Ahad, 3 April 2016

Siapakah yg lebih baik amalnya?


Kebetulan mendengar slot rakaman bersama Ustaz Amin di radio Ikim. Walaupun hanya sebentar tapi ia sangat menyegarkan!

Menurut beliau, 3 perkara yang berulangkali diuji dalam kehidupan kita iaitulah rasa ketakutan, kesedihan dan kesabaran. Untuk lulus ujian ini harus melalui 2 perkara :

1. Tarbiyyah.
Allah akan sentiasa memberikan kita latihan sebagai ujian melalui hidup ini. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang sabar?

Dengan melalui peristiwa dan insiden-insiden yang seringkali menguji kesabaran kita. Kerana itu, jika kita selalu mengadu dengan perangai anak-anak yang menguji kesabaran kita misalnya, jangan gundah gulana kerana itulah cara Allah mendidik kita untuk menjadi orang yang lebih sabar.

Kalau Allah tak uji dengan perkara sebegitu, kita takkan tahu apa ertinya sabar. Sama sepertinya dengan rasa kesedihan dan sedikit rasa ketakutan dalam hidup ini. Allah nak ajar kita tentang ketabahan, diujiNya dengan rasa kesedihan. Allah nak ajar kita tentang "kembali kepada Allah", diujiNya kita dengan sedikit rasa takut. Berlapang dadalah melaluinya kerana itu adalah latihan. Latihan adalah bagus untuk kita menjadi hamba Allah yang lebih baik di dalam dunia ini.

2. Mujahadah.
Untuk melepasi ujian-ujian ini kita memerlukan mujahadah. Berdoalah kepada Allah agar kita diberi kekuatan melalui semua uijian ini. Kita akan diuji setiap masa kerana ini adalah dunia. Tempat semua manusia diuji.

Setiap orang perlu bermujahadah melawan perasaan yang negatif dan sifat yang negatif dalam diri kita masing-masing. Bagaimana untuk kita dapat terus bermujahadah?

1. Jangan putus berdoa supaya apa yang Allah berikan latihan kepada kita ini adalah sesuatu yang dalam kemampuan kita. Allah takkan beri jika ia di luar kemampuan kita.

2. Kurangkan pilihan. Misalnya dalam satu keadaan, kita ada pilihan mahu marah atau sabar? Biasanya manusia akan cenderung memilih jalan yang senang, mudah untuk diikuti, marah. Sebab marah itu senang. Maka, kurangkan pilihan kita. Tetap pada 1 pilihan untuk sabar. Walaupun susah, kita cuba dan bermujahadah melawan bisikan syaitan dan tetapkan pendirian kita kepada sabar.

Di akhirnya Allah mengingatkan kita. Dalam setiap ujian di atas muka bumi ini, kenapa Allah berikan kepada kita dan apa sebenarnya yang Allah mahukan daripada kita hambaNya?

Liyabluwakum aiyyukum ahsanu 'amalaa.

Tak kira apa jua ujian yang datang melanda, di akhirnya Allah mahu melihat siapakah di antara kita yang lebih baik amalnya (responnya).

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)."
(Al-Mulk 67:2)

Cakap.. Cakap... Cakap...!


Fatihah (3 tahun) sangat 'rambang mata' seperti saya..hehe..

Setiap kali ke kedai, dia akan minta air kotak atau aiskrim. Setiap kali lalu tepi taman, dia mahu main di taman tak kira waktu. Setiap kali lalu depan Jusco, dia merengek mahu pergi Jusco. Berhenti di stesen minyak, mahu air kotak. Semuanya dia nak.

Kalau ikutkan anak, memang tak ke manalah kami anak beranak.

Apa erti keluarga jika selepas berkahwin dan punya anak, anak-anak dilihat sebagai suatu 'yg memalukan dan bebanan' hanya kerana mereka sentiasa bising mahu itu dan ini?

Semalam, semasa abahnya berhenti di kedai membeli barang dapur dia menangis dalam kereta mahu ikut beli air kotak. Dan seperti biasa saya diamkan saja dahulu. Oleh kerana ini sudah entah ke berapa juta kali dia merengek sebegitu saya sudah jadi lali.

Biasanya kalau kedua-duanya merengek sebegitu saya akan cari fokus lain di luar kereta (jauh dari kedai) dengan bertanya macam-macam tentang permainan kesukaan mereka atau 'dunia ciptaan mereka' untuk dia lupa sebentar. Saya akan bertanya tentang restoran dia tadi siapa yg datang, berapa ramai, anak dah bagi makan belum, anak dah mandi belum (anak merujuk kepada anak patung Tiha yg suka dibawa sana sini), kawan datang makan tadi berapa ramai, masak apa dan sebagainya. Atau saya ajak mereka mencari burung atau kapal terbang di atas awan, tengok awan bentuk apa, cari pokok yg ada bunga merah atau apa saja.

Kali ini saya mahu 'test' pengaruh rakan sebaya pula hehe..

Saya lihat si abang Fathi (4 tahun) hanya diam (tidak bersekongkol pula kali ni).

"Abang, kalau kita nak apa-apa kita kena sabar kan? Kenapa kita kena sabar bang?"

"Aih Tiha ni. Sabarlah sikit. Nanti balik rumah mak buat air pink yg sedap tu. Takyah beli-beli. Kat rumah ada air banyak! Nanti air kat rumah tu takde orang minum, tak habis membazir. Macam susu haritu. Kalau membazir kan tak baik. Allah marah! Dah dah.. Jangan nangis lagi. Sabar sikit. Bila kita sabar barulah boleh dapat banyak-banyak!"

Erk! Saya tersentap!

Saya tak menyangka sama sekali 'pengaruh rakan sebaya' kali ini ayatnya agak panjang begitu..

Akibat 'ceramah' abangnya itu, Fatihah terus tersenyap.... (bunyi burung gagak)...

Nota : Anak-anak boleh berfikir rasional hanya apabila kita memberitahu kerasional satu-satu perkara secara BERULANGKALI DAN SABAR. Ia tak boleh menjadi hanya sekali dua atau hanya beberapa puluh kali saja. Sampai ketikanya dia akan mengulangi semula kerasionalan itu pada saat dia benar-benar faham dan boleh mengawal diri dengan meletakkan rasional lebih daripada emosinya sendiri. Yang paling penting, gunakan pengaruh ibu semaksimum yg boleh melalui KOMUNIKASI YG BAIK. Bak kata Ahmad Nisfu, "Cakap.. Cakap.. Cakap!"

Percepatkan pernikahan anak.

Saya tak pasti ini bulan apa.. Dalam masa 24 jam saja saya menerima 3 emel dan 1 private message yg berkaitan mengandung luar nikah.. Alla...