Selasa, 6 Oktober 2015

Bagaimana untuk mengajar anak kecil mengaji tanpa bantuan suami?


Assalamualaikum puan khadijah..
Sy dh lama duk baca post puan kt fb..hari ni sy tergerak nk msg puan..

Sy nk tnya pendapat puan..anak sy yg sulung umur 3 tahun,kedua 1tahun 7bulan n yg ketiga 6 bulan..agak rapat ank2 sy ni..kdg2 buat sy penat melayan diorg smpaikn xsempat nk ajar ank2 iqra'..sy full housewife tp berjauhan dgn suami..suami kerja di.kawasan pendalaman dan balik hari mnggu n time cuti sekolah je


Hmm..sy nk sgt ajar ank..tp ank sulung sy dia suka meragam..xsmpai semint buka iqra dh xnk duduk diam..sy perlukan pendapat puan..mcm mn caranya sy nk ajar ank sy secara konsisten..perlukah sy buat jadual ?
Sy harap puan sudi tunjuk ajar sy yg kekurangan ilmu ini..t.kasih puan


Wa 'Alaikumussalam puan yg gigih.

Saya akui PJJ memang bukan mudah. Apalagi punya anak rapat lagi tidak mudah. Saya pernah membaca tulisan Ustaz Hasrizal satu masa dulu, katanya, usahakanlah secepat mungkin untuk TIDAK lagi berPJJ. Kerana ia punya impak yg besar ke atas rumahtangga juga anak-anak di kemudian hari. Usahakanlah sebaik mungkin. Moga segala urusan puan dipermudahkan Allah.


Mengurus anak-anak rapat seramai 3 orang juga saya memahaminya.

Semasa anak sulong saya berumur 4 tahun, anak kedua saya berumur 3 tahun dan saya baru mendapat anak ketiga. Itu memang fasa mereka sedang sangat aktif, lincah, lasak dan urat saraf semua sedang berhubung hehe.. Apalagi kita mengurus anak baru lahir seorang diri.

Alangkah saya suami di sisi ini juga adakalanya tolak-menolak siapa mahu membersihkan anak pabila anak membuat 'poo-poo' di saat masing-masing sedang teramat kelaparan dan baru mengunyah suapan pertama dalam mulut..
(Oh, saya sangat kagum dengan ketahanan diri puan selama ini. Syabas puan dan teruskan bertahan selagi mampu).

Apa yg sering berlaku kepada puan selalu saja berlaku kepada saya. Ya, anak 3. Semasa anak 1 & 2 keadaan masih boleh dikawal lagi. Masuk 3, semacam haru biru pula.. Haha.. Puan perlukan sedikit masa lagi untuk mendapat rentaknya memandangkan yg kecil baru 6 bulan. Jangan risau. Beri masa untuk diri puan. Jangan tertekan melihat anak orang lain dengan keupayaan ibunya masing-masing yg seperti superwoman. Hakikatnya, puan sudah menjadi superwoman! ;)


Apa yg berlaku kepada saya, selepas solat maghrib, adakalanya seorang mengadu kelaparan sambil menarik-narik tangan ajak ke dapur atau kadangkala tergolek bergelimpangan atas lantai menahan lapar (seperti sudah 100 tahun tak makan), seorang sudah siap mahu mengaji memakai tudung juga menarik-narik tangan minta mengajarnya mengaji, dan seorang lagi merengek-rengek mahu minum air di dapur juga mengikut abangnya.

Adakalanya pula dua daripadanya merajuk dan bergaduh mahu mengaji dulu dan seorang pula sedang 'poo-poo' dengan jayanya! (Masa itulah dia nak membuang)..

Ada masanya, ketiga-tiga berpakat bermain dan mengajak kita pula bermain sama dan sepakat menarik telekung dan sejadah kita.

Dalam masa yg sama kita juga sudah kelaparan. Lapar sebegitu akan mencetuskan perasaan marah dengan lebih cepat apalagi di kala maghrib.

Banyak faktor yg boleh menyebabkan kita hilang kawal seorang diri bersama anak-anak kecil di rumah. Lain ceritanya apabila anak yg besar sudah menjangkau umur 5-6 tahun. Mereka sudah boleh diharap SEDIKIT berbanding umur bawah lagi. Tapi, itupun masih ada perangainya tertentu.


Kata kuncinya ada pada anak sulong. Apabila puan dapat tackle anak sulong, secara automatik, yg lagi dua akan mengikut dengan mudahnya. Bagi anak-anak homeschool, pengaruh rakan sebaya yg paling kuat adalah si sulong.

Ahad, 4 Oktober 2015

Sentiasa beri solusi , terangkan peraturan asas


Sejak 3 tahun yang lalu mempelajari Teknik Nabi daripada Puan Guru Khairulaniza Khairuddin, adakala tak dinafikan terkucil ke tabiat lama tapi banyak masa cuba mengaplikasikan teknik sebaik mungkin.

Hasilnya, anak anak semakin serasi dan semakin mahir menggunapakai teknik yang serupa macam emaknya buat..hehe..


Ada beberapa dialog yang saya perasan diolah baik oleh Fathi (6 tahun) bagi tujuan mendorong adik adiknya (5 & 2 tahun) berkelakuan yang baik tanpa menyebut kesalahan yang dilakukan.
Tidak perlu menggunakan perkataan "jangan" atau memperbesarkan kesalahan.

 Hanya sebut yang betul atau menyebut peraturan secara general.

Di satu maghrib,
(Bagi menggantikan jangan menconteng)

"Eh, buku iqra ni untuk dibaca bukan untuk diconteng. Bila kita jaga elok elok iqra ni, baca baik baik nanti Allah suka. Barulah Allah bagi kita apa yang kita mintak."

Fahmi 2 tahun menjawab, "Oooooooo..." (dengan kudusnya).
Tak khusyuk saya berdoa ketika itu! Aduhaiii.... kihkihkih...

Panduan dialog lain yang boleh dikitar semula.
(Bagi menggantikan jangan merengek/menangis)

"Fatihah, kalau nak apa apa kenalah banyak sembahyang, doa, ngaji.. bukan nangis nangis macamni. Bila tiha banyak doa, doa untuk orang lain jugak barulah Allah bagi apa yang tiha nak tu. Kena sabar banyak banyak dulu."

(Bagi menggantikan jangan berebut mainan / bergaduh)

"Fahmi kalau main ke tengok kartun ke kenalah sama sama. Adik beradik kan kena kongsi kongsi. Mana boleh main sorang sorang. Kalau tak gaduh gaduh, main baik baik, barulah mak belikan mainan baru lagi nanti."

(Bagi menggantikan jangan bertumbuk atau memukul macam dalam kartun)

"Fahmi, kita tak boleh terpengaruh dengan kartun. Kartunkan cuma lukisan banyak banyak yang dia gerak gerakkan laju je. Tipu je tu. Mak katakan kita tak boleh ikut orang lain atau kartun. Kita kena ikut diri sendiri. Allah jadikan dua tangan dua kaki kita untuk apa? Hah hah.. untuk apa?"

Dan fathi mula berceramah setelah teknik digunapakai... dan adik adiknya taat pula mendengar. Emaknya pula yang rasa mahu menangis! 

- smile emoticon

Apabila anak kecil berebut mainan




Fahmi dan Zaid (anak susuan saya) adalah sebaya. Berumur 2 tahun lebih.

Apabila bermain wajiblah ada insiden bergaduh atau berebut. Sama gayanya seperti kembar. Hihi..
Tidak perlu mengharap mereka berkelakuan baik sepanjang masa. Hanya perlu mendorong mereka dengan lebih baik.

Berhadapan anak sekecil 2 tahun di kala tidak puas hati bila salah seorangnya tidak mahu melepaskan mainan di tangan dan seorang lagi berkeras mahukan mainan yg sama bukanlah boleh dileraikan dengan kata kata saja.

Langkah paling efektif :

1. Divert perhatian mereka dari berebutkan mainan yg sama.

2. Terus mainkan watak lain yg lebih menarik menggunakan barang mainan lain.

3. Skrip kita perlu setanding atau lebih best dari dialog kesukaan mereka. Ada ayat "heroism".


************************

(Kedua duanya mula menangis dan bergaduh mahukan poli).

Saya : Eh, tengok tu heli tercedera akibat terhempas ke lantai! Kesiannya heli. Mana heli? Kita cari heli. Amber mesti datang dengan segera untuk menyelamatkan heli!

(Mereka berdua terdiam. Zaid mula terpusing pusing cari amber. Kemudian, sambung mahu merampas poli dari tangan fahmi sekali lagi. Fahmi mula menangis semula).

Saya : Amber, cepat selamatkan heli! Heli dalam kesusahan! Nampaknya dia tercedera. Mari kita selamatkan heli! Mari kita selamatkan dunia! (Dengan penuh semangat).

Zaid mula menggerakkan amber (dengan bunyi kecemasan) untuk selamatkan heli. Dan menghempaskan semua mainan yg ada.

Saya : Oh kesiannya! Habis semuanya tercedera akibat tertonggeng di atas lantai.... Mari kita selamatkan semua!!

Ketawa terbahak bahak mereka mendengar dialog itu.


Problem solved.

***************************

1. Realitinya, tidak boleh sesekali menyebut "JANGAN bergaduh" dan JANGAN sebagainya kepada anak kecil.

2. Anak berumur 1-3 tahun lebih mementingkan emosi. Kadangkala, cakap apapun tak jalan. Jadi, tak perlu kita buang masa dengan marah marah / tinggikan suara / menyuruh salah seorang beralah.

3. Pentingnya ibubapa menonton sekali kartun kegemaran anak anak dan pilih kartun yg berbahasa dengan baik. Bermainlah dengan anak.

4. Tidak mengharap mereka tidak akan bergaduh lagi atau asyik perlu membeli mainan baru.

5. Ulangi langkah 1.


Sabtu, 20 Jun 2015

WEAN-OFF (cerai susu)





Sesetengah wanita hamil masih boleh menyusukan anak.

Sesetengahnya pula hanya tidak boleh.

Saya akan mengalami Hb rendah setiap kali mengandung. Juga alahan yang agak teruk semasa di awal trimester. Tambahan pula ada rasa sakit dan ngilu dalam rahim setiap kali menyusukan anak.

Kerana ini keputusan untuk wean-off terpaksa diambil.

Rupanya ia bukanlah semudah yang disangka untuk putuskan begitu sahaja. Saya sedikit tertekan dengan situasi ini pada awalnya. Tiap kali menyusukan anak (berikan juga) saya berada dalam kesakitan yang amat sangat!

Hinggalah pada satu hari, saya berjumpa Mak Aji Urut yang selalu saya minta nasihat perbidanan daripadanya. Biasanya, dia tidak lokek berkongsi ayat / surah bacaan bagi satu-satu isu kerana dia pernah belajar dari Darussyifa’.

“Mak Aji, ada ayat tak yang boleh kita amalkan untuk putuskan susu dengan anak?”


Khamis, 21 Mei 2015

Anak kecil & stres


Dari peti soalan :

Salam puan,
Saya ibu kpd 2 anak yg abg berusia 7 thn dan adik 5 tahun.
Masalah sy skg kedua2nya mls nak kesekolah..setiap kali saya hantar kesekolah agama dan kebangsaan si abg dah mula menangis.mcm tu juga adiknya..
saya nak minta pendapat puan mcmana nak atasi masalah sy ni
Terima kasih.


Jawapan :
‘Alaikumussalam puan. Maaf, lambat saya membalas pertanyaan puan ini.

Pada kacamata saya, tiada seorang anak pun dalam dunia ini yang dilahirkan dengan sikap malas. Isu sebenar yang saya nampak hanyalah anak puan kurang motivasi untuk ke sekolah.

Apakah faktor atau mungkin berlaku kejadian yang menyebabkan anak puan kurang motivasi untuk melakukan suatu perkara?

Ada beberapa faktor boleh diambilkira.

Salah satunya adalah stres.

Isnin, 20 April 2015

Lagi tentang pilih kata


"Tali otak" bagi anak kecil.

Walaupun berulangkali mengingatkan diri untuk memilih perkataan dan tidak menyebut tingkahlaku anak yang kurang positif, adakalanya saya masih terlepas juga dua tiga perkataan.

(Bukan mudah untuk berubah. Bukan mudah untuk mendidik anak kecil. Tapi, ini sajalah jalan yang paling mudah.)


Pada satu pagi...

"Mak, kenapa abang rasa susah nak buat kalau abang rasa tak nak?"

Tanya Fathi (6 tahun) semasa sedang melihat saya menggosok pakaian.
Kebetulan, ustaz dalam tv baru menyebut satu ayat "80% rasa ketakutan itu adalah anggapan. Belum tentu betul."

"Hmmm... Sebab abang fikir susah dulu dan takut nak mencuba. Kalau abang cuba dulu mesti tak rasa susah. Tengok macam ustaz ni cakap. Apa yang abang takut tu 80% cuma anggapan. Selagi abang tak cuba dulu, abang tak tahu betul ke dia susah nak buat atau tidak. Contohnya, cuba abang makan macam-macam sayur dulu. Baru abang tahu ada sayur yang rasanya tak pahit. Tak semua sayur tu pahit. Selagi abang tak cuba makan sayur lain, abang takkan tahu sayur yang sedap."

"Tapi, macam sayur tu kan dalam kepala abang ni keluarkan semuanya pangkah pada sayur. Dia ada dalam minda abang. Orang lain tak boleh nampak. Cuma abang je yang boleh nampak! Tapi, pangkah tu ada."

"Oooo... Itu sebab abang yang suruh tali otak dalam minda abang buat pangkah awal-awal. Cuba jangan pangkah. Mesti sayur tu tukar jadi rite pulak."

"Aishhh... Emak cakap jangan pangkah tapi tali otak abang tak dapat proses jadi tick. Dia tetap jadi pangkah jugak. Macamana?"

"Erk!" (sambil juling-juling anak mata).. "Ok ok.. Baiklah. Mak cari perkataan kejap eh.. Ermmm... Ok, cuba abang besarkan tick tu. Bila tali otak abang besarkan tick tu, nanti lama-lama pangkah tu akan hilang sendiri. Banyakkan tick dan besarkan dia. Abang mesti boleh halau pangkah tu jauh-jauh!"
(Dengan gaya dua jari di kiri kanan kepala sambil tutup mata.)

"Baik! Abang akan cuba besarkan tick tu.. Abang mesti berjaya melakukannya!"
.
.
.
Haha... Tak tahan betul anakku ini..


Nota ulangkaji :

"Jangan panjat!"
"Jangan lari."
"Jangan tak buat kerja sekolah."
"Anak saya malas nak buat homework."
"Anak saya selalu tantrum tak tentu pasal."
"Anak saya nak orang lain taknak dengar cakap saya."

Sentiasa pilih perkataan apabila bercakap dengan anak kecil. Semakin kita sebut "jangan" diikuti dengan tingkahlakunya yang negatif itu, semakin banyak tingkahlaku yang negatif itu tertanam di dalam mindanya. Semakin kita sebut segala macam jenis kesalahan tingkahlakunya, semakin galaklah tingkahlaku sebegitu terlihatkan melalui tindakannya.

Kenalpasti isunya yang sebenar.

Fokus pada jalan keluar.

Pilih perkataan.

Bukan mudah untuk berubah.

Bukan mudah untuk mendidik anak kecil.

Tapi, ini sajalah jalan yang paling mudah.

Jika berat kita rasakan untuk berubah, lebih berat anak anak untuk berubah.


‪#‎tipsantaididikanak‬

Rabu, 8 April 2015

Sujud syukur anak kecil & senarai semak



Usai solat dan berdoa, saya melihat ada seseorang sedang bersujud meniru gaya emaknya bersujud.

"Abang sujud apa tu?"

"Abang sujud syukurlah. Hari ni kan abang dapat berus gigi dengan ubat gigi kecik kat sekolah tadi. Mak, betul tak bila kita terima sesuatu Allah bagi kita kena sujud syukur?"

"Betul tu. Bagus abang sujud syukur. Kita sujud syukur sebab kita gembira dapat sesuatu daripada Allah melalui orang lain yang sampaikan pada kita. Tapi, tak kira kita gembira ke tak, kita kena sujud syukur tanda kita berterima kasih pada Allah. Bukan setakat kita menulis je tau. Abang baca apa masa sujud syukur tu?"

"Abang baca selawat je.. Hehe.. Abang kan suka selawat."

"Bagus.. Boleh juga kita baca selawat 3 kali lepas tu boleh baca doa Ya Allah, terima kasih atas berus gigi dan ubat gigi tu. Murahkan rezki mak dan abah dan semua orang Islam.. Amiin.."

"Ooo, abang terlupa (tak tahu). Esok abang baca doa dia panjang-panjang lagi eh. Kita nak apa-apa kan kena mintak pada Allah kan. Abang nak mintak katil dua tingkat pulak. Bila kita sujud syukur nanti Allah bagi lagi banyak kan."

Senyum.


Nota :

Ada beberapa perkara untuk kita lakukan sebagai usaha kita menanam satu NILAI yang konkrit dalam jiwa anak-anak sejak kecil. Apabila niat dan usaha bergabung demi menanam satu nilai hidup berTuhan ke dalam diri anak, Allah Ta'ala (dengan nusrahNya) akan memberikan nuur kefahaman dalam jiwa mereka dalam setiap perkara.

Senarai semak bagi anak seumur 2,3,4 tahun :

1. Mengajak mereka bersolat setiap kali kita bersolat. Lazimi sujud syukur di setiap solat (anak akan meniru tanpa disuruh).

2. Mengajak mereka membaca al-Quran sebelum kita membaca al-Quran (enjoy membacanya sambil memeluk anak, anak akan meniru dan merasai bahagia di dalam pelukan).

3. Mendorong anak-anak mengenal huruf hijaiyyah dengan cara santai dan bermain. Tidak boleh terlalu serius (pegang rotan) dan mengadap buku. Cetuskan minat.

4. Mendorong anak-anak menghafaz surah al-Fatihah, 3 Qul, ayat Qursiy dan 5 ayat awal surah al-Baqarah. Ajarkan yang mudah dahulu.

5. Aplikasi terus akan kegunaan surah-surah yang dihafaz supaya ia dapat sentiasa mengulangi apa yang dihafaz serta mereka nampak kegunaannya. Jadikan rutin bacaan harian sebelum tidur (sebelum doa tidur dibaca) dan ketika waktu maghrib. Surah-surah tersebut adalah asas bacaan di dalam al-Mathurat sughro.

6. Lazimi perbuatan mengambil air sembahyang setiap kali selepas mandi (sebelum keluar bilik air).

7. Lazimi zikir dan doa harian di setiap perbuatan dan masa. Contohnya, nampak pokok yang cantik katakan "Subhanallah" atau pokok tidak cantik "Masha Allah" dan sebagainya serta terangkan nilai asas semasa kita melihat sesuatu samada baik atau buruk dalam hidup kita.


Apa yang kita tuai ini, insha Allah, akan ternampak hasilnya di sekitar umur 5 & 6 tahun lagi. Rancang awal, untuk hidup kita yang lebih terancang di masa akan datang.

Masa sekitar umur 0-7 tahun adalah masa kritikal dan penting untuk kita menanam nilai dan cara berfikir ke dalam jiwa anak-anak. Ini adalah "usia emas".

Kelak, peringkat umur 7-14 tahun, mereka sudah lebih terdedah kepada persekitaran yang lebih terbuka dan cabarannya akan menjadi lebih besar tanpa penerapan nilai yang utuh sejak kecil.

Bi iznillah.

‪#‎tipsantaididikanak‬

Selasa, 7 April 2015

Baik atau buruk ujian hidup


Mendengar dan menginsafi kata-kata seorang al-Hafiz :

“Dalam hidup kita ini kita mahu semuanya mengikut apa yg kita mahu dan rancangkan. Jika sesuatu yg terjadi di luar kemahuan dan rancangan kita, kita katakan itu adalah sesuatu yg buruk dalam hidup ini.

Tapi, dalam al-Quran Allah dah berikan definasi apa itu yg baik dan buruk. Tak semua yg kita nampak buruk itu adalah yg terburuk. Begitu juga sebaliknya.

Apakah kebaikan sahaja yg kita mahukan dalam hidup ini? Adakalanya, dengan keburukan itulah datangnya segenap kebaikan.

Sebenarnya, tidak kira apa jua yg terjadi dalam hidup kita samada baik atau buruk, itu semua ujian.

Orang Islam yg baik akan menukarkan setiap kebaikan mahupun keburukan yg terjadi dalam hidupnya itu menjadi amal soleh. Walau apapun yg terjadi dalam saat susah atau senang, kita harus menukarkan situasi menjadi amal soleh. Itu sajalah yg akan dapat meneruskan perjalanan hidup ini menuju akhirat.

Kesedihan, kegembiraan akan berlalu pergi. Tiada apa yg kekal dalam dunia ini. Kesusahan, kesenangan hanya sekelip mata. Dunia ini hanya tempat menjalani ujian. Sesiapa yg dapat menukarkan apa yg berlaku kepadanya menjadi amal soleh ialah orang-orang yg berjaya.”

Allahu akbar.

Sungguh, Allah tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Walaupun sehelai daun yg jatuh di atas muka bumi ini, Allah lebih Mengetahui.

Semasa hati turut sama bersedih di atas insiden ini dan berusaha memahami dan menghadami ibrah di atas apa yg terjadi, tangan ini membuka satu surah seterusnya membaca ayat ini :

Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -
(Ar-Ra'd 13:22)

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -
(Ar-Ra'd 13:23)

(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
(Ar-Ra'd 13:24)

Khamis, 2 April 2015

TANTRUM Anak Kecil



Sejak bercuti tempohari, Fahmi (2 tahun) sudah mulai menunjukkan tantrumnya.

(Jika dahulu, anak tantrum pun masih sempat ambil gambarnya (saja menyakat), bila anak 3 sudah tidak sempat semuanya. Hehe.. Tiada gambar yang betul-betul, hanya ada gambar setiap kali tingkahlakunya yang elok-elok saja. Ini juga salah satu perubahan saya. Berhenti mengambil gambar anak di saat mereka menunjukkan tingkahlaku kurang baik. Saya baru sedari yang kita tidak menunjukkan satu penghormatan kepada anak jika kita masih ada hati mengambil gambar di saat mereka "bad mood").


Sudah lama abang dan kakaknya, Fathi dan Fatihah (6 & 5 tahun) tidak lagi mentantrumkan dirinya. Tapi, bila diingat kembali mereka berdua juga satu masa dulu, Masha Allah, boleh tahan juga tantrumnya. Lebih-lebih lagi Fathi!

Ketika anak sulong dahulu, Fathi, sejak berumur 3 bulan lagi dia sudah mogok susu (nursing strike). Semasa itu, saya tidak tahu apa-apa, kenapa lebih 12 jam dia tidak mahu menyusu  langsung walaupun bermacam cara dibuat dan walaupun dia sangat kuat menyusu ketika itu. Pipinya seperti dipam-pam. Tiba-tiba saja dia menolak untuk menyusu?

Khamis, 26 Mac 2015

Anak tidak suka mengaji



Dari peti soalan :

Assalam kak. Sy nak minta pendapat & nasihat sikit. Cuti sekolah ni anak sedara sy lelaki umur 6 tahun akn duduk dgn sy selama sebln.
Parents divorced & tggl dgn mak n sorg adik perempuan.
Anak sedara sy ni agak nakal, xboleh ditegur, mengamuk kalau kena nasihat, negatif & suka marah.
Mmg kena sabar je kalau duduk dgn dia.
Boleh akk bg masihat mcm mna sy nk buat?
Terima kasih kak
Lagi satu kak.. Smlm suami sy ajk dia mengaji,dia xnk.
Dia dh nk masuk drjah 1 tp cuma tahu bberapa surah. Xsampai 10 pn.
Mcm mna nk bg dia minat mengaji kak?
Maaf lah kalau byk pula soalan.


Jawapan :

Wa ‘alaikumussalam adikku.

Pertamanya, mohon maaf atas kelewatan jawapan balas ini.

Ada SATU perkara yang perlu dilakukan dalam isu ini. Ia juga adalah perkara WAJIB BUAT oleh semua ibubapa atau orang dewasa lain apabila berhadapan dengan anak-anak yang mempunyai isu tertentu.

BERSIHKAN CERMIN PANDANG.


Peraturan ini adalah asas bagi semua ibubapa/penjaga. Walaupun kita tahu perangainya bagaimana dan sedia maklum isu yang dihadapinya apa, cuba paksa diri kita untuk membersihkan “pandangan” terhadap anak tersebut.

Saya tahu ia sukar. Saya ingin menceritakan satu ibrah.

Anak menangis apabila kalah?




Menang - Kalah.

Selalu saya mendengar perbualan antara anak anak.

"Hahaha, abang menang fatihah kalah!"

"Eh, mana ada orang kalah dalam dunia ni mak kata. Semua orang kan menang!"
Sambil memuncungkan mulutnya sedepa.

"Ha ah ha ah.. Betul jugak tu. Maaflah. Abang menang pakai baju dulu, tiha menang keluar bilik air dulu, fahmi menang pakai pampers dulu! Hahaha.."

Barulah semuanya tersenyum gembira sambil bertepuk tangan.

Senyum...

Khamis, 26 Februari 2015

Surirumah dan kerjaya di luar rumah




Saya tidak menyangka sama sekali yang saya akan mempunyai kerjaya lain di luar rumah selepas 7 tahun membina kerjaya sendiri dari rumah. Sungguh, ia adalah dua perkara berbeza apabila kita memperkatakan kerja dari rumah & cipta dan bina kerjaya dari rumah.

Subhanallah! Saya berpeluang merasai perbezaannya.

Allah jualah sebaik-baik Perancang.


Rutin hidup yang baru ini agak mencabar buat saya. Jujur kata, saya ini umpama 2 dalam 1 atau boleh jadi 3 dalam 1. Boleh jadi juga 4 dalam 1! Haha..

Saya dapat merasakan tahap kehidupan saya ini melalui fasa-fasanya tersendiri.


Sabtu, 21 Februari 2015

Pilih kata



Pagi tadi sedang asyik menyiapkan Ebook, terdengar dialog permainan antara Fathi (5 tahun) dan Fatihah (4 tahun).

"Kamu kenapa saya telefon tak angkat?"

"Oh, kamu ada telefon saya? Bateri telefon saya dah rosak agaknya."

"Kalau macamtu kamu kena beli bateri baru."

"Baiklah. Saya akan beli bateri yang baru. Tapi bateri ini harganya tidak diraikan.."

Saya terpana!

"Harga tidak diraikan?"

Saya bertanya kepada Fathi apa maksud harga yang tidak diraikan?

DIa segera menutup mukanya. Tak sangka emaknya ini memasang telinga walaupun sedang bekerja.. Hehehe...

Saya perasan sesuatu. Anak-anak sudah mula pandai memilih perkataan.

Contoh lain, mereka tidak menggunakan lagi perkataan "marah-marah". Mereka menggunakan perkataan "nasihat". Adakalanya, perkataan yang tidak saya ajarkan atau sesiapa ajarkan. Ianya satu perkataan yang sangat indah lagi sungguh positif! Subhanallah..

Tak kira apa jua situasi ibubapa bersama anak-anak terutamanya ketika di dalam kemarahan, telan ayat yang mahu keluar dari mulut. Pilihlah perkataan.

Inilah yang saya kongsikan di dalam Ebook ini.


Mode : Sedang bertungkus lumus menyiapkan Ebook "Mendorong Anak/Pelajar Suka Membaca al-Quran" yang akan dilancarkan pertama kalinya dan akan diberikan percuma kepada para tetamu hari Sabtu ini di Batu Pahat. Mari kita bedah Ebook!


‪#‎senibercakapdengananakkecil‬

Dari peti soalan


Puan Tanpa Nama (8 Januari),

Kehidupan kita akan berubah dengan adanya anak kecil yg dianugerahkan oleh Allah. Ia bukan sekadar anugerah malah ia sebenarnya AMANAH!

Selagi puan tidak menyatakan hak sebenar anak puan itu dengan menjelaskan yg sebenar, saya khuatir selama mana hidup puan di dunia ini hingga akhirat tidak dapat ketenangan lagi menenangkan. Ini kerana ketenangan itu sendiri adalah kebenaran.

Maka, apakah faktor yg menyebabkan puan takut akan menyatakan kebenaran?

Takut diceraikan semula dan kehilangan suami yg baik? Atau takut kehilangan teman lama yg baik? Atau kemarahan ibubapa/keluarga? Atau hilang tempat bergantung? Atau semua sekali seperti di atas?

Ada satu kisah yg pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Berselawatlah!


Maulid ar Rasul.

Dialog di pagi hari 12 Rabi'ul awwal.

"Abang dan fatihah tahu tak harini hari apa?"
"Entah. Tak tau.." (sambung bermain)
"Harini ialah hari ulangtahun kelahiran Rasulullah! Hari apa abang?"
"Hari kelahiran Rasulullah? Hari apa mak?"
"Ulangtahun kelahiran. Birthday lah. Hmmm, mak nak tanya abang lah.. Agak agak macamana kita nak sambut birthday Nabi kita?"
"Hmm... Entahlah.. Abang pun taktau."
"Ok. Kalau abang punya birthday biasanya abang sambut macamana? Mak selalu buat apa?"
Tiba tiba fatihah mencelah.
"Mesti ada kak bi!"
"Betul! Kak bi tu siapa?"
"Kak bi tu kak bi lah. Nanti abang satu sekolah dengan kak bi."
"Iya.. Betul.. Kak bi tu anak yatim. Abah dia dah meninggal dunia. Dia duduk dengan mak dia je."
"Ha ah.. masa abang kecik kecik sangat dulu abah dia ada lagi kan. Lepastu abah dia dah meninggal.
Sekarang, dia ada cuma kak shasha, kak misah, kak reena. Itu je."

(Haha.. Tergelak dengar dia menyebut nama ibunya kak bi dengan panggilan "kak" juga).

"Oh, abang ingat eh abah dia! Itulah.. Rasulullah sayang sangat dengan anak yatim. Nanti dalam syurga Rasulullah akan duduk dengan semua anak yatim rapat rapat sangat. Jadi, abang rasa kalau Rasulullah sayang anak yatim maksudnya kita pun kena....?"
"Kena sayang anak yatim."
"Tiha dengan abang rasa macamana kita boleh buat baik dengan anak yatim? Apa yg selalu nenek buat dengan anak yatim ramai ramai haritu?"
"Bagi makan!"
"Tepat sekali! Bagi makan kat anak yatim salah satu cara kita buat baik kepada orang yg paling Rasulullah sayang. Mudah mudahan, kita jugak boleh duduk rapat dengan Rasulullah sama sama anak yatim dalam syurga nanti."
"Ooooo... Jadi kita kena belanja kak bi makan."
"Iya... Tapi sebelum tu kita kena selawat sama sama dulu. Macamana selawat?"

Masing masing bangun dan mula bermarhaban.


********************************

Allahumma solli 'ala muhammad wa 'ala alihi wasohbihi wasallam.

Hari ini saya tersedar akan sesuatu.

1. Selawat bukan hanya setakat copy paste dan forward di WhatsApp atau di FB.

2. Selawat juga bukan terhenti setakat perarakan dan semangat di pagi hari.

3. Ajarilah anak kecil berselawat. Berselawatlah bersama sama anak anak di rumah dengan bersemangat dan gembira! Bukan sekadar menaip, forward mahupun copy paste di media sosial.

‪#‎senibercakapdengananakkecil‬

Selasa, 27 Januari 2015

Perlukah mengajar anak mengaji dengan rotan?


"Kerana saya makan ubat/produk inilah saya dapat kuruskan badan."
"Kerana saya beri anak saya booster inilah anak saya jadi pandai."
"Kerana anak saya guna kaedah inilah anak saya jadi cepat membaca."
"Kerana saya rotan anak-anaklah akhirnya anak-anak dapat menghafaz al-Quran dan semuanya menjadi al-hafiz. Terima kasih kepada rotan."


Rasa seperti ada yang tidak kena.

Masyarakat hari ini amat berbangga dengan hasil usahanya sendiri. Melalui produk yang digunakan. Hingga terlupa kepada satu sisi yang pasti.

Lain orang lain pendekatannya. Saya menghormatinya. Namun, perlu berhati-hati.

Apabila kita meletakkan kebendaan/material/produk sebagai penyelamat/penyelesaian/asbab kita beroleh satu kenikmatan/kejayaan ditakuti itu lebih jauh tersasar dari tidak merotan anak yang tidak bersolat.

Moga Allah ampunkan dosa saya dan dosa kita semua.

Segala apa perubahan yang berlaku atas muka bumi ini adalah disebabkan hadirnya Hidayah dan Taufiq dari Allah Ta'ala semata-mata. Asbab doa ibubapa kita yang dimakbulkan Allah. Itu pasti.

Seperti yang saya kongsikan di dalam Ebook saya "Mendorong Anak Suka Membaca Al-Quran", walau teknik terbaik dalam dunia sekalipun yang kita gunakan namun, perubahan ke atas jiwa manusia itu tidak akan berlaku tanpa hadirnya Hidayah Allah : "Berusaha untuk menarik dan memperoleh Hidayah Allah di setiap sisi kehidupan".

Walaupun kita menggunakan rotan yang terhebat sekalipun dalam dunia ini sebagai cara mendidik, ia tetap takkan memberi makna jika tanpa Hidayah Allah Ta'ala. Setuju?


Baiklah. Pada asalnya, saya tidak berminat untuk mengambil posisi menyokong atau membantah ke atas akta baharu yang diperkenalkan ini. Saya tidak kisah jika ada akta ini ataupun tidak. Ia tiada beza.

Lagipula, cara mendidik ini pelbagai dan kita tidak boleh terlalu rigid ke atas satu-satu cara. Tiada satupun cara parenting yang betul-betul terbaik yang boleh digunapakai oleh semua ibubapa di dalam dunia ini.

Mengapa?

Kerana setiap anak itu berbeza dan dilahirkan dengan penuh keunikan tersendiri. Tidak akan sama dengan anak orang lain. Hanya kita sebagai ibubapanya yang lebih tahu bagaimana anak kita yang sebenar.

Saya suka untuk melihat isu ini begini.

Adakah rotan sebagai SATU-SATUNYA kaedah mendidik anak yang paling berkesan untuk semua anak?

Bagaimana jika saya katakan ada cara lain yang sama juga berkesan untuk mengubah tingkahlaku anak-anak?

Adakah rotan diperlukan bagi mendidik anak 0-7 tahun?

Adakah Rasulullah pernah memukul anak kecil yang berlari-larian dan bermain-main di hadapan orang bersolat di masjid?

Baiklah, anak yang tidak solat wajib dipukul apabila sampai umur 10 tahun. Adakah dipukul itu semestinya bermaksud menggunakan rotan?

Berapa kalikah suruhan dan ajakan bersolat itu diucapkan oleh ayah ibu kepada anak kecilnya sebelum si anak menginjak 10 tahun?

Dan kebiasaanya, apabila kita merotan anak selalunya kita dalam keadaan bertenang atau marah?

Apabila kita berkata-kata atau mengambil tindakan sedang dalam keadaan marah, apakah natijahnya?

Benarkah kita orang Islam yang benar-benar mengamalkan sunnah Baginda Rasul untuk mempertahankan rotan apabila marah dengan tujuan mendidik dan Rasulullah tidak pernah menganjurkan betapa pentingnya satu KESABARAN?


Allahumma solli 'ala Muhammad.

Benarlah Rasulullah itu ikutan terbaik bagi seluruh alam dan seluruh zaman.


Zaman kita membesar dahulu tidak boleh disamakan dengan zaman sekarang. Mengapa?


Zaman dulu, apabila kita dirotan kerana malas mengaji atau salah mengaji, suka atau tidak, kita perlu terus mengaji. Kita tiada pilihan lain. Selepas menerima selibas (atau beberapa libas), kita berasa sakit dan menangis berjanji akan mengaji dengan lebih baik esok hari. Atau mungkin kita akan terus malas untuk mengaji dan sudah tidak hairan dengan rotan yang sudah retak 1000 itu.

Atau kita akan tetap terus memanjat pokok rambutan kerana itu sajalah permainan yang wujud di zaman itu. Kita terus akan menangkap berudu dalam longkang kerana itu sajalah berudu yang tercomel yang pernah kita jumpa.

Lalu, di sebelah malam hari terasa ada tangan berkedut yang mengusap tempat sakit kita tadi meletakkan minyak. Tak lama selepas itu, terdengar doa yang dipanjatkan dengan rintihan setiap malam hari di saat semua anak sedang tidur.

Sejuknya doa seorang ibu telah mengubati segala kepanasan hati dan kesakitan libasan yang kita rasakan tadi.


Hari ini, kita mahu anak-anak kita merasa yang sama seperti kita dahulu supaya menjadi manusia macam kita sekarang. Tersalah mengaji sedikit atau malas mengaji anak-anak kita rotan. Sama seperti kita.

"Biar kamu jadi manusia macam ibu/ayah kamu dulu".

Menangislah anak-anak menahan kesakitan. Simpan dalam. Tidak dapat dilepaskan. Tidurlah anak dalam kesakitan.

Di lain masa apabila anak-anak duduk diam bermain tab/ipad dan berkelakuan baik kerana tidak mengganggu kerja kita, atau duduk diam di rumah orang, kita suka dan bercadang tidak merotan mereka kerana kita suka kelakuan mereka. Anak-anak pula menjadi seronok dan ketagih!

"Oh, papa dan mama tak marah pun bila kita main tab. Tapi selalu marah sampai kita rasa sakit bila mengaji. Jadi, kita perlu buat mama dan papa hepi, tak perlu marah-marah."

"Mama papa tak suka semuanya bila kita mengaji sebab tu asyik kena rotan. Bila kita main game duduk diam-diam, mama papa suka! Baik, kita buat apa yang mama papa suka."

"Papa mama ni asyik rotan aku bila mengaji. Salah sikit pun tak boleh. Baik aku main game. Papa mama takyah susah-susah nak rotan aku. Tak marah pun langsung. Aku pun tak lah kena tanggung azab ni. Ok, main game lagi best dari mengaji!"

Hari-hari seterusnya, kita berhadapan dengan anak-anak yang suka memegang tab/ipad di tangan setiap masa.

Bagi anak, "Ini saja caranya aku tidak perlu merasa sakit akibat dirotan. Berkelakuan baik dengan duduk diam-diam bermain tab/ipad."

Lalu, kita akan terus menggunakan rotan untuk mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang mencintai al-Quran. Sama seperti kita dulu.


Satu soalan yang bermain di fikiran saya.

Apakah yang akan kita jadi sekiranya dahulu, ibu ayah kita menghabiskan banyak masa di hadapan laptop / handfon dan membiarkan kita bermain game sepanjang masa walaupun di rumah orang?

Dan sekiranya kita ini seorang kanak-kanak yang belum baligh, ibu ayah kita memberikan kita ipad sendiri untuk tidak mengganggunya membuat kerja / menonton tv, tapi merotan kita kerana salah mengaji, manakah satu pilihan rutin yang kita suka lakukannya?

Dan lebih penting lagi, adakah semestinya guru mengaji perlu menegur kesalahan bacaan dengan rotan baru "jalan"? Asbab dia mengetahui hanya rotan saja dapat membentuk manusia menjadi manusia?


Jika seorang pemain bola sepak memerlukan strategi yang berlainan setiap kali berhadapan lawannya yang berbeza di padang untuk menang perlawanan,

Jika seorang ahli perniagaan perlu merancang strategi perniagaan mengikut peredaran masa bagi memastikan perniagaanya terus relevan,

Jika sebuah rumah penerbitan terpaksa akur dengan perubahan zaman yang mewajibkan penulisnya membina khalayak sendiri sebelum buku dijual,

Bagaimanakah kita sebagai ibubapa yang mahu membentuk dan membina insan (bukan sekadar manusia) masih mahu menggunakan cara lama (yang dianggap sudah terbukti berjaya), enggan berazam menukar strategi baharu sesuai dengan zaman kehidupan anak-anaknya melalui ilmu pengetahuan?


Adakah material (kebendaan) lebih hebat daripada Hidayah Allah?

Moga Allah fahamkan saya dan kita semua.


ISLAM DAN MEROTAN ANAK
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ada pihak cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah mengenai kesantunan dan kerahmatan Islam itu sendiri. Lebih buruk lagi kenyataan itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang ganas. Saya ingin menyebut beberapa perkara dalam merotan anak di sini;

1. Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh hikmah (wisdom) dan contoh teladan yang baik. Inilah isyarat al-Quran dalam Surah al-Isra ayat 24 ketika mengajar kita berdoa untuk ibubapa dengan doa:
“Katakanlah: wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) SEPERTI mana mereka membesarkanku semasa kecil”.
Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh al-Quran tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak (bringing up process) yang menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy). Justeru, hanya ibubapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat bahagian dari doa ini. Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang sama mengingatkan ibubapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.
2. Adapun hadis tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul. Di sana juga ada ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 34) yang menyebut tentang memukul isteri, apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami yang suka memukul isteri?! Ayat itu berkaitan isteri yang nusyuz (derhaka) setelah segala proses pendidikan yang baik gagal. Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab menunaikan segala kewajibannya di sudut nafkah zahir dan batin. Pukulan pula dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serious tetapi sekadar memberikan amaran tentang kesungguhan maksud suami. Hanya dalam suasana sebegitu di samping suami dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang disebutkan tadi.
3. Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh tahun setelah melalui proses yang panjang. Sabda Nabi s.a.w:
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).
Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Maka, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat. Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serious.
4. Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama. Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.
5. Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan faktor penting pendidikan insan itu sendiri iaitu; kejelasan arah dalam pembentukan anak, teladan yang baik dan suasana yang membina. Inilah tiga faktor penting yang telah dimusnah oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu kedangkalan yang nyata.
6. Jika ada ibubapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serious, maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai satu jenayah untuk diambil tindakan.


Isnin, 26 Januari 2015

'Aqidah & Keyakinan Anak Kecil


Perbualan saya dan Fathi (5 tahun).

"Misalkata satu hari ada nenek tua nak minta tolong daripada abang, minta ambilkan buah atas pokok. Nenek tua tu cakap terus dengan abang minta tolong. Abang nak tolong tak?"

"Nak."

"Bagus..! Kita mesti tolong orang yg minta tolong dari kita. Ok, misalnya nenek `tu cakap kat kawan abang dulu lepastu kawan abang tu baru cakap kat abang suruh abang ambil buah atas pokok sebab nenek tu minta tolong. Abang nak tolong nenek tu tak?"

"Hmmm... Kat atas pokok ada banyak kerengga.. Nanti sakit pulak kena gigit. Hmm..."

"Abang rasa berat hati kan nak tolong sebab nenek tu tak cakap terus dengan abang? Dia gunakan kawan abang pulak. Abang tak kenal nenek tu macamana kita ada rasa nak tolong? Kan.. Kan.. Kan?"

"Hmm.. Betul juga tu mak!"

"Sebab tulah adab kita meminta tolong dengan berdoa kepada Allah kena direct cakap kat Allah. Tak elok kita berdoa melalui orang lain atau tulis kat tempat lain dengan harapan Allah tolong kita. Kita meletakkan harapan, pertolongan pada manusia lain atau internet atau benda lain, itu bukan adabnya.. Apapun yg terjadi kita kena minta terus daripada Allah. Doa kat Allah. Allah mesti akan tolong kita. Allah tu Maha Penyayang.. Bila kita minta tolong, Dia mesti beri pertolongan. Faham tak abang?"

"Faham tuan!"

****************************************************

Membina 'aqidah dan keyakinan yg benar ke dalam jiwa anak kecil bukan satu perkara mudah. Ia harus dimulakan sejak awal.

Antara yg akan dibincangkan esok hari di Batu Pahat, bi iznillah.


‪#‎senibercakapdengananakkecil‬

Rabu, 14 Januari 2015

Wahai wanita yang diuji!






Selalunya, apabila mendapat soalan mengenai isu "anak luar nikah" saya sudah tidak mampu lagi untuk menjawabnya. Tetapi, dari peti soalan kali ini benar-benar mengetuk hati dan akal saya untuk memberi respon walaupun sedikit. Sudah lama saya diamkan untuk tidak mahu menjawab tapi saya kira puan penanya soalan mungkin dalam keadaan sangat buntu lalu saya juga memohon petunjuk Allah terlebih dahulu sebelum menjawab soalan ini.

Soalan : Tanpa Nama berkata...
salam.. sy jd buntu kerana sy telah melahirkan ank luar nikah sedangkan sy sudah bersuami. mulanya saya berkawan dgn seorang singaporean dia adalah sahabat kawan dn teman plg rapat smpi direstu kedua keluarg. to sy berkahwin dgn rakan sekolh sy. sy dah pernah bercerAi disebabkan sy xboleh lupa singaporean tu. kemudian sy rujuk kembali dgn bekas suami krn family mendesak sy supaya kmbali pd bekas suami. suami di kl sy pula di jb. jd sy masih berkawan dgn singaporean smpi kami terlanjur. sekarang suami xtau anak yg sy lahirkn adalah anak singaporean. skrg usia anak 3 bulan. sy dlm pantang suami pegi buat sijil kelahiran anak. sy tgk bebinti kn suami. sekarang sy bertaubat nasuha tp sy blm berterus terAng dgn suami ttg status anak sy tu. apa perlu sy buat ? sy sgt buntu tkut diceraikn sekali lagi. sy buat solat sunat tp fikiran msih tidak tenang..
8 Januari 2015 8:51 PTG

Jumaat, 9 Januari 2015

ISBN untuk Ebook (e-ISBN)



Sejujurnya, manuskrip Mendorong Anak Suka Mengaji ini sudah tersimpan lama. Sejak 2013.

Lalu, nak dijadikan cerita, ada pihak yang meminta sumbangan saya untuk sharing cara mengajar mengaji dengan Teknik Nabi hujung minggu ini. Berfikir mahu sampaikan apa Sabtu ini, mahu tak mahu terpaksalah juga menyelak semula manuskrip lama yang sudah tersimpan ini.

Sejak Isnin, saya merombak semula manuskrip ini buat kali ke 6. Atau mungkin kali ke 7. Hehe..

Memurnikan beberapa ayat dan perenggan. Menambah, memotong ayat demi ayat di sana dan di sini. Tuan suami yang banyak menolong mendapatkan template Ebook. Belajar cara menulis dan menyusunatur Ebook mengikut sistem yang betul.

Lalu, menghubungi pelukis komik saya, Tuan Faisal Nordin untuk melukiskan cover ebook ini untuk disiapkan dalam masa 2 hari jika boleh. Kerja yang mantop! Jutaan terima kasih kepada beliau.

Alhamdulillah, pada hari Khamis cover ebook, susunatur dan isi tulisan semua sudah siap tersusun. Malah, nombor ISBN juga siap dapat pada hari yang sama.

Sabtu, 3 Januari 2015

RESEPI ROTI BERDAGING CHEESE




Ini adalah kali kedua percubaan membuat resepi ini. Kali pertama hanya menggunakan keju cheddar agak kering dan tidak berapa melekat. Kali ini sungguh moist dan melekat! Alhamdulillah.. Ibu mengandung dan orangtua juga suka makan ini.. Hehe.. Kecuali orang yang tidak suka cheese atau tidak minum susu seperti tuan suamiku yang tercinta maka, tidaklah suka memakan hidangan sebegini.. Kuikuikui..

*Tiada sukatan yang tetap. Saya tak tahu berapa. Main masukkan sesuka hati sahaja..*


(Inti)

Minyak untuk menumis
Daging kisar 1 plastik
Bawang merah
Bawang putih
Serbuk jintan manis - jangan banyak sangat
Serbuk kari daging - jangan banyak sangat
Garam - secukup rasa
Daun ketumbar

Percepatkan pernikahan anak.

Saya tak pasti ini bulan apa.. Dalam masa 24 jam saja saya menerima 3 emel dan 1 private message yg berkaitan mengandung luar nikah.. Alla...