliau approach dengan cara yang berhemah dan kena gayanya. Manakala, saya tidak akan menjawab malah terus tekan delete pada mesej / komen yang gayanya seperti mencari anak kucing yang berkeliaran di pasar malam (kalau ada, bagilah saya). Semudah itu.

Sebenarnya, saya tidaklah bertindak kejam dengan memadamkan semua mesej tersebut. Saya sebenarnya menjadi takut kerana terrrrrrlalu ramai mesej yang serupa yang singgah meminta anak untuk diangkat semudah itu. Saya takut untuk meletakkan saham yang kelak saya akan ditanya mengenainya jika ibubapa tersebut tidak memberikan hak kepada yang sepatutnya ataupun terlepas pandang mengenai isu utama sesudah mengambil anak angkat.

"Jika ada yang tak mahu anak dalam kandungan tu, jangan dibuang, sila call saya di nombor 012345678. Segera. Saya akan menjaganya dengan baik. Sudah bertahun saya mahu anak tapi tak dapat."

Inilah contoh yang pada saya kurang kena gayanya. Mohon jangan berakhlak sebegini jika anda benar-benar mahu mencari anak angkat. Dan juga maafkan saya kerana tidak menyiarkan komen anda di sini.

Mencari anak angkat walau apapun sebab musababnya tak kiralah lama berkahwin belum dikurniakan anak lagi ataupun sakit tidak boleh beranak lagi atau apapun jua faktor di sebaliknya, bukan semudah melafazkan yang anda sudah cukup kewangan dan mampu menjaga seorang anak dengan sebaik-baiknya. Ia bukan semudah itu!

Saya semakin ngeri apabila ikon selebriti terkenal hari ini mengambil anak angkat dan berkongsi kisah kehidupannya membesarkan anak angkat tersebut bukan dengan susu seorang ibu. 
Isu ini akan menjadi sangat besar di kemudian hari.

Apakah isu yang besar itu?

Iaitulah isu aurat dan mahram di dalam rumah dan di kalangan ahli keluarga dewasa.

Bukan itu sahaja, isu pewarisan harta kelak (jika tiada ilmu untuk membuat hibah dan wasiat siap-siap dari awal) juga akan bermasalah lebih-lebih lagi jika anak yang diangkat itu merupakan anak luar nikah.

Banyak perkara sebenarnya yang perlu diambil perhatian.

Kerana itu, saya sering menasihatkan kepada semua ibubapa yang bakal mengambil anak angkat, sentiasa bersedia dengan ilmu bagaimana boleh menyusukan anak angkat walau tanpa kehamilan iaitu melalui Induced Lactation atau jika tidak mampu juga jangan sesekali ragu untuk mencari ibu susuan bagi anak angkat tersebut melalui ahli keluarga sendiri.

Jika anak angkat itu lelaki, mintalah adik beradik isteri yang menyusukan anak tersebut.

Jika anak angkat itu perempuan, mintalah adik beradik suami yang menyusukan anak tersebut.

Jangan bila dah besar meningkat remaja nanti barulah kita terfikir mengenai isu aurat ini. Semasa itu, semuanya sudahpun terlambat.

Sesuatu yang haram (aurat) hanya akan menjadi halal hanyalah melalui penyusuan susu ibu. Bukan yang selainnya! Susukanlah anak tersebut sekurang-kurangnya 5 kali kenyang dan ikatan anda dan ahli keluarga dewasa (yang berlainan jantina dengan anak angkat anda) akan menjadi halal sama seperti batas aurat anak anda sendiri dengan ibu/bapa saudara dan lebih penting dengan diri anda ibu / ayah sendiri.

Ibu susuan samalah statusnya sebagaimana ibu sendiri. Dan apabila adik beradik anda dapat menyusukan anak angkat anda, serupalah ia menjadi anak saudara anak yang juga merangkap anak anda sendiri yang mahram (aurat menjadi halal untuk dipeluk, disayangi dan berada dalam satu rumah tanpa perlu bertudung) a.k.a ibu & ayah yang membesarkannya. Perkara inilah yang sering terlepas pandang oleh ibubapa angkat.

Penyusuan susu ibu yang boleh mengenyangkan anak kecil hanyalah semasa dia berumur bawah 2 tahun. Penyusuan selepas tempoh 2 tahun sudah tidak lagi dianggap boleh mengenyangkan dan hukum ibu susuan & anak susuan tidak jatuh/tidak sabit lagi.

Makanya, pastikan anda mempunyai perancangan awal dan lengkap samada mahu menyusukan anak angkat anda sendiri sebaik saja diambil selepas dia dilahirkan (bersedia sebulan lebih awal untuk proses induced lactation) atau mencari ibu susuan dari kalangan adik beradik anda sendiri bukan orang luar.

Jika contoh begini dapat ditunjukkan dengan baik oleh ikon selebriti semasa dalam masyarakat hari ini, alangkah besarnya sumbangan model sosial ini dengan pengaruh yang besar menjadi contoh dan ikutan yang baik dalam mendidik masyarkat ke arah cara/gaya hidup yang lebih diberkatiNya. Iaitulah menjadikan isu aurat perkara pertama yang perlu dijaga di kalangan ahli keluarga dan tidak mengambil enteng akan isu aurat sebegini.

Wahai ibu ayah sekalian, jagalah ahli keluargamu daripada api neraka. Maka, ambillah dan letaklah isu aurat ini sebagai perkara yang paling penting lagi utama dalam mendidik keluarga dan sama-sama membawa seluruh ahli keluarga kita hingga ke jannah.

Jika tidak tahu, jatuhlah kewajipan mencari ilmu tersebut.

Pada 11 november ini, satu seminar mengenai semua ilmu yang diperlukan bagi anda sebelum mengambil anak angkat atau mungkin akan menjadi ibu susuan kepada anak angkat adik beradik anda ada dibicarakan oleh pakar-pakarnya dalam seminar ini. Termasuk hak-hak bagi seorang anak angkat dari sudut perundangan. Rebutlah ia! Kerana seminar sebegini kelihatannya kurang popular di mata dunia tetapi ilmu di dalamnya akan menjadi sangat popular ketika anda berada di padang masyhar kelak. Pastikan anda tahu aurat anak-anak anda dengan orang di sekelilingnya.

Dengan ilmu, anda boleh membawa seluruh ahli keluarga anda samada menuju jalan yang lurus atau terpaksa berhenti di beberapa persimpangan.

Ya. Mempunyai dan membesarkan anak bukanlah semudah anda mengiklankan barang-barang jualan anda seperti hari ini. Bukan dengan meletakkan nombor telefon anda di merata-rata tempat demi mencari seorang anak. Lengkapkan diri dengan ilmu yang benar lagi membenarkan. Kelak, seorang anak akan datang dengan sendirinya kepada anda melalui apa jua asbab tanpa perlu mendail nombor telefon anda sedikitpun!

Percayalah, seminar sebegini tidak akan selalu dijumpai. Peluang menuntut ilmu yang penting lagi genting ini dari satu tempat hanya datang sekali ini - https://www.facebook.com/skis2017/

Saya dah daftar. Jom kita sama-sama belajar ilmu yang susah ditemui dalam satu tempat ini. Kita jumpa di sana 11 November ini nanti! Insha Allah. Tegur-tegurlah saya, kita boleh berdiskusi lebih mendalam lagi mengenai isu yang dekat dengan hati ini. ;)



Berbahasalah dengan betul

Oktober 30, 2017 0 Comments

"Abang, Tiha, esok ada ujian pentaksiran jawi dan bahasa arab kan?"

"A ah mak." jawab Fathi serentak dengan Fatihah sambil makan malam.

"Abis nak baca buku tak buat ulangkaji?"

"Ermm.. Biasanya mak jarang suruh abang buat ulangkaji sebelum peperiksaan. Kenapa tiba-tiba mak suruh pulak?" Fathi membalas.

"Alaaa.. Tiha dah tahu lah mak. Kan bahasa arab subjek kegemaran Tiha. Haritu dapat 100." balas Fatihah pulak over konfiden.

"Iya. Mak tahu bahasa arab subjek kegemaran Tiha macam mak jugak. Tapi kita tak boleh over konfiden dengan diri sendiri. Walau kita dah tahu pun, ada baaanyakkk lagi yg kita tak tahu sebenarnya. Tahu? Sebab mak suruh abang dan Tiha buat ulangkaji sebabbb.... Sajalah mak nak tanya abang apa yg abang ingat sepanjang belajar bahasa arab kat sekolah tu.. Ulangkaji dengan maklah nak?"

"Hmm.. Yg abang tahu 'hadza' untuk yg tak ada ta marbutoh, 'hadzihi' untuk yg ada ta marbutoh. Kalau 'dzalika' pulak untuk yg tak ada ta marbutoh. 'tilka' baru guna untuk yg ada ta marbutoh." respon Fathi sampai menyumbat lagi nasi ke mulutnya.

"Bagus! Tepat sekali apa yg abang faham tu.. Bagus bagus.. Kalau 'Hadzaani' dan 'Ha-u-laa-iy' bila nak guna?"

"Apa tu mak? Itu macam abang tak belajar pun lagi?"

"Oooo tak masuk silibus darjah 2 lagi eh? Tak apa. Biar mak terangkan. 'Hadzaani' gunanya bila ada 2 orang/benda yg tak ada ta marbutoh. 'Hataani' pulak untuk 2 orang/benda yg ada ta marbutoh. Jamak dia kalau ramai iaitu lebih dari 3 orang barulah guna 'Ha-u-laa-iy'. Kalau daripada 'dzalika' dan 'tilka' jamak dia bila ramai orang/benda kita guna 'U-laa-i-ka'. Cuba abang beri mak contoh ayat dalam Quran yg guna perkataan 'U-laa-i-ka'.. Kat dalam Quran banyak guna perkataan ni."

"Mmmmmmm... Entahlah. Abang tak boleh fikir sekarang abang tengah makan."

"Ulaaika humul waarithuun." tiba-tiba abahnya mencelah. Hihi.. Abahnya pun suka kalau bab belajor bahasa arab nih.

"Haaa... Betulll.. Bagus abah bagi jawapan yg betul! Nampak tak abang abah dah bagi contoh tu.. Haaa gitulah. Kita belajar bahasa arab untuk kita tahu dan lebih faham apa yg kita baca dalam al Quran. Kalau nak bercakap bahasa arab kita cakap dengan betul-betul. Dengan tatabahasa dia yg betul. Jangan guna separuh-separuh misalnya 'dzalika' kereta atau 'ulaaika' buku-buku. Tak boleh cakap separuh-separuh gitu tahu! Kita akan merosakkan bahasa.

Misalnya dalam bahasa arab kereta tu 'as-syyarah' ada ta marbutoh. Ada ta marbutoh kena guna apa? 'Dzalika' atau ''tilka'?"

"Ada ta marbutoh 'tilka' lah mak."

"Betul! 'Tilka as-sayyarah'. Kalau kita guna 'dzalika as-sayyarah' sebab kita nak ikut contoh ayat dalam Quran gunakan 'dzalika al-kitab' kita dah salah tatabahasa dah. Tak boleh macam gitu. Kita kena sentiasa hormat pada tatabahasa dan menghargai undang-undang tatabahasa dalam setiap ilmu bahasa. Jangan sesekali belajar campur-campur bahasa yg digunakan. Kena hormat."

"Errrr... Mak.. Ini namanya ulangkaji apa? Abang rasa tak ada lagi bab ni cikgu ajar kat sekolah."
Ok. Baru mak sedor diri.

"Ini namanya ulangkaji sesuka hati emaklah. Hahaha.. Dah habiskan makan tu cepat."

*Tetiba mak rasa over excited bila anak-anak nak exam bahasa arab. Huhuii..
Mak cintakan bahasa arab. Mudah-mudahan anak-anak mak juga satu hari nanti akan menjaga kesucian bahasa al Quran ini.

Dan seperti biasa, lepas makan mereka bermain sekejap dan terus tidur.. Tak adanya nak buka buku buat ulangkaji. No pressure setiap kali exam.

Mak tak pernah paksa anak-anak buka buku ulangkaji setiap kali sebelum exam kat sekolah. Jawab jelah apa-apa yg kamu tahu wahai anak-anakku.

Prinsip emak dalam hidup ini, tak semua soalan ada jawapannya. Sama juga dalam exam. Walaupun ada skema jawapannya, kalau kamu tak tahu, tak perlulah jawab. Jawablah apa yg kamu tahu saja.. Mak ok saja walau apapun keputusan yg kamu perolehi. No problem.. Asalkan kamu menghargai dan menghormati ilmu di sebalik setiap bahasa dan menggunakannya dengan betul. :)


P/s : Rujukan belajar bahasa arab di sini sangat bagus - http://www.belajarbahasaarab.org/…/mengenal-kata-tunjuk-isi


#ceriteraanaksekolah
#didikanakabadke21
#sukabahasaarab
#bahasaarabbahasaAlQuran
#hormatilahsetiapilmubahasa

Buku mengaji untuk asas tajwid orang dewasa

Oktober 30, 2017 0 Comments


 

 


Buku mengaji Iqra bertajwid ini memang sangat sesuai untuk orang dewasa/tua yg perlu belajar basic semula. Ia sama dengan iqra warna pink 1-6 itu cuma tambahan pada iqra 6 dan dalam bab lain banyak ditekankan tips aplikasi hukum tajwid.

Emak kata lepas 2 minggu mengajar kawan kawannya belajar asas semula gunakan iqra ni nampaknya mereka lebih faham dan mudah faham dengan menggunakan iqra ini.

Ternyatalah amat berbeza dengan cara pembelajaran bagi kanak kanak. Kerana itu setiap peringkat usia boleh belajar membaca al Quran mengikut cara berbeza dengan kefahaman yg berbeza. Tiada istilah terlambat mempelajari al Quran dan kita baca al Quran bukanlah untuk sesiapa.

Didiklah anak untuk terus membaca dan memperbaiki bacaan al Quran walaupun sudah khatam beratus ratus kali. ☺


P/s : Terima kasih kepada pewakaf.. Dapatlah saya belikan lagi 5 naskhah untuk diwakafkan di masjid. Untuk makluman, Projek Wakaf Muqaddam sudahpun ditutup. Mohon jangan transfer duit lagi kepada saya. Saya hanya membantu emak saja tempohari. Semuanya sudah cukup sekarang. Alhamdulillah.. :)


#sukamengaji
#janganberhentimengaji

Khamis, 12 Oktober 2017

Siapa lebih sabar - manusia atau haiwan? Salam Ma'al Hijrah

Oktober 12, 2017 0 Comments




"Mak, masa mak sekolah dulu, ada orang ejek mak tak?" tanya Fathi tiba-tiba saja sesampainya kami di rumah balik masjid semalam.

"Emm, ada!" juling-juling mata mak nak mengingatkan peristiwa lampau. Hehe..

"Orang tu ejek mak apa?" Fathi sangat berminat dengan topik ni nampaknya. Yang lain juga 'pasang telinga' sambil melompat-lompat atas katil.

"Masa mak sekolah rendah dulu ada orang ejek mak hidung pesek. Masatu mak sedih sangat. Mak marah kat Allah kenapa buat hidung mak pesek tak cantik macam orang lain. Mak jadi tak bersyukur sebab hidung peseklah mak kena ejek dengan kawan pastu kawan cakap mak tak ada kawan sebab orang tak suka berkawan dengan orang hidung pesek. Mak sedih sangat!"

"Pesek tu apa mak? Abang tengok hidung mak ok je. Cantik je."

"Pesek tu tak mancung lah. Hidung penyek macam gini. Dulu, memanglah mak tak cantik. Sekarang je tetiba mak jadi cantik. Huwahahaha!" Mak gelak tak ingat dunia nampaknya.

Semuanya berhenti melompat katil dan tiba-tiba duduk diam-diam sebelah mak nak dengar kisah selanjutnya.

"Habis tu mak buat apa supaya tak sedih?" Fathi bertanya lagi.

"Ada satu petang tu mak ingat lagi. Masa tu nak pegi sekolah agama. Sepanjang perjalanan mak berdoa supaya Allah tukarkan hidung mak jadi mancung macam orang lain. Supaya mak jadi cantik dan ramai kawan macam orang lain. Sampailah azan asar masatu. Mak tengah jalan sorang diri. Lepas habis azan asar mak berhenti kat satu kedai ni nak beli air. Tiba-tiba mak ternampak kat cermin tingkap kedai tu hidung mak dah berubah!

Tapi hidung mak tak jadi mancung. Hidung mak jadi terjongket macam ba alif ba ya! Uwaaaa... Mak menangis masa tu jugak! Mak doa semula pada Allah mak nak hidung mak yg dulu! Tak mancung pun tak apalah asalkan mak nak hidung mak yg dulu daripada hidung terjongket macam ba alif ba ya ni.. Huhu.. Mak malu nak pegi sekolah. Nanti mesti lagi ramai orang ketawakan. Tapi mak tetap jalan perlahan-perlahan. Mak tak tahu nak pegi mana lagi. Mak istighfar banyak kali. Astaghfirullah Astaghfirullah Astaghfirullah.. Ampunkan aku Ya Allah..

Sampai sekolah mak terus pergi musolla dulu solat taubat, istighfar banyak-banyak lagi.. Mak tak kira dah masa tu mak dah lewat masuk kelas. Cikgu dah masuk. Cikgu nak marah pun , marahlah. Mak tak kira dah.. Mak doa pada Allah tukarkan balik hidung mak. Lepas mak habis solat taubat tu mak tengok cermin semula. Hidung mak dah jadi macam dulu balik. Mak bersyukur sangat dengan hidung yg Allah bagi ni.

Sejak kejadian tu, mak dapat pengajaran. Kita tak boleh rasa tak bersyukur dengan apa yg Allah dah buatkan diri kita. Kalau tak bersyukur, kita akan jadi lebih teruk daripada sekarang. Dan kita jangan terpengaruh sangat dengan orang yg suka ejek kita tu. Apa yg dia ejek kita tu tak betul pun. Sebenarnya, mak memang cantik kan dari dulu (kihkihkih).. Abang dah tengok kan gambar mak masa sekolah dulu. Saja je dia cakap gitu."

Punyalah panjang kisah mak cerita, tengok-tengok semua dah berpelukan dan melopong kat sebelah macam seram-tak-seram dengor cerita mak nih. Hihi..

"Tapi, abang tengok hidung mak tak pesek pun? Kan abang pernah tengok album masa mak kecik dulu. Abang tak nampak pun hidung mak pesek. Macamana orang tu boleh ejek mak pulak?"

"Haaa kannn... Sebenarnya, kenapa orang ejek orang?"

"Abang rasa sebab orang tu saja nak cari gaduh dengan kita. Lepastu dia nak kita kejar dia. Bila dah bergaduh, kita tak tahan marah, kita pukul dia, pastu dia akan salahkan kita balik. Jadilah kita macam orang yg bersalah dan jahat." (pandangan Fathi 8 tahun)

"Hmmm.. Boleh jadi betul juga pandangan abang tu. Bagus. Fatihah rasa macamana pulak?"

"Tiha rasa sebab orang tu saja nak bergurau dengan kita. Tapi apa dia cakap semua tu tak betul." (pandangan Fatihah 7 tahun)

"Hmmm... Betul juga. Manusia memang suka ejek manusia lain kan? Selagi tak puas hati dia akan tetap ejek orang lain. Haiwan pernah ejek manusia tak?"

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa. Taklah mak. Sebab bahasa haiwan tak sama macam bahasa manusia. Mana haiwan faham bahasa kita. Mak ni asyik beri soalan KBAT je."

"Haha.. Nasiblah soalan KBAT tak KBAT.. Ok bagus, haiwan tak pernah ejek manusia. Tapi manusia pernah ejek haiwan tak?"

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa.. Kadang-kadang kot."

"Hah! Kan? Abang pernah dengar manusia yg ejek haiwan kan? Walaupun bahasa manusia dan haiwan lain kan?"

"A ah.. Bila manusia ejek haiwan nanti dia kejar manusia tu lari lintang pukang!"

"Bukan.. Haiwan tak kejar balik kalau manusia setakat ejek dia. Tapi jangan sentuh dia! Kalau manusia sampai sentuh dia kacau dia, barulah haiwan tu akan kejar balik. Betul tak?

Contohnya abang kata 'Wei, kucing kaki pendek!' kucing tu tak terus kejar abang marah-marah. Dia sabar je. Tapi cuba abang terpijak atau cederakan kaki dia. Dia mesti marah balik tapi tu pun dia sabar tak kejar abang balik, dia cuma pergi tempat lain je. Malas nak cari gaduh dengan abang betul tak? Hah, siapa lagi sabar manusia ke haiwan?"

"Errr, haiwan.." juling-juling mata Fathi menjawabnya sambil tahan ketawa.

"Jadi, kita kena ambil pengajaran dari haiwan jugak selain daripada cerita mak tadi. Sabar macam kucing. Selagi orang tak cederakan kita atau sentuh kita tak apa, kita bersabar. Eleh, setakat ejek je abang mampu bersabar macam kucing. Kita juga kena sentiasa bersyukur dengan apa yg Allah dah jadikan diri kita sebab itulah paling baik untuk kita. Kalau tak bersyukur, jadi macam mak tadi, hidung terjongket nak?"

"Taknak taknak.."

"Orang yg ejek orang ni sebenarnya dia nakkan perhatian je. Sebab mungkin kat rumah ibubapa dia tak beri perhatian pada dia atau kat sekolah sebenarnya tak ada orang nak berbual dengan dia. Sebab tu abang rasa dia nak cari gaduh atau dia nak abang kejar dia je kan? Tiha rasa dia nak bergurau tapi cakap semua tak betul sebab tak ada orang nak berbual dengan dia yg betul-betul. Kalau cakap tak betul, mana ada orang nak percaya cakap orang macam tu kan. Ada orang ejek abang kat sekolah?"

"Mestilah ada mak sebab tu abang tanya mak. Si H tu cakap abang badut. Haritu si L asyik ejek abang tak pandai sepak bola. Abang tak suka waktu pendidikan jasmani. Asyik kena ketawakan je!"

"Lepas orang tu ejek biasanya abang buat apa?"

"Abang kejar dia balik sampai dapat! Abang rasa marah sangat! Tapi biasanya abang tak dapat pun kejar dia balik sebab dia larikan diri laju sangat. Abang kan lari tak laju."

"Oooo.. Tak apalah abang. Normallah tu kita rasa marah bila orang ejek kita. Macam mak jugak dulu. Rasa sedih dan marah bila orang kata kita macam-macam. Tapi, tengok apa jadi bila mak tak bersyukur dan layan sangat kata-kata orang yg ejek mak tu?"

"Abang, kenapa tak beritahu cikgu? Kan cikgu kata sesiapa yg kena ejek boleh beritahu cikgu. Cikgu pun tak suka orang ejek orang ni kat sekolah." Fatihah cuba memberikan solusi.

"Alaa, abang memang nak beritahu cikgu tapi tak sempat. Asyik tak jumpa cikgu dah bunyi loceng naik rehat. Tapi sekarang, abang dah tahulah nak buat apa bila mak dah ceritakan kisah mak dulu. Cuma, abang tak tahan marah bila dengar kawan abang kena ejek dengan orang lain."

"Sama jugak abang. Samada kita kena ejek atau kita geram sangat orang ejek kawan kita, kita kena sentiasa ingat kita ada 2 pilihan. Kita boleh pilih mana yg kita rasakan yg paling baik dengan situasi tu ;

1. Sabar dan beritahu cikgu.
2. Kalau rasa tak boleh sabar, tarik nafas dalam-dalam, pergi tempat lain tinggalkan budak tu sorang-sorang kat situ, jangan layan.

Ingat tu! Hidup kita sentiasa ada pilihan lain. Tak semestinya kejar dia sampai dapat, bertumbuk atau bergaduh ataupun bakar membakar ataupun bunuh-membunuh tu jadi penyelesaiannya tahu! Sentiasa ada pilihan 2 atau 3 yg lain yg boleh kita pilih. Abang boleh berbincang dengan mak bila-bila masa nanti bila abang rasa tak ada idea nak pilih yg mana ok?"

"Ok. Baiklah."

Dan perbualan kami anak beranak bersambung lagi ke masalah yg lain di sekolah.
.
.
.

Umur anak-anak bagi lingkungan 7-14 tahun adalah tahap kedua yg perlu diberi perhatian selepas lingkungan umur emasnya berlalu iaitu 0-6 tahun.

Saya berpegang kepada pecahan umur sebegini berdasarkan hadith Rasulullah yg menyuruh ibubapa mendidik anak-anak secara berperingkat. Lihat video ini - https://youtu.be/2EzCTV9hEog

Umur di sekolah rendah adalah merupakan perubahan fasa bagi anak-anak daripada menjadi kanak-kanak kecil kepada kanak-kanak besar sebelum bergelar remaja. Bukan lagi kanak-kanak kecil, bukan juga berperangai matang seperti orang dewasa.

Di fasa perubahan ini sangat penting bagi ibubapa memberi sepenuh perhatian kepada pembentukan emosinya dan problem solving skill kepada setiap isu yg anak-anak hadapi.

Ya, DUA perkara ini tidak diajarkan di sekolah. Tiada juga dalam mana-mana silibus walaupun sekolah itu yg terbaik dalam dunia!

Bagaimana untuk berhadapan dengan beberapa jenis emosi (bukan menjadi escapism) dan bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu isu membabitkan rakan sebaya yg kuat tekanannya (problem solving skill)?

Ia juga kurang berlaku hanya kepada anak yg terdedah di sekitar persekitaran rumah dengan adik beradik sahaja kerana kecenderungan adik beradik (pengaruh rakan sebaya dalam rumah) masih di dalam kawalan ibubapa yg 24 jam di hadapan matanya.

Berbeza dengan pengaruh rakan sebaya di sekolah apabila kanak-kanak dewasa ini bereksperimentasi dengan emosinya sendiri tanpa ibubapa memerhatikannya. Di sinilah, anak-anak belajar untuk membentuk skil problem solvingnya dari sekecil-kecil perkara seterusnya melihat bagaimana dia mampu mengawal emosinya (anger management) sendiri ketika kita (ibubapanya) tiada di hadapannya.

Fasa ini dengan didikan ke atas DUA perkara ini SANGAT PENTING!

Pengabaian emosi anak dengan berkata,
"Dah la tu jangan kawan dengan dia lagi!"
"Pergi main tempat lain, mak nak berehat ni."
"Cakap lain kali boleh tak, mak tengah banyak kerja ni."
- hanya akan menjadikan mereka hilang punca dan tiada tempat rujukan yg betul untuk dijadikan pegangan membentuk kehidupannya yg baru bermula ini.

Bila tiada rujukan dan empati daripada ibubapa, anak-anak pasti akan mencari tempat rujukan lain yg boleh dipercayainya. Semasa inilah pengaruh rakan sebaya sangat memainkan peranan yg besar dalam hidup permulaan anak kita.

Akan datang, bila anak terlalu mengikut kawan-kawannya untuk keluar malam bersama, usahlah kita memarahinya dengan memisahkan 'persahabatan suci' di antara mereka yg selama ini terjalin. Malah, berfikirlah di mana diri kita dahulu semasa dia mula-mula mahukan kita untuk mendengar segala emosi permulaan yg baru dikenali dalam hidupnya satu ketika dahulu?

.

Salam tahun baru 1439H.

Semoga di permulaan tahun baru hijrah ini, seiringan dengan doa kita semua akan menjadikan kita ibubapa yg terus berusaha menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.

Cuba 'adakan' masa menganalisa emosi dan pemikiran awal anak-anak yg terbentuk di fasa 7-14 tahun ini sebelum anak-anak menganalisa dan membentuk segala emosi yg berbangkit itu mengikut perasaannya sendiri berdasarkan rakan sebaya di fasa berikutnya.

Ambil tahu emosi anak, bimbinglah dia dan berikan cara (solusi) untuk dia mampu mengawal emosi dan kemarahannya dengan sebaiknya.



#didikanakabadke21
#ceriteraanaksekolah
#didikanakberjiwabesar
#pengaruhrakanibubapa


Ahad, 8 Oktober 2017

Keliru mahu ambil vaksin atau tidak?

Oktober 08, 2017 1 Comments


Rentetan daripada perkongsian pengalaman saya semasa anak terkena AEFI (https://khadijahgani.blogspot.my/2017/10/anak-kena-aefi.html) saya mendapat soalan respon yg agak memberi kesan kepada saya. Soalan berbentuk "prediction" sebegini sungguh KBAT bagi saya tapi sama-samalah kita mengambil pelajaran daripadanya dengan hati terbuka. :)

.

Soalan :

Assalamualaikum puan..sy sgt terkesan dengan sifat positif puan dlm menangani aefi anak puan..syukur Alhamdulilah. Saya cuma terfikir sekiranya anak puan ditakdirkan mengalami aefi major.. sehingga melibatkan kecatatan kekal adakah cara puan menangani aefi ini masih sama? Dan sekiranya ditakdirkan puan dikurniakan cahaya mata, dengan kondisi major aefi anak, sanggup kah puan ambil risiko mevaksin anak sekali lagi? Saya ingin membaca ulasan puan.. penularan penyakit terutama negara yg ramai pendatang asing sgt membimbangkan.. sebaikknya sistem pertahanan tubuh yg baik adalah dasar terbaik.. saya sekadar ambil berat kesan sampingan pengawet/penstabil dalam vaksin yg sememangnya merbahaya seperti thimerosal...sy sendiri aefi minor setiap kali vaksin. 

Adik2 pernah sawan, ibu sy pernah hilang upaya sementara selepas ambil booster. Anak saya juga minor aefi.. cuma wajarkah kita ambil sesuatu yg berisiko dan berserah pada qada n qadar
.atau kita membuat pilihan tidak mevaksin kerana ketidakpastian risiko? Apa pandangan puan??

Baru2 ini, selepas menerima suntikan booster att semasa mengandung.. bayi sy yg aktif terus lemah pergerakkannya , mlm nya back pain yg selalu dirasai skala sakitnya mencecah 9.. saya demam on off hampir sebulan.. baby ambil masa 2 minggu untuk aktif kembali, tetapi gerakkan tidak sekuat mula2... saya tidak membuat sebarang laporan Aefi walaupun mengetahui. Saya ada bercerita pada nurse n doc, tapi katanya kebetulan shj.. saya ambil keputusan utk menolak booster kedua suntikan att..

Inilah pengalaman saya.. anak yg baru dilahirkan..menangis sepanjang malam selepas suntikan bcg.. tidak dapat ditenangkan..ini dikira minor aefi.. adakah saya perlu terus menyuntik vaksin walaupun tahu risikonya?adakah risiko major aefi yg perlu saya sanggupi atau risiko penyakit2 yang divaksin yg belum pasti anak sy dijangkiti? Saya berasa keliru disitu. Moga Allah tunjukkan jalan dan tetapkan pilihan.


Jawapan saya :

Wa alaikumussalam puan.

1. Kebimbangan puan betul. Ada benarnya. Puan tidak salah.

2. Jika sudah ada rekod lama dari pihak doktor yg menyatakan puan ada history dan rekod lama anak2 sebelum ini tidak boleh divaksin, maka di situ ada pengecualian utk anak puan seterusnya. Saya maklum tidak semua orang yg boleh divaksin. Tapi dengan menafikan hak orang lain yg perlu divaksin dengan awal2 lagi menyatakan tidak mahu vaksin kerana terikut-ikut kata2 orang / pengalaman orang lain yg belum tentu jadi perkara yg sama kepada dirinya, itulah yg tidak sepatutnya berlaku.

3. Jika anak saya menghadapi kesan aefi major, sudah tentu saya akan segera melakukan report aefi ke pihak sepatutnya utk tindakan segera diambil supaya anak orang lain tidak terkena sama batch vaksin yg serupa. Batch vaksin tersebut perlu diperhatikan semula bagaimana cara penyimpanannnya samada betul atau tidak atau berlaku salah intake yg lain atau perkara lain yg perlu diteliti semula.

Adakala kita berprasangka mengikut ilmu kita yg cetek ini tapi sebenarnya ada perkara lain yg berlaku secara saintifik yg boleh dijelaskan jika dikaji dengan teliti oleh orang dalam bidangnya. Satu vaksin boleh memberi kesan yg berbeza ke atas setiap tubuh badan dengan sebab musabab yg berbeza. Ini hasil perbincangan saya dengan bahagian report aefi tempohari. Penelitian bagi satu2 kes itu juga berbeza mengambilkira latar belakangnya dan banyak perkara lain yg perlu dilihat semula.

Bukannya 1 punca / kesan yg terkena atas seorang anak boleh dipukul rata dengan assumption yg ia boleh berlaku perkara yg sama.

Dalam masa yg sama saya pasti akan uruskan apa yg perlu diurus dulu utk sama2 menghadapi kesan kesakitan anak dengan sebaiknya. Usahakan cara pemulihannya atau legakan kesakitannya dulu.

Refer kepada doktor pakar bukan doktor am. Bukan update status di facebook atau minta pandangan rawak dari sesiapa dulu yg entah ada ilmu yg benar atau tidak melalui whatsapp/facebook. Bukan..

Ya. Sama seperti yg saya ceritakan dalam post sebelum ini. Langkah yg sama juga akan saya ambil.

Fokus kepada anak dulu sebelum mendengar nasihat orang luar. Ini bagi memastikan ketenangan diri saya sendiri terjaga. Bayangkan jika semasa kita sedang panik kita tambah lagi dengan membaca beratus2 komen menyuruh kita melakukan itu dan ini, begitu dan begini, salah itu dan salah ini, betul itu dan betul ini. Bagaimanakah ketenangan itu dapat diperolehi?

Tanpa ketenangan ketika diri diuji (tak kiralah ujian apapun yg kita sedang hadapi), kita akan mudah lelah dan akan cepat berasa marah tentang semua perkara dan ini tidak membantu langsung kesembuhan anak yg sedang sakit itu. Anak akan menjadi bertambah sakit bila melihat kita juga sedang 'sakit' di dalam.

Selesai itu, saya akan bermuhasabah kembali mengapa ianya berlaku atas izin Allah. Saya percaya setiap kejadian itu berlaku atas izinNya kerana ada hikmah di sebaliknya yg kita takkan nampak semasa ianya terjadi.. Kenapa Allah izinkan ujian ini berlaku? Apa ilmu yg Allah nak beri pada saya? Apa yg Allah sedang ajarkan buat saya?

Jika anak saya cacat akibat aefi pun saya akan cuba melapangkan dada menerima ujian Allah yg 1 ini. Adakala kecuaian manusia lain boleh jadi asbab kita utk masuk ke syurga Allah tanpa hisab kerana kita termasuk dalam golongan yg dizalimi. Lebih baik daripada kita berada dalam golongan yg menzalimi dengan menafikan hak masyarakat umum dan boleh menjadi penyebab kepada anak kecil lain mendapat penyakit kronik yg mengancam nyawanya di awal usia.

Saya teringat ketika menonton Nona tv3 kisah seorang anak yg lumpuh 1 badan dan menjadi celebral palsy selepas dia terjatuh dari katil semasa kecil. Si ibu sangat redha dan ceria menjaga anaknya. Jika anak saya jatuh katil, diri saya akan berasa bersalah yg kuat. Saya sukar utk memaafkan diri sendiri jika sesuatu berlaku kepada anak. Inikan pula anaknya menjadi istimewa hanya disebabkan jatuh katil?

Jika saya tidak mahu terjadi ke atas anak orang lain, tentu saya akan 'berkempen' JAUHI KATIL kerana ia boleh beri kesan buruk kepada anak! Tetapi, tak berlaku sedemikian rupa kepada ibu ini.
Sungguh saya kagum dengan ibu tersebut. Pasti Allah mengganjarinya dengan syurga kelak atas kepayahan dan kesusahan demi kesusahannya menjaga anak syurga ini.

Sama juga keadaannya walau APAPUN punca/sebab musabab seorang anak menjadi istimewa, redha adalah kata kuncinya dan kita perlu kuat melaluinya demi syurga yg dirindukan. Kita redha atas ketentuannya, Allah akan redha kembali kepada kita. Masuklah kamu ke dalam syurga Allah dengan hati-hati yg tenang.

Jika boleh diubah pandangan masyarakat, tiada apapun 'cacatnya' memelihara dan membesarkan seorang anak istimewa. Jika boleh diubah mindset masyarakat, melalui anak istimewalah kita menumpang doanya dan bahagian hidupnya di dunia ini untuk beroleh syurga tanpa hisab. Tiada siapapun yg tahu jalan manakah yg terbaik buat kita yg akan sentiasa diuji melalui anak-anak.

4. Puan ada hak utk tidak mahu mengambil suntikan vaksin akan datang jika puan merasakan ianya memang beri kesan buruk kepada janin. Menjaga janin juga adalah hak peribadi puan. Puan lebih tahu kerana ianya badan puan sendiri. Puan yg rasa sendiri. Orang lain takkan memahaminya..

Namun, puan masih boleh berbincang dengan doktor pakar lain jika puan rasa doktor ini meremehkan pandangan puan. Kita sentiasa boleh cari pandangan kedua, ketiga dan seterusnya dengan menceritakan history family dan kebimbangan hati puan yg sebenar. Saya pasti ada doktor yg betul2 pakar akan mengambilkira history puan dan akan dapat mengesahkan samada vaksin ini boleh diambil oleh puan atau anak puan pada masa akan datang atau tidak. Serahkan kepada yg betul2 pakar. Rujuklah kepada yg betul2 ahli dalam bidangnya.

5. Bila sudah ada pengesahan dari doktor pakar yg puan serta anak2 puan seterusnya SAH tidak boleh ambil apa jua suntikan vaksin, ia pasti akan menjadikan puan lebih tenang bersalin di hospital kerajaan tanpa perlu bertegang urat atau bermasam muka dengan staf hospital. Tidak perlu menyemai kebencian sesama muslim. Mereka akan faham kenapa puan termasuk dalam pengecualian vaksin. Bukan sebab suka-suka atau sebab orang lain suruh buat atau juga bukan sebab 'orang lain buat sebab - kita pun nak buat' tanpa kita ada sebab yg kuat.

6. Puan perlu juga buat laporan kesan aefi melalui saluran yg saya kongsikan dalam post tersebut supaya kesan aefi di malaysia ini dapat dikaji dengan terperinci sejauh mana keberkesanannya dan keperluannya ke atas rakyat malaysia. Bukanlah nanti kita menggunapakai hasil dapatan kajian negara orang lain pula yg berbeza komposisi masyarakat yg majmuk dan latar belakang penularan penyakit dalam sesebuah negara ini.

Puan juga dapat menyumbang sesuatu kepada ummah secara keseluruhannya. Mana tahu dengan laporan puan yg vital ini akan menjadi titik tolak kepada kajian semula vaksin samada dikurangkan intake tertentu atau diubah kepada kajian lain yg lebih selamat utk generasi seterusnya.

Yang penting sesiapa yg mempunyai kesan major mahupun minor aefi WAJIB buat laporan dan beri kerjasama yg baik kepada pihak yg memegang autoriti tersebut. Jangan mendiamkan diri dan JANGAN kita menjadi golongan yg suka mengadu domba dan menimbulkan kebencian sesama
manusia - surah al hujurat.

Setiap masalah pasti ada jalan yg baik utk diselesaikan walaupun kita ini dilayan dengan cara yg tidak baik sekalipun tetapi cukuplah Rasulullah sebagai contoh teladan yg unggul untuk kita contohi
akhlaknya.

7. Sebaiknya puan lakukanlah solat hajat dan istikharah untuk mendapatkan jawapan yg terbaik buat puan dan anak2.. Saya tiada jawapan yg betul untuk puan. Lakukanlah solat tersebut selepas mengambilkira pandangan pakar yg betul2 dapat memahami kebimbangan puan dan puan berpuas hati dengan penerangannya.

Usah mengambil keputusan hanya berdasarkan "cakap-cakap orang" di alam maya yg puan sendiri
tak pernah bersua muka dengannya dan tidak pasti ilmu yg diperolehinya. Kelak, di akhirat ilmu yg betul itu akan dipersoalkan dan puan ada rujukan yg kuat utk disandarkan keputusan yg puan buat. Berbanding kita menjawab depan Allah -"saya hanya baca di facebook ya Allah."

Semoga puan beroleh jawapan yg benar lagi membenarkan ilmu yg mulia. Ya, ilmu itu luas adanya. Jika dijadikan lautan seluas bumi ini menjadi tintanya, takkan cukup lautan ini. Maka, ilmu kita ini berada di 'lautan atau sungai' yg mana?

.

Jika tak keberatan, bolehkah saya siarkan soalan puan di wall saya? Soalan puan ini mewakili kebimbangan ramai ibu2 di luar sana saya faham.. Mungkin ini akan dapat membantu mereka yg dalam kebimbangan yg sama. Terima kasih di atas soalan puan. Ia memberi kesan kepada saya. 🙂

.

Respon semula :

Wsalam..tq dengan pendapat puan.. ya boleh saja utk kebaikkan umum.. menghargai dan menghormati pendapat .org lain adalah peribadi yg mulia puan.. salam hormat dari saya.



#daripetisoalan
#uruskanaefidengantenangandaakanmenang


Bila anak kena AEFI

Oktober 08, 2017 0 Comments


Semua perkara dalam dunia ini ada risikonya.
Dunia ini sendiripun dijadikan dengan riskonya tertentu.
Lalu, mengapa Allah masih menciptakan sesuatu yg berisiko ini jika sudah tahu ada risiko yg buruk bakal terjadi?

Kerana dunia ini adalah tempat ujian. Allah hanya ingin menguji hamba-hambaNya siapakah di antara hambaNya yg lebih baik amalannya?

.

30 April 2017

Fatihah ke sekolah seperti biasa. Balik saja ke rumah dia mengadu sakit kedua-dua belah tangannya kerana ada injection hari ini di sekolah. Saya agak terperanjat kerana pihak sekolah tidak memaklumkan apa-apa. Saya bertambah risau kerana kelmarin dia baru terjatuh dan tangannya terseliuh hingga dia tak boleh disentuh langsung. Tapi semalam saya dah bawanya mengurut dan dah baik.




Petang itu, semasa dia mandi saya perasan tangan sebelah kanannya jadi merah dan bengkak, besar. Saya memberitahu suami. Saya juga ambil gambarnya dan seperti biasa meminta pandangan dan pencerahan daripada Dr. Hairin Anisa Tajuddin. Lalu, Dr mengatakan yg ianya moderate AEFI. Perlu buat report.

Masa itu, saya tak terfikir langsung mengenai AEFI. Sebelum ini, anak-anak semua complete vaksin dan tak pernah dapat AEFI. Lagipun injection 7 tahun ini pula hanyalah booster.

Dalam masa yg sama, ada ibu yg bertanya di Whats App grup kelas anak, siapa lagi anaknya bengkak tangan. Mulalah saya angkat tangan.. Hehe.. Jika tidak, saya sejenis senyap saja dalan Whats App kelas anak itu. Rupa-rupanya ada 5-6 orang lagi yg senasib dengan Fatihah, semuanya bengkak tangan sebelah kanan saja. Tangan kiri tiada apa-apa.

Saya memberitahu semua ibubapa yg saya dapat nasihat dari doktor pakar untuk membuat report AEFI. Sepertinya tiada seorang pun yg faham apa itu AEFI. Cikgu juga tak tahu nak buat apa. Saya pun senyaplah semula.

1 Mei 2017

Hari cuti. KK tutup. Semua orang pun bercuti. Maka, saya hanya tuam tempat bengkak dengan pack ais. Malam tadi, Fatihah terbangun malam beberapa kali tak boleh tidur sebab gatal dan sakit katanya. Saya takut nak berikan apa-apa ubat. Takut risikonya berganda jika diberi ubat mengikut suka hati saya, hanya menyuruhnya bersabar sambil berzikir saja.

Hati ibu mana yg tak luluh bila melihat anaknya menahan sakit yg lama? Bengkak, merah, gatal.. Fatihah hilang selera makan, dia tak mahu makan langsung sejak semalam. Hanya tidur melepek. Saya takut saja bengkaknya itu bertukar kehitaman seperti isu viral yg sedang hangat. Biasalah, mak-mak ini adakalanya fikirannya terlampau maju kehadapan..hehe..

Segeralah saya beristighfar dan berfikir yg lebih baik. Mungkin dengan cara ini Fatihah akan belajar untuk mengurus kesakitan. Tak apa Tiha, Tiha akan jadi lebih mahir untuk faham rasa sakit dan badan Tiha akan adjust menggerakkan sendiri hormon-hormon tertentu untuk melawan sakit itu. Its ok, ambil masa sikit - saya katakan kepadanya.

Mahu saja saya post dalam fb dan pukul canang ke seluruh alam mengatakan efek suntikan vaksin yg anak saya hadapi ini dan ingin bertanya bagaimana mahu buat report AEFI. Tapi, saya tangguhkan dulu kemarahan/ketidakpuasan hati. Ya, sama seperti prinsip saya mendidik anak-anak. Kemam dulu kemarahan.

Saya fikir, tak guna kita mengadu domba menyalahkan sesiapa dan apa. Apakah gunanya mencari perhatian orang lain dan mahu menyalahkan orang lain di saat anak kita sedang bertaruh dengan kesakitan?

Prinsip saya, apabila anak sakit, saya perlukan ketenangan supaya proses penyembuhan anak akan terjadi dengan cepat. Jika fikiran saya yg sudah macam-macam ini ditambah lagi dengan kata-kata dan pandangan orang lain yg ramai dan bermacam-macam, saya tak akan temui ketenangan itu dan ini akan mengakibatkan proses penyembuhan anak saya semakin lama atau mungkin jadi lebih teruk. Saya tak mahu begitu.

Tiba-tiba ayat ini keluar dari dalam fikiran -
Orang mukmin itu tidak melulu dan bersikap tenang apabila ujian mendatang.

Maka, buat pertamanya saya sedar bahawa saya perlu redha. Dalam hidup ini banyak risikonya sendiri walau apapun jalan dan cara yg kita pilih. Penyembuhan pertama berlaku apabila seorang ibu redha kepada anaknya.

Saya mengizinkan anak saya disuntik dan mengikuti program imunisasi negara dengan lengkap maka, saya perlu uruskan segala risikonya. Saya sedar pasti akan ada risikonya. Bukan dengan cara mahu lari dari risiko maka saya tak perlu bersetuju untuk tidak memvaksinkan anak-anak. Jika jalan itu yg saya pilih, saya takut untuk mungkin menzalimi orang lain yg berkemungkinan anaknya dijangkiti penyakit cegahan vaksin yg lain di saat itulah anak pertamanya selepas berpuluh-puluh tahun menunggu.

Ya, risiko ini boleh terjadi kepada sesiapa. Kemaslahatan orang awam lebih utama dari kemaslahatan diri sendiri. Inilah fiqh keutamaan yg saya pegang (fiqh aulawiyyat). Mencegah lebih baik dari merawat. Dan tiada gunanya ambil keputusan untuk lari dari risiko (masalah) walhal kita tetap terdedah kepada risiko yg lain. Makanya, berhadapanlah dengan apa jua risiko (masalah) yg datang. Uruskan dengan baik. Dunia ini tempat untuk diuji dan diurus,

2 Mei 2017

Saya segera bawa Fatihah ke KK berhampiran. Di awal pagi, saya berdoa moga dipermudahkan urusan report AEFI ini. Ya, doa sendiri-sendiri dalam tahajjud sejak semalam. Saya tak mahu post di fb untuk mengeruhkan keadaan di saat saya sendiri tidak pasti arahnya. Saya berdoa moga ada pengajaran yg boleh saya pelajari melalui kesakitan anak kali ini. Sama juga seperti apabila anak-anak yg lain sakit, inilah doa saya. Saya sentiasa mahu belajar dari hari ke hari.

Niat saya bukan untuk mencari salah sesiapa atau mencari gaduh dengan sesiapa. Bukan. Saya hanya mahu menjalankan rasa tanggungjawab untuk buat report supaya pihak tertentu dapat menjalankan siasatan terperinci di manakah pembolehubah kepada faktor kejadian begini. Kelak, mungkin akan ada penambahbaikan yg boleh diberi perhatian supaya kes-kes begini dapat dikurangkan.

Saya mahu mendaftar di Klinik ibu dan anak, tapi katanya anak 7 tahun daftar di klinik luar bukan di sini. Maka, saya pun ambil borang oren (pesakit luar) itu dan mencari-cari pen untuk menulis.

Kebetulan ada staf klinik berada di kaunter dan saya menceritakan kronologi sebelum ini. Terus saja dia katakan,
"Puan, nanti puan boleh ceritakan semuanya pada dojtor ya. Meh saya tolong isikan borangnya"...
Hehe.. Terlajak eksaited mak! Tak sabor ni nak ceritakan perasaan terpendam selama beberapa hari..

Syukur sangat beiau mengisikan borang untuk saya yg sedang menggendong Farihin ni. Mujur saya ke KK bawa Farihin dan Fatihah saja.. Lagi 2 orang anak tinggalkan dengan nenek.

Staf KK begini yg alert dengan situasi ibu gendong anak/bawa anak ramai dengan membantu mengisikan borang adalah sangat-sangat dipuji! Ia sangat melegakan saya dan meringankan hati saya. Terima kasih!

Apabila dapat nombor, Masha Allah! Lagi 30 orang?

Saya pun sekali lagi pasrah dan redha.. Ya, REDHA adalah kata kunci kita semasa berhadapan dengan ujian demi ujian yg singgah.

Farihin tertidur kepanasan. Aircond di KK memang sudah lama rosak. Entahlah mungkin dah tak berfungsi dengan baik disebabkan ramainya manusia di KK. Batuk, selsema, mata merah semua ada di sekeliling Farihin. Saya bertawakkal saja demi anak lagi seorang. Mujur ada kerusi kosong.

Dekat 10 minit nombor tak bergerak. Nak menangis rasanya! Panas usah cerita. Fatihah dah mula merengek sakit. Farihin dah berpeluh-peluh basah baju. Memang rasa nak naik angin. Saya seorang yg bawa anak kecil di situ. Sekali lagi, tangguhkan kemarahan. Kemamlah ketidakpuasan hati itu. Allah sedang menguji tentang kesabaran. Lalu, saya berzikir - Ya Latif.. Ya Latif.. Ya Latif.. Redhalah hati.. Redhalah hati.. Redhalah hati.. Lagi 30 orang..

Cukup 15 minit, KK seperti dilanda Garuda. Nombor dipanggil bertalu-talu! Tak henti-henti. Bilik sana sini dan kaunter pendaftaran memanggil nombor tanpa henti. Hinggallah dalam 3 minit saja nombor saya dipanggil dan saya mendaftar seperti biasa.

Di bahagian seterusnya, panjang juga barisan untuk beratur. Tak apalah.. Beratur saja. Tiba-tiba saja sudah ada di depan. Berat Fatihah diambil dan terus saja saya meletakkan kad di bilik doktor.
10 minit menunggu nombor dipanggil. Masuk ke bilik doktor, saya menceritakan semuanya. Meluahkan semua yg terbuku.

Yang menjadi kebimbangan saya adalah takut-takut jika tangan Fatihah yg terseliuh sehari sebelumnya belum baik dan mengakibatkan bengkak yg teruk begini. Doktor memeriksa. katanya jika tangan yg terseliuh, bengkak berlaku di joint-joint tangan. Tapi bengkak ini obvious di kawasan tempat suntikan. Ini adalah faktor teknikal. Katanya mungkin fatihah struggle dan misi grab tangan Fatihah dengan terlalu kuat.

Saya senyum saja. fatihah sejenis bukan melawan. Tapi, mungkin saja dia melawan disebabkan tangannya yg sakit akibat terjatuh itu tempohari pun saya nak pegang dia tak mahu. Sepatutnya, dia perlu dibiarkan. Dia tidak melawan. Dengan memegangnya kuat akan menyebabkan dia bertambah takut dan mungkin sedikit melawan. Dia tak suka dipegang.

Saya bertanya, perlu tak saya buat report AEFI? Katanya tak perlu sebab bengkak ini hanyalah minor AEFI. Ini biasa saja. Katanya, anaknya juga baru dapat injection 7 tahun dan bengkak tangannya tapi Fatihah punya bengkak nampak lebih teruk. Jadi, beliau memberi Fatihah cuti 2 hari. Cuma, saya perlu perhatikan jika bengkaknya semakin membesar, barulah perlu dibawa ke hospital segera. Beliau suruh saya mengukur bengkaknya. Fatihah diberi ubat tahan sakit, surut bengkak dan paracetamol takut-takut jika Tiha demam. Terima kasih di atas concern ini. At least ada penyelesaiannya membantu saya mengurus kesakitan yg Tiha alami.

Keluar saja KK saya lihat jam. Setengah jam je? Sbhanallah! Ini ajaib! Saya tak pernah ke mana-mana klinik yg secepat dan sepantas 30 minit saja sudah siap walhal datang tadi saya sudah putus harap melihatkan giliran saya lagi 30 nombor. SUngguh, zikir Ya Latif sentiasa berkesan apabila saya mahu betul-betul dipercepatkan urusan.

Besar hikmahnya, apabila kita bersabar dan redha dalam kesakitan dan kepayahan. Walau kita tak suka, leceh, kita uruskan sajalah mana yg sepatutnya. Allah sentiasa bersama hambaNya yg bersabar.
Setakat ini, Tiha hanya dedar tidak demam. Malamnya, Fatihah terbangun malam sekali lagi sakit dan gatal katanya tak dapat tidur. Saya hanya memberinya ubat surut bengkak. Dan dia tertidur.

3 Mei 2017

Saya tidak jadi membuat report disebabkan doktor KK mengatakan tidak perlu. Tapi tiba-tiba, kakak ipar saya menghantar link untuk public report AEFI melalui laman web NPRA. Pertama kali saya mendengar tentang National Pharmaceutical Regulatory Agency - NPRA. Menurut lawan web tersebut, report AEFI perlu dibuat walaupun minor. Ini dapat membantu mereka untuk membuat statistik dengan lebih terperinci. Sama seperti Dr. Anisa sarankan kepada saya tempohari. Jadi, saya dah konfius.

Perlu atau tak saya buat report ini? Mahu saja saya post di fb atau bertanya di MKT(O) atau Whats App minta pandangan kawan-kawan tapi saya tahan diri. Saya tahu ramai juga kawan-kawan saya pernah mengadu pasal AEFI. Ya, part ini saya memang sedikit degil. Saya ingin mempelajarinya sendiri dengan pengalaman sendiri, tak mahu menyamakan pengalaman orang lain dengan diri sendiri.

Dan saya tak mahu memperbesarkan keadaan dengan menuding jari kepada sesiapa. Apabila berlaku sesuatu, mencari salah orang lain sentiasa tidak akan membantu apa-apa. Hakikatnya, semua manusia tak sempurna apa lagi sistem yg manusia buat tentu sajalah tidak akan mampu sempurna.

Atau mungkin saja golongan tertentu akan ambil kesempatan di atas kekeliruan ini dan seterusnya, menggunakannya sebagai modal untuk memihak kepada pegangan mereka pula dengan menyalahkan semua orang yg berkaitan dengan vaksin. Itu bukan niat saya. Saya tidak mahu risiko sebegitu pula yg terjadi makanya saya senyap saja. Saya hanya akan menulis sesuatu yg saya pasti dan saya telah mengalami sendiri.

Saya ke kedai untuk print out borang report tersebut. Dan saya isikan mengikut kotak-kotak yg ditanyakan. Kemudian, saya tak pasti bagaimana mahu hantar report ini.

Saya call NPRA. Talian sibuk. Sepanjang hari juga sibuk tidak berjawab. Sekali lagi, memang rasa tak puas hati. Tapi, perlukah saya mencanangkan kepada dunia akan teruknya sistem yg ada ini?

Jawapannya tak perlu pun. Saya tarik nafas dalam-dalam menelan segalanya. Saya niatkan asbab kesabaran ini, Fatihah akan sembuh dengan segera dan boleh tidur malam dengan tenang semula serta seleranya kembali normal. Risau anak tak makan beberapa hari sebab sakit ini.

Sehinggalah 3 hari mencuba. Talian ditembusi. Baru saya dapat bercakap dengan staf. Beliau menymbungkan saya kepda satu division ke satu lagi division. Ya, selepas bercakap banyak kali berunglang-ulang, saya terasa seperti bola. Ke sana ke mari entah siapa yg saya disalurkan. Tak mengapalah. Memang begitulah sistem yg berlapis ini berfungsi. Mana ada satu sistem di dunia pun yg perfect 10? Pasrah sajalah.. Sehinggalah saya terhenti di satu division katanya,
"Oh report pasal AEFI under division AEFI/vaksin puan bukan division saya jaga ubat. Puan tinggalkan nama dan no telefon boleh? Nanti saya akan suruh staf dari division AEFI call semula puan."

Saya pun pasrah. Walaupun saya tahu peluang itu hanyalah 50-50. Itu ayat biasa yg saya terima apabila berhadapan dengan sistem kerajaan. Biasalah tu.

.

Minggu hadapannya, saya memberanikan diri ke KK semula. Saya tak terima apa-apa call dari NPRA lagi makanya sesuatu belum diselesaikan perlu diteruskan. Di dalam borang tercatat borang ini boleh dihantar kepada ahli farmasi di KK tersebut. Saya pun membawa anak-anak balik sekolah semuanya ke KK. Waktu itu hari dah petang lagi setengah jam semua orang akan balik.

Pergi terus ke farmasi dahulu untuk bertanya. Kelihatannya semua staf seperti terpinga-pinga apabila saya menyebut AEFI. Kebetulan ada seorang staf yg nampak sangat sibuk lalu di belakang staf yg saya bertanya itu lalu dia terus menyuruh saya pergi ke klinik ibu dan anak berjumpa matron untuk mendapatkan nombor batch vaksin dan staf yg bertugas memberi suntikan kepada anak saya pada hari itu.

Saya pun ke seberang sana semula. Silap saya tidak berjumpa terus kepada matron. Saya berhenti di kaunter dan bertanya tentang report ini. Seorang staf nurse mengaku dialah yg bertugas pada hari tersebut di sekolah tersebut. Dia mengatakan biasanya yg bengkak begini adalah murid yg menangis kuat dan meronta hingga menyebabkan misi terpaksa memegang kuat-kuat tangan murid tersebut.

Saya tahu anak saya bagaimana. Dan saya tak mahu backing anak saya dengan mengatakan apa-apa mengenai teknikaliti semasa suntikan. Biasalah murid darjah 1 ni kebanyakannya masih takut-takut pada semua benda nak-nak sejenis macam Tiha. Saya sendiri mengambil masa setengah tahun untuk melatih dirinya berdikari dan beranikan diri bercakap dengan kawan-kawan dan cikgu di sekolah.

Bukan senang nak bina keberaniannya untuk bergaul di sekolah apalagi menghadapi suntikan di kedua-dua tangan seorang diri tanpa seseorang yg dia percayai..

Semasa ini, saya terfikir tidak bolehkah jika diubah sistem ini dengan membawa anak ambil suntikan hanya dengan kehadiran waris di sisi?

Saya membuat report ini bukanlah mahu menyalahkan sesiapa. Saya tak mahu bertegang urat dan bermasam muka dengan sesiapa. Saya faham semua staf hanya menjalankan tugasnya dengan baik. Dan saya hanya mahu menjalankan tugas dan hak saya untuk membuat report ini supaya pihak NPRA dapat menyimpan data berkaitan AEFI dan terpulang kepadanya untuk mengkategorikan kes ini sebagai apa.

Saya juga sedia tahu ini isu yg super sensitif. Golongan tertentu menggunapakai isu ini untuk menolak vaksin. Saya tahu itu. Itu bukan bermakna saya juga termasuk golongan yg membenci itu.
Dalam hidup ni kita hanya akan dapat penat bila hanya benci membenci tanpa ada solusi. Saya hanya mahu dapatkan kepastian samada perlu atau tidak saya meneruskan report ini? Saya cuma seorang yg konfius.

4-5 staf nurse mengerumuni saya. Bayangkanlah saya seorang di situ seperti hendak cari gaduh pula lagaknya.. hehe.. Masing-masing mengatakan ini perkara biasa. Minor saja. Tak perlu buat report. Ini pertama kali KK menerima report mengenai AEFI. Sayalah orangnya! hehe.. Mereka juga merujuk semula kepada doktor yg melihat keadaan Fatihah tempohari. Double confirm. Doktor juga mengatakan tidak perlu. Full stop. Lagipun Fatihah dah baik. Bengkaknya pun tidak berlarutan.

Mereka bertanya lagi di mana saya dapat borang ini? Kerana mereka tiada borang begini. Saya katakan, saya print out dari NPRA. Mereka juga seperti tidak pernah mendengar mengenai NPRA. Tak mengapa.

Saya bukan kaki google. Saya juga tidak membaca pengalaman ibubapa lain yg pernah mengalami AEFI melalui google kerana saya tahu kemungkinan saya akan membaca tulisan yg bias. Saya tak mahu dipengaruhi dengan seesiapa. Saya ambil dan merujuk daripada sumber yg dipercayai. Sumber yg berkait langsung dengan isu AEFI. Bukan second or third party.

Mereka agak terkejut. Dan masing-masing sepertinya sudah "berbulu" dengan saya. Saya senyum saja dan berpegang kepada niat asal saya. Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa. Tapi tindakan ini kelihatannya seperti orang lain boleh saja tersalah tafsir akan niat sebenar saya.

Mujur seorang misi Indian step forward menenangkan keadaan. Saya dibawa keluar dari kumpulan misi tersebut. Saya duduk daripada berdiri dari tadi. Beliau melayan dan menerangkan kepada saya AEFI yg paling serius saja boleh buat report seperti timbul ruam-ruam merah atau sesak nafas atau paling teruk dia pernah jumpa murid pengsan sejurus suntikan HPV. Suntikan HPV memang kuat sedikit tapi booster untuk suntikan darjah 1 tidak kuat.

Lagipun sebelum ini anak saya ok saja tiada AEFI semasa mendapatkan suntikan awal masa dia kecil dulu. Beliau membawa report tersebut untuk double confirm dengan doktor yg merawat. Oleh kerana doktor pun memberitahu tak perlu buat report, makanya misi tak dapat mengisi borang tersebut di bahagian bawah untuk mendapatkan nombor batch. Lalu, misi Indian tersebut mengambil nama dan no telefon saya dan berjanji akan hubungi saya semula apabila ada progres seterusnya. Biasalah tu.. Bijak beliau menjalankan tugas. Saya salute! At least prosedur terakhir dijalankan dengan berhemah walaupun tiada kata sepakat terhasil. Dan saya masih lagi dalam kekonfiusan.

Saya tahu memang tindakan seterusnya tidak nampak jalannya. hehe.. Tapi saya berlapang dada. Saya membayangkan jika saya berada dalam kasut misi tersebut pun tentu sajalah saya kecut perut orang buat report pasal kita. Silap-silap kita kena tindakan tatatertib pula walhal kita menjalankan tugas sehabis baik demi mencari sesuap nasi demi anak-anak di rumah. Saya faham itu.

Cuma, saya tak tahu kenapa borang dalam report tersebut perlu ada ruangan nama staf yg bertugas. Saya kira cukuplah jika ada ruangan nombor batch saja untuk dipantau semula cara storage vaksin tersebut dan pengendaliannya. Saya tidak mahu sesiapapun dipecat atau dikenakan tindakan apa-apa.. Perkara mahu terjadi, akan terjadi juga. Asbabnya boleh jadi apa-apa saja melalui macam-macam cara. Allah pasti sediakan pengajaran yg berharga buat saya. Saya sudah lama redha.

Saya berlapang dada. Dan bertawakkal setelah usaha ini dilakukan. Dalam doa malam saya sajalah saya menyerahkan kepada Allah agar membuka hati-hati manusia yg berkaitan ini agar menunjuk jalan kepada saya jika benar laporan ini perlu dibuat dan jika benar pengalaman ini juga berguna bagi insan lain.

.
.
.

17 Mei 2017

Tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada staf NPRA. Seronok hati bukan kepalang! Allah memakbulkan doa saya. Syukur alhamdulillah.

Beliau meminta maaf kerana lambat menghubungi saya semula. Tak mengapa saya faham kesibukan beliau. Saya menceritakan dari A sampai Z. Beliau mengambil beberapa input penting seperti nama sekolah, nama anak, nama saya sebagai waris, nombor IC anak samada anak saya dah cukup belum umurnya 7 tahun. Ketika inilah baru saya terfikir Fatihah belum cukup 7 tahun. 3 Jun nanti baru dia genap 7 tahun.

Inilah maksud saya untuk bertegas membuat report. Ada perkara-perkara yg kita tak sangka dan tak tahupun yg berkemungkinan menyumbang kepada AEFI begini. Report ini dibuat supaya memudahkan pihak NPRA menjalankan kajian dan mengumpulkan statistiknya serta mengkasifikasikan kes kes AEFI mengikut subjek matter tertentu.

Mungkin saja pihak mereka boleh menilai kembali berapa ramai mendapati AEFI sebelum umur seseorang itu cukup atau tidak. Atau mungkin saja ada masalah teknikal dari segi pengendalian storagenya atau apa saja. Mereka lebih tahu urusan mereka. Mereka boleh lakukan research berdasarkan kuantitatif dan kualitatifnya.

Report ini penting walaupun minor. Kita perlu jalankan hak kita sebagai pengguna. Beri kerjasama kepada pihak yg diwajibkan ke atasnya melakukan prosedur demi prosedur ini.

Saya memetik semula kata-kata staf NPRA tersebut,
"Apa yg puan buat ini betul. Puan dan juga semua ibubapa perlu membuat report AEFI ini jika berlaku kepada anak-anak bagi memudahkan kita melakukan siasatan dan kajian. Suntikan vaksin ini bukanlah mengenai perkara teknikal sahaja tapi ia mengenai sejauh mana vaksin tersebut bertindakbalas dengan tubuh seseorang. Setiap orang berbeza tindakbalasnya dan itu yg kita kena buat kajian terperinci. Walaupun ianya minor macam anak puan alami bengkak saja pun itu dah cukup bantu kami buat research ini dan sediakan statistik ini dengan betul. Nanti tidaklah kalau ada orang minta statistik AEFI kita tak dapat berikan statistik dan pencerahan kajian yg tepat. Diambilnya dari negara orang lain pula. Apa yg puan buat dah betul. Cikgu-cikgu juga sepatutnya tahu mengenai perkara sebegini dengan menasihatkan ibubapa membuat report AEFI jika anak mengalami AEFI. Ini sangat-sangat dapat membantu kami."

Saya bertanya lagi mengapa berlaku ketidaksamaan informasi mengenai ini? Ada doktor yg kata tak perlu, ada doktor yg kata perlu. Mana satu yg betul? Katanya,

"Daripada pihak kami sudah lama mewar-warkan mengenai report AEFI ini. Tapi biasalah puan, bila mereka bekerja dengan sistem yg sudah terlalu lama, dan sudah terbiasa dengan perkara ini, mereka tak nampak kepentingannya. Macam dengar tak dengar saja arahan dari kami. Orang kata, kenalah biasakan yg betul, betulkan yg biasa. Jadi, kita mengharapkan orang ramai seperti puan untuk tahu hak puan dan bantu kami dengan membuat report ini. Walaupun minor semuanya ada dalam borang itu. Isikan saja. kalau tak dapat kerjasama dari pihak berkenaan, boleh terus call kita dan buat report samada hantarkan fax atau emel kami. Nanti kami akan hubungi pembuat report untuk input yg lebih lanjut. Kami juga akan rahsiakan setiap report yg dibuat dan siapa yg membuat report tersebut. Kami hanya perlukan data kes yg berlaku."
.
.
.

Alhamdulillah, genap 2 minggu segalanya sudahpun terungkai. Pentingnya membuat report AEFI. Kini, saya sudah pasti sepasti-pastinya. Pengalaman ini memang sangat berharga! Allah sediakan khas untuk saya mempelajarinya melalui nilai kesabaran.

Kesabaran adalah kata kuncinya di saat zaman hebahan media sosial kini berleluasa. Kawallah diri kita dahulu sebelum semua keadaan di sekeliling kita dapat dikawal. Tidak ada satupun yg buruk berlaku pada jiwa seorang muslim jika kita beriman kepada Qada dan Qadarnya bahawa semuanya dalam pengetahuan Allah semata-mata. DIA Maha tahu kadaran kita. Allah tidak pernah zalim kepada hambaNya. Subhanallah!

.

Public reporting on AEFI:

1. Pergi ke http://npra.moh.gov.my/ > Klik Public (tepi sebelah kiri)

2. Pilih > Reporting Side Effects to Medicines (ConSERF) or Vaccines (AEFI)

3. Klik bawah sekali > AEFI FORM
ADVERSE EVENTS FOLLOWING IMMUNISATION REPORTING FORM FOR MINOR REACTIONS

4. Print out PDF ini > Borang Pemantauan Kesan Sampingan Ringan Selepas Pelalian

5. Isikan bahagian berkenaan. Jika dapat kerjasama daripada KK yg berkenaan, alhamdulillah. Jika tidak dapat pun, berlapang dadalah.. Bayangkan kita pada kasut mereka. Tak mengapa. Boleh fakskan ke nombor yg tertera dalam borang ini. Atau call terus nombor tersebut.

Bersabarlah sehingga panggilan anda dijawab. Sungguh, kesabaran itu ada manisnya. ;)

.
.
.

Biasakan yg betul, betulkan yg biasa. Jangan menuding jari atau mencari salah sesiapa.

Kadangkala, manusia hanya melihat ubat-ubatan/makanan/minuman saja sebagai penawar kepada kesakitan yg anak-anak alami. Sebenarnya, jauh lagi dalam erti bagi suatu penawar / ubat itu adalah akhlak kita sebagai ibubapa.

Bagaimanakah akhlak kita kepada Yang Memberi Sakit dan Yang Maha Menyembuhkan serta akhlak kita yg terutama kepada sesama insan? Kerana jalan kebaikan itu bukanlah hanya pada kesihatan tetapi sebenarnya pada jalan kesakitan.


#ibrahanaksakit
#sakitituindahjikakitatidakmencarisalahsesiapa
#akhlakituantiboditerkuatbuatanak

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor