رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Isnin, 20 April 2015

Lagi tentang pilih kata

April 20, 2015 0 Comments

"Tali otak" bagi anak kecil.

Walaupun berulangkali mengingatkan diri untuk memilih perkataan dan tidak menyebut tingkahlaku anak yang kurang positif, adakalanya saya masih terlepas juga dua tiga perkataan.

(Bukan mudah untuk berubah. Bukan mudah untuk mendidik anak kecil. Tapi, ini sajalah jalan yang paling mudah.)


Pada satu pagi...

"Mak, kenapa abang rasa susah nak buat kalau abang rasa tak nak?"

Tanya Fathi (6 tahun) semasa sedang melihat saya menggosok pakaian.
Kebetulan, ustaz dalam tv baru menyebut satu ayat "80% rasa ketakutan itu adalah anggapan. Belum tentu betul."

"Hmmm... Sebab abang fikir susah dulu dan takut nak mencuba. Kalau abang cuba dulu mesti tak rasa susah. Tengok macam ustaz ni cakap. Apa yang abang takut tu 80% cuma anggapan. Selagi abang tak cuba dulu, abang tak tahu betul ke dia susah nak buat atau tidak. Contohnya, cuba abang makan macam-macam sayur dulu. Baru abang tahu ada sayur yang rasanya tak pahit. Tak semua sayur tu pahit. Selagi abang tak cuba makan sayur lain, abang takkan tahu sayur yang sedap."

"Tapi, macam sayur tu kan dalam kepala abang ni keluarkan semuanya pangkah pada sayur. Dia ada dalam minda abang. Orang lain tak boleh nampak. Cuma abang je yang boleh nampak! Tapi, pangkah tu ada."

"Oooo... Itu sebab abang yang suruh tali otak dalam minda abang buat pangkah awal-awal. Cuba jangan pangkah. Mesti sayur tu tukar jadi rite pulak."

"Aishhh... Emak cakap jangan pangkah tapi tali otak abang tak dapat proses jadi tick. Dia tetap jadi pangkah jugak. Macamana?"

"Erk!" (sambil juling-juling anak mata).. "Ok ok.. Baiklah. Mak cari perkataan kejap eh.. Ermmm... Ok, cuba abang besarkan tick tu. Bila tali otak abang besarkan tick tu, nanti lama-lama pangkah tu akan hilang sendiri. Banyakkan tick dan besarkan dia. Abang mesti boleh halau pangkah tu jauh-jauh!"
(Dengan gaya dua jari di kiri kanan kepala sambil tutup mata.)

"Baik! Abang akan cuba besarkan tick tu.. Abang mesti berjaya melakukannya!"
.
.
.
Haha... Tak tahan betul anakku ini..


Nota ulangkaji :

"Jangan panjat!"
"Jangan lari."
"Jangan tak buat kerja sekolah."
"Anak saya malas nak buat homework."
"Anak saya selalu tantrum tak tentu pasal."
"Anak saya nak orang lain taknak dengar cakap saya."

Sentiasa pilih perkataan apabila bercakap dengan anak kecil. Semakin kita sebut "jangan" diikuti dengan tingkahlakunya yang negatif itu, semakin banyak tingkahlaku yang negatif itu tertanam di dalam mindanya. Semakin kita sebut segala macam jenis kesalahan tingkahlakunya, semakin galaklah tingkahlaku sebegitu terlihatkan melalui tindakannya.

Kenalpasti isunya yang sebenar.

Fokus pada jalan keluar.

Pilih perkataan.

Bukan mudah untuk berubah.

Bukan mudah untuk mendidik anak kecil.

Tapi, ini sajalah jalan yang paling mudah.

Jika berat kita rasakan untuk berubah, lebih berat anak anak untuk berubah.


‪#‎tipsantaididikanak‬

Rabu, 8 April 2015

Sujud syukur anak kecil & senarai semak

April 08, 2015 0 Comments


Usai solat dan berdoa, saya melihat ada seseorang sedang bersujud meniru gaya emaknya bersujud.

"Abang sujud apa tu?"

"Abang sujud syukurlah. Hari ni kan abang dapat berus gigi dengan ubat gigi kecik kat sekolah tadi. Mak, betul tak bila kita terima sesuatu Allah bagi kita kena sujud syukur?"

"Betul tu. Bagus abang sujud syukur. Kita sujud syukur sebab kita gembira dapat sesuatu daripada Allah melalui orang lain yang sampaikan pada kita. Tapi, tak kira kita gembira ke tak, kita kena sujud syukur tanda kita berterima kasih pada Allah. Bukan setakat kita menulis je tau. Abang baca apa masa sujud syukur tu?"

"Abang baca selawat je.. Hehe.. Abang kan suka selawat."

"Bagus.. Boleh juga kita baca selawat 3 kali lepas tu boleh baca doa Ya Allah, terima kasih atas berus gigi dan ubat gigi tu. Murahkan rezki mak dan abah dan semua orang Islam.. Amiin.."

"Ooo, abang terlupa (tak tahu). Esok abang baca doa dia panjang-panjang lagi eh. Kita nak apa-apa kan kena mintak pada Allah kan. Abang nak mintak katil dua tingkat pulak. Bila kita sujud syukur nanti Allah bagi lagi banyak kan."

Senyum.


Nota :

Ada beberapa perkara untuk kita lakukan sebagai usaha kita menanam satu NILAI yang konkrit dalam jiwa anak-anak sejak kecil. Apabila niat dan usaha bergabung demi menanam satu nilai hidup berTuhan ke dalam diri anak, Allah Ta'ala (dengan nusrahNya) akan memberikan nuur kefahaman dalam jiwa mereka dalam setiap perkara.

Senarai semak bagi anak seumur 2,3,4 tahun :

1. Mengajak mereka bersolat setiap kali kita bersolat. Lazimi sujud syukur di setiap solat (anak akan meniru tanpa disuruh).

2. Mengajak mereka membaca al-Quran sebelum kita membaca al-Quran (enjoy membacanya sambil memeluk anak, anak akan meniru dan merasai bahagia di dalam pelukan).

3. Mendorong anak-anak mengenal huruf hijaiyyah dengan cara santai dan bermain. Tidak boleh terlalu serius (pegang rotan) dan mengadap buku. Cetuskan minat.

4. Mendorong anak-anak menghafaz surah al-Fatihah, 3 Qul, ayat Qursiy dan 5 ayat awal surah al-Baqarah. Ajarkan yang mudah dahulu.

5. Aplikasi terus akan kegunaan surah-surah yang dihafaz supaya ia dapat sentiasa mengulangi apa yang dihafaz serta mereka nampak kegunaannya. Jadikan rutin bacaan harian sebelum tidur (sebelum doa tidur dibaca) dan ketika waktu maghrib. Surah-surah tersebut adalah asas bacaan di dalam al-Mathurat sughro.

6. Lazimi perbuatan mengambil air sembahyang setiap kali selepas mandi (sebelum keluar bilik air).

7. Lazimi zikir dan doa harian di setiap perbuatan dan masa. Contohnya, nampak pokok yang cantik katakan "Subhanallah" atau pokok tidak cantik "Masha Allah" dan sebagainya serta terangkan nilai asas semasa kita melihat sesuatu samada baik atau buruk dalam hidup kita.


Apa yang kita tuai ini, insha Allah, akan ternampak hasilnya di sekitar umur 5 & 6 tahun lagi. Rancang awal, untuk hidup kita yang lebih terancang di masa akan datang.

Masa sekitar umur 0-7 tahun adalah masa kritikal dan penting untuk kita menanam nilai dan cara berfikir ke dalam jiwa anak-anak. Ini adalah "usia emas".

Kelak, peringkat umur 7-14 tahun, mereka sudah lebih terdedah kepada persekitaran yang lebih terbuka dan cabarannya akan menjadi lebih besar tanpa penerapan nilai yang utuh sejak kecil.

Bi iznillah.

‪#‎tipsantaididikanak‬

Selasa, 7 April 2015

Baik atau buruk ujian hidup

April 07, 2015 0 Comments

Mendengar dan menginsafi kata-kata seorang al-Hafiz :

“Dalam hidup kita ini kita mahu semuanya mengikut apa yg kita mahu dan rancangkan. Jika sesuatu yg terjadi di luar kemahuan dan rancangan kita, kita katakan itu adalah sesuatu yg buruk dalam hidup ini.

Tapi, dalam al-Quran Allah dah berikan definasi apa itu yg baik dan buruk. Tak semua yg kita nampak buruk itu adalah yg terburuk. Begitu juga sebaliknya.

Apakah kebaikan sahaja yg kita mahukan dalam hidup ini? Adakalanya, dengan keburukan itulah datangnya segenap kebaikan.

Sebenarnya, tidak kira apa jua yg terjadi dalam hidup kita samada baik atau buruk, itu semua ujian.

Orang Islam yg baik akan menukarkan setiap kebaikan mahupun keburukan yg terjadi dalam hidupnya itu menjadi amal soleh. Walau apapun yg terjadi dalam saat susah atau senang, kita harus menukarkan situasi menjadi amal soleh. Itu sajalah yg akan dapat meneruskan perjalanan hidup ini menuju akhirat.

Kesedihan, kegembiraan akan berlalu pergi. Tiada apa yg kekal dalam dunia ini. Kesusahan, kesenangan hanya sekelip mata. Dunia ini hanya tempat menjalani ujian. Sesiapa yg dapat menukarkan apa yg berlaku kepadanya menjadi amal soleh ialah orang-orang yg berjaya.”

Allahu akbar.

Sungguh, Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Walaupun sehelai daun yg jatuh di atas muka bumi ini, Allah lebih Mengetahui.

Semasa hati turut sama bersedih di atas insiden ini dan berusaha memahami dan menghadami ibrah di atas apa yg terjadi, tangan ini membuka satu surah seterusnya membaca ayat ini :

Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -
(Ar-Ra'd 13:22)

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -
(Ar-Ra'd 13:23)

(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
(Ar-Ra'd 13:24)

Khamis, 2 April 2015

TANTRUM Anak Kecil

April 02, 2015 1 Comments


Sejak bercuti tempohari, Fahmi (2 tahun) sudah mulai menunjukkan tantrumnya.

(Jika dahulu, anak tantrum pun masih sempat ambil gambarnya (saja menyakat), bila anak 3 sudah tidak sempat semuanya. Hehe.. Tiada gambar yang betul-betul, hanya ada gambar setiap kali tingkahlakunya yang elok-elok saja. Ini juga salah satu perubahan saya. Berhenti mengambil gambar anak di saat mereka menunjukkan tingkahlaku kurang baik. Saya baru sedari yang kita tidak menunjukkan satu penghormatan kepada anak jika kita masih ada hati mengambil gambar di saat mereka "bad mood").


Sudah lama abang dan kakaknya, Fathi dan Fatihah (6 & 5 tahun) tidak lagi mentantrumkan dirinya. Tapi, bila diingat kembali mereka berdua juga satu masa dulu, Masha Allah, boleh tahan juga tantrumnya. Lebih-lebih lagi Fathi!

Ketika anak sulong dahulu, Fathi, sejak berumur 3 bulan lagi dia sudah mogok susu (nursing strike). Semasa itu, saya tidak tahu apa-apa, kenapa lebih 12 jam dia tidak mahu menyusu  langsung walaupun bermacam cara dibuat dan walaupun dia sangat kuat menyusu ketika itu. Pipinya seperti dipam-pam. Tiba-tiba saja dia menolak untuk menyusu?

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor