Rabu, 8 April 2015

Sujud syukur anak kecil & senarai semak



Usai solat dan berdoa, saya melihat ada seseorang sedang bersujud meniru gaya emaknya bersujud.

"Abang sujud apa tu?"

"Abang sujud syukurlah. Hari ni kan abang dapat berus gigi dengan ubat gigi kecik kat sekolah tadi. Mak, betul tak bila kita terima sesuatu Allah bagi kita kena sujud syukur?"

"Betul tu. Bagus abang sujud syukur. Kita sujud syukur sebab kita gembira dapat sesuatu daripada Allah melalui orang lain yang sampaikan pada kita. Tapi, tak kira kita gembira ke tak, kita kena sujud syukur tanda kita berterima kasih pada Allah. Bukan setakat kita menulis je tau. Abang baca apa masa sujud syukur tu?"

"Abang baca selawat je.. Hehe.. Abang kan suka selawat."

"Bagus.. Boleh juga kita baca selawat 3 kali lepas tu boleh baca doa Ya Allah, terima kasih atas berus gigi dan ubat gigi tu. Murahkan rezki mak dan abah dan semua orang Islam.. Amiin.."

"Ooo, abang terlupa (tak tahu). Esok abang baca doa dia panjang-panjang lagi eh. Kita nak apa-apa kan kena mintak pada Allah kan. Abang nak mintak katil dua tingkat pulak. Bila kita sujud syukur nanti Allah bagi lagi banyak kan."

Senyum.


Nota :

Ada beberapa perkara untuk kita lakukan sebagai usaha kita menanam satu NILAI yang konkrit dalam jiwa anak-anak sejak kecil. Apabila niat dan usaha bergabung demi menanam satu nilai hidup berTuhan ke dalam diri anak, Allah Ta'ala (dengan nusrahNya) akan memberikan nuur kefahaman dalam jiwa mereka dalam setiap perkara.

Senarai semak bagi anak seumur 2,3,4 tahun :

1. Mengajak mereka bersolat setiap kali kita bersolat. Lazimi sujud syukur di setiap solat (anak akan meniru tanpa disuruh).

2. Mengajak mereka membaca al-Quran sebelum kita membaca al-Quran (enjoy membacanya sambil memeluk anak, anak akan meniru dan merasai bahagia di dalam pelukan).

3. Mendorong anak-anak mengenal huruf hijaiyyah dengan cara santai dan bermain. Tidak boleh terlalu serius (pegang rotan) dan mengadap buku. Cetuskan minat.

4. Mendorong anak-anak menghafaz surah al-Fatihah, 3 Qul, ayat Qursiy dan 5 ayat awal surah al-Baqarah. Ajarkan yang mudah dahulu.

5. Aplikasi terus akan kegunaan surah-surah yang dihafaz supaya ia dapat sentiasa mengulangi apa yang dihafaz serta mereka nampak kegunaannya. Jadikan rutin bacaan harian sebelum tidur (sebelum doa tidur dibaca) dan ketika waktu maghrib. Surah-surah tersebut adalah asas bacaan di dalam al-Mathurat sughro.

6. Lazimi perbuatan mengambil air sembahyang setiap kali selepas mandi (sebelum keluar bilik air).

7. Lazimi zikir dan doa harian di setiap perbuatan dan masa. Contohnya, nampak pokok yang cantik katakan "Subhanallah" atau pokok tidak cantik "Masha Allah" dan sebagainya serta terangkan nilai asas semasa kita melihat sesuatu samada baik atau buruk dalam hidup kita.


Apa yang kita tuai ini, insha Allah, akan ternampak hasilnya di sekitar umur 5 & 6 tahun lagi. Rancang awal, untuk hidup kita yang lebih terancang di masa akan datang.

Masa sekitar umur 0-7 tahun adalah masa kritikal dan penting untuk kita menanam nilai dan cara berfikir ke dalam jiwa anak-anak. Ini adalah "usia emas".

Kelak, peringkat umur 7-14 tahun, mereka sudah lebih terdedah kepada persekitaran yang lebih terbuka dan cabarannya akan menjadi lebih besar tanpa penerapan nilai yang utuh sejak kecil.

Bi iznillah.

‪#‎tipsantaididikanak‬

Selasa, 7 April 2015

Baik atau buruk ujian hidup


Mendengar dan menginsafi kata-kata seorang al-Hafiz :

“Dalam hidup kita ini kita mahu semuanya mengikut apa yg kita mahu dan rancangkan. Jika sesuatu yg terjadi di luar kemahuan dan rancangan kita, kita katakan itu adalah sesuatu yg buruk dalam hidup ini.

Tapi, dalam al-Quran Allah dah berikan definasi apa itu yg baik dan buruk. Tak semua yg kita nampak buruk itu adalah yg terburuk. Begitu juga sebaliknya.

Apakah kebaikan sahaja yg kita mahukan dalam hidup ini? Adakalanya, dengan keburukan itulah datangnya segenap kebaikan.

Sebenarnya, tidak kira apa jua yg terjadi dalam hidup kita samada baik atau buruk, itu semua ujian.

Orang Islam yg baik akan menukarkan setiap kebaikan mahupun keburukan yg terjadi dalam hidupnya itu menjadi amal soleh. Walau apapun yg terjadi dalam saat susah atau senang, kita harus menukarkan situasi menjadi amal soleh. Itu sajalah yg akan dapat meneruskan perjalanan hidup ini menuju akhirat.

Kesedihan, kegembiraan akan berlalu pergi. Tiada apa yg kekal dalam dunia ini. Kesusahan, kesenangan hanya sekelip mata. Dunia ini hanya tempat menjalani ujian. Sesiapa yg dapat menukarkan apa yg berlaku kepadanya menjadi amal soleh ialah orang-orang yg berjaya.”

Allahu akbar.

Sungguh, Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Walaupun sehelai daun yg jatuh di atas muka bumi ini, Allah lebih Mengetahui.

Semasa hati turut sama bersedih di atas insiden ini dan berusaha memahami dan menghadami ibrah di atas apa yg terjadi, tangan ini membuka satu surah seterusnya membaca ayat ini :

Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -
(Ar-Ra'd 13:22)

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -
(Ar-Ra'd 13:23)

(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
(Ar-Ra'd 13:24)

Percepatkan pernikahan anak.

Saya tak pasti ini bulan apa.. Dalam masa 24 jam saja saya menerima 3 emel dan 1 private message yg berkaitan mengandung luar nikah.. Alla...