رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 27 Mei 2011

Ragam anak berdasarkan intuisi si ibu.

Mei 27, 2011 6 Comments


Tengahari itu selepas makan, mak menegur saya. "Kamu tengok dada Fathi turun naik tak tentu hala tu. Sikit-sikit terkejut sampai bergerak badan waktu tidur. Pergi tidur sebelah dia! Jangan bagi dia terkejut."

Selepas solat Zohor, dengan wudhuk yang masih ada saya memang terfikir untuk berkonfrontasi dengan anak sulung saya Fathi, 2 tahun. Ada sesuatu yang saya rasakan tidak betul. Tapi dia masih belum boleh bercakap lagi. Jadi, dengan cara ini sajalah saya boleh 'bercakap' dengannya.

Saya pegang dadanya yang berombak kencang itu dengan tangan kiri. Usap-usap kepalanya dengan tangan kanan. Dan berselawat sebanyak mungkin sehingga saya rasa saya sudah bersedia.

" Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal. Fathi tidur baik-baik ye. Nyenyak-nyenyak.. Jangan takut. Mak tak marah. Fathi tidur je. Mak temankan Fathi kat sebelah."

.
.

"Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal dengar kan cakap mak sekarang. Fathi tidur baik-baik.. Mak nak cakap ni. Kenapa Fathi selalu bangun malam? Kan mak dah bagi susu. Fathi bangun sejam, dua jam.. Tengahmalam pulak tu. Macamana mak nak tidur? Mak penat tau. Cuba Fathi bagitau mak kenapa sebenarnya? Kenapa Fathi tak boleh tidur ke? Ada orang kacau Fathi ke?"

.
.
.

'Fathi tidur sorang-sorang kat bawah. Mak dengan abah tidur dengan adik atas katil.'

"Ooo, Fathi takut tidur sorang-sorang ye. Fathi kan lelaki. Janganlah takut. Fathi dah besar sekarang. Nanti lambat laun Fathi kena tidur sorang-sorang jugak."

.
.
.

'Itu nanti. Bila tiba masanya. Sekarang tak nak.'

"Ok, lepas ni mulai malam ni kita tidur sama-sama atas katil eh. Dengan mak, dengan abah, adik kat ujung ok? Mak tidur kat sebelah kanan, abah tidur kat sebelah kiri Fathi sampai masanya nanti Fathi janji Fathi kena belajar tidur sendiri ok?"

.
.
.

'Ok'.

"Ok. Baik anak mak. Lagi satu mak nak tanya ni, Fathi marah kat mak ke? Fathi selalu baling-baling barang. Baling-baling makanan. Mak tak suka tau. Tak baik buat macam tu. Kalau Fathi taknak makan beri pada mak baik-baik, cakap taknak, geleng kepala. Kalau tak boleh buat pun, jangan baling-baling barang. Fathi selalu menangis tak pasal-pasal susah mak nak buat kerja tau. Fathi cuba bagitau mak. Apa Fathi rasa?"

.
.
.

'Mak asik dengan adik je.'

"Ooo pasal tu ye.. Adik masih kecik lagi. Kena bagi susu mak. Sebab tulah mak selalu dengan adik. Fathi kan dah besar. Dah jadi abang. Kenalah main sendiri. Pandai bawak diri. Fathi kan abang yang baik."

.
.
.

'Memanglah, tapi mak dah tak peluk Fathi lagi.'

"Ermmm, kadang-kadang mak terlupa. Fathi selalu menangis buat hal, jadi mak naik marah lah. Makan nasi taknak. Baling nasi. Baling mainan. Mak tak suka. Mak jadi selalu marah kat Fathi je macamana nak peluk. Tapi, mak tetap sayang Fathi. Lagipun, Fathi kan dah banyak dapat peluk dari atok dengan nenek. Atok dengan nenek boleh manjakan Fathi".

.
.

'Atok dengan nenek lain. Mak dengan abah lain.'

(Saya terkedu sebentar. Agak lama.) "Ok, baiklah. Lepas ni mak janji mak sayang Fathi banyak-banyak tiap-tiap hari. Mak akan berubah. Tapi, Fathi janji dengan mak, Fathi pun kena berubah. Jangan mengamuk tak tentu pasal lagi, taknak baling-baling makanan lagi, taknak bangun malam lagi, taknak gigit jari adik lagi ok?"

.
.
.

'Ok.'

"Macam tulah anak mak yg bijak... Mak saaaayaaaaangggggg Fathi! Lepas ni kalau mak terlupa lagi, Fathi kena bagitau mak baik-baik ok.. Takmoh nangis-nangis lagi..."

.
.

'Ok.'

"Sekarang, Fathi tidur baik-baik. Nyenyak-nyenyak. Semalam kan Fathi 4 kali bangun malam. Tak cukup tidur. Mak temankan Fathi tidur ye.." (Saya hanya memeluk erat tangannya sambil mulut masih lagi mencium dahinya..)...

Dan nafasnya kembali stabil. Dan senyap..

......................................................................................................................................................................



Dialog di atas bukan dibuat-buat. Ia datang dengan sendiri. BUKAN dalam bentuk bisikan. Saya hanya mengikut intuisi seorang yang telah melahirkan Fathi.

Saya tiada kelulusan dalam psikologi. Bukan juga pakar dalam bidang ini. Perbualan di atas hanyalah mengikut ilmu dan apa yang saya percaya tentang gelombang bawah sedar setiap manusia. Apalagi bagi seorang kanak-kanak yang masih suci lagi bersih ini. Sangat tulus.

Saya tak menyangka kepercayaan saya dan eksperimentasi saya terhadap anak saya ini berhasil sebegini rupa. Betul, saya tak menyangka! Niat saya hanya untuk membetulkan kesilapan saya tapi saya tak tahu di mana (saya tahu saya dah buat salah tapi tak tahu apa dia kesalahan saya). Dan selebihnya, itu dalam ilmu Allah yang dapat membimbing saya tentang tatacara yang betul dalam cuba memasuki zon gelombang bawah sedar si anak.

Perbualan ketika tidur dengan anak saya ini sudah berlaku beberapa bulan yang lalu semasa Fathi baru masuk ke usia 2 tahun pada Februari lalu. Fathi dapat adik baru ketika usianya 1 setengah tahun.

Semasa itu, saya akui saya agak kalut dan tertekan kerana si sulung secara tiba-tiba bangun malam dan menangis macam kena pukulan yang kuat di tengah malam. Tidak tentu masanya. Tahap kesabaran saya tercabar ketika sampai 2 jam sekali dia terbangun secara mengejut dan menangis di tempat tidur dengan kuat sekali. Mengalahkan adiknya yang perlu bangun menyusu malam!

Sudah banyak ayat dibaca, dihembus. Diberi susu ditolak. Bapaknya mahu angkat atau hanya berbaring di sebelah pun di sepaknya. Jika saya mendekat, lebih keras tangisannya. Boleh menjangkau 2 jam jika dibiarkan terus menangis. Hinggalah saya pujuk perlahan-lahan dan cakap seberapa banyak yang boleh yang saya sangat sedih dia menangis begitu sekali (hanya melalui hati). Barulah saya boleh angkat dia, bagi dia makan biskut dan beri dia 'cek katak' nya (ketika itu katak kesayangannya ini terlintas di hati saya). Dan serta merta dia tersenyap. Dan berbunyi, "wak. wak.. ummmmm.." Rupanya dia nak bagi cek katak makan sekali dengannya.

Hasilnya jam 3.30 pagi dengan badan yang lemah dan mata yang kelat, saya sedang menyuapkan anak dan katak kesayangannya makan biskut. Aduhhh!!!!! Saya terfikir, apa yang menyebabkan anak saya ini lebih sayangkan dan sangat selesa dengan kataknya berbanding saya sendiri seorang ibunya. Itu yang menyedarkan saya akan kesilapan saya. Bukan disebabkan 'mengada-ngada' dia.

Selepas perbualan tidur ini berlangsung, ia mengambil masa hampir 2 minggu untuk keadaan tenang kembali.

Paling awal perubahannya, dia nak makan nasi tapi mesti saya suap pakai tangan saya. Suap hanya dia seorang sambil bermain-main dan penuh dengan peluk-memeluk. Kemudian, barulah dia tidur tak bangun-bangun pada waktu malam. Ketika itu, saya sudah beritahu pada suami tentang peraturan baru ketika tidur. Tidur bersama-sama. Kemudian, beransur sedkit-sedikit dia tak lagi baling membaling barang atau makanan. Termasuk gigit jari adiknya.

Cuma, saya perasan sekarang dia hanya gigit jari adiknya apabila dia panggil saya tapi saya hanya menyahut dan tidak menoleh ke arahnya. Mungkin sebab masa tu saya sedang memasak atau menonton atau sembahyang. Asalkan saya atau suami tidak menoleh apabila dia panggil dia akan pergi dekat dengan adiknya dan gigit jari atau kaki si adik sampai menjerit!

Akhirnya, saya mendapat satu pengajaran berharga yang telah diajarkan oleh anak-anak saya.

Anak-anak kebiasaannya akan meragam dalam pelbagai cara dan dalam usia tertentu.

Ya, meragam/mengamuk (tantrum sindrom) itu biasa dan ada pada semua anak-anak. Lihatlah mereka dan akuilah kesalahan kita sendiri kerana dengan cara itu saja anak sedang berkomunikasi dengan kita tentang sesuatu.

Tak guna kita terus menerus memarahinya setiap kali dia mengundang amarah kita. Semua tindakan itu sebenarnya adalah protes terhadap apa yang kita telah lakukan kepada dia samada dia nak cakap, dia perlukan lebih perhatian atau kasih sayang, atau menegur tentang ketidakadilan kita.

Kasar hukuman kita kepadanya, lebih kasar ragam dia akan tunjukkan. Kerana dia tidak mengerti apa-apa kecuali ingin meluahkan saja. Tapi tak tahu bagaimana. Dan baginya, adakah itu juga salah?

Terbukalah untuk mempelajari dan memahaminya! Tak guna jawatan yang tinggi atau kelulusan pendidikan yang terbaik sekalipun jika perkataan si kecil pun tidak dapat kita fahami. Moga catatan ini dapat menjadi panduan kepada ibubapa yang runsing dalam menangani atau sekurang-kurangnya mengawal tantrum sindrom di kalangan anak-anak.

Jumaat, 20 Mei 2011

Coklat ke sekolah!

Mei 20, 2011 0 Comments
Sempena Hari Guru 16 Mei lepas, saya telah menerima tempahan ke dua buah sekolah. 100 batang lollychoc campur-campur untuk Koperasi Maahad Johor (terima kasih Cikgu Zie) dan sebuah SK di Pontian oleh teman sekolah saya yang dulu (maaf lupa nak tanya nama sekolahnya). 40 batang lollychoc & 40 biji mini bar (terima kasih cikgu Mazirah) untuk dijual bagi tujuan kumpul duit kebersihan kelas katanya. Siap ambil order terlebih dahulu! Sangat efisyen budak-budak SK ini. Kagum! :)


Ini design terbaru saya buat. Masukkan sekali untuk Maahad Johor. RM1 sebatang. Tapi, kalau nak order design ini lagi sudah tiada sebab corak ini sangat terhad.


Kira coklat design ini limited edition lah.. Beruntunglah pelajar-pelajar Maahad Johor yang membelinya! ;)


Ini juga hasil mould baru! Saya suka coklat bunga ni. Cute!


Dan cantik juga!


Di bawah ini juga hasil mould baru. Tapi, saya khaskan coklat ini untuk cikgu-cikgu kesayangan Nur Batrisya Amira & Nur Adreena Amira bt Ramzi di SK Sri Pulai.



Mana-mana cikgu yang dapat coklat ini, terima kasih banyak-banyak kerana menjadi guru kesayangan mereka berdua. Walaupun anak-anak saya masih kecil, belum bersekolah lagi, tapi menyediakan coklat untuk guru kesayangan dua amira ini dah cukup buatkan saya gembira sama seperti anak sendiri! Terima kasih kerana mengajar dan menyayangi anak-anak yatim ini.



Dan akhirnya, inilah semua hasilnya untuk dua hari yang penuh bercoklat. Sampai nak tidur pun mata terbayangkan coklat!



Oooo ye, ini pula order sesaja cikgu Mazirah untuk makan-makan. Strawberry coklat. 500gm (29 biji) RM 35. Saya salut keseluruhan strawberry ini dengan coklat. Sebab coklat tester (suami) kata sebelum ni coklat tak terasa kat strawberry tu, sikit sangat. Jadi, kali ni saya salut setebal yang boleh supaya coklatnya terasa. Tak cantik sangat jadinya.. Asalkan puas hati memakannya ok apa.. hehe..



Info : Lollychoc sebegini amat sesuai untuk dijual di koperasi sekolah saya kira selain daripada coklat bar. Lebih murah, lebih senang untuk budak-budak makan!






Selasa, 17 Mei 2011

Sedetik berdua hingga berempat. 2011.

Mei 17, 2011 2 Comments

Semuanya bermula selepas saya sakit telinga.. Ya, saya pernah sakit telinga sehingga saya sudah kehilangan dekat 80% pendengaran. Sebelum itu, saya sudah penat naik turun hospital pakar di KL (semasa saya di tahun akhir UIAM) dan JB (selepas grad). Sakit telinga saya masih berulang sehinggalah saya tergerak untuk mencuba rawatan alternatif di Taman Teratai.

Di situlah saya berjumpa jodoh pekerjaan dan jodoh seumur hidup saya yang tidak pernah saya sangka, jauh sekali saya fikirkan.

Suami, bekerja dengan abangnya di klinik alternatif itu. Hidupnya hanya duduk depan komputer dan membuat kerja-kerja programming di dalam bilik kecil yang tersorok itu. Setelah saya bekerja di situ dan mula bergaul dengannya sebagai rakan sekerja, saya dapati 'otaknya' sangat luas walaupun duduk di tempat sekecil itu.

Saya dapati ada perkara dominan dalam corak pemikirannya yang lain dari kebiasaan lelaki. Dia tidak banyak cakap. Bila bercakap mulutnya laser pula. Tidak hiraukan perasaan orang. Apalagi peduli cakap orang. Walaupun dunianya lebih kepada corak programming komputer namun, ada ilmu padanya yang tidak ada pada saya. Pendek kata, dia selalu memberi pandangan yang sangat bertentangan dengan saya tapi masih boleh diterima akal. Yang saya suka, dia selalu berkata sesuatu yang saya tidak tahu (ini kerana saya sudah bosan dengan lelaki bermulut manis dan selalu bercakap benda yang saya sudah tahu).

Pada masa yang sama, keserentakkannya, saya sedang diintai dan dirisik oleh dua orang lelaki lain (seorang cikgu di MRSM, sekarang menjadi pensyarah di UIA dan seorang lagi punya harta yang banyak, tapi saya menolak mereka dengan baik). Jadi, terpaksalah saya memberitahu perkara ini cepat-cepat kepadanya. Kerana itulah, dia dan keluarganya terus datang merisik dan bertunang sekaligus pada 25 Disember 2007 (sebelum itu ibubapanya sudah datang berkenalan terlebih dahulu).

Lalu, kami berkahwin pada 16 Mei 2008.

Saya seorang yang banyak berfikir dan takut tak tentu pasal bila terfikir tentang masa depan. Itu memang saya yang dulu. Saya terlalu banyak soalan yang belum ada jawapannya.

Setelah berkahwin, suami berhenti kerja dan mengajak saya berpindah ke KL untuk mulakan hidup baru. Lebih untuk berdikari. Sebelum itu lagi saya sudah takut kerana semasa bertunang lagi suami sudah memberitahu perancangannya itu.

Kahwin. Kerja masih belum ada. Saya juga begitu. Rumah juga tiada. Simpanan hanyalah duit hantaran kahwin saya yang berjumlah RM 7000. Itu saja yang ada untuk memulakan hidup baru (ada juga simpanan lain saya dari kecil tapi suami tak bagi menyentuhnya).

Selepas kahwin, saya berjauhan dengan suami selama satu bulan lebih. Ini semua kerana suami ingin mencari rumah sewa dulu sebelum saya mengikutnya ke KL. Setelah 2 minggu selepas kahwin, baru konfem diterima kerja di Kg. Baru dan kemudian genap awal bulan Julai barulah saya berhijrah ke KL dengan mengangkut semua hadiah perkahwinan kami ke sana.

Rumah pertama kami di tingkat 13, Jalan Keramat Hujung. Hanya sebulan di situ. Kemudian, kami berpindah ke Wangsamaju. Walaupun sewanya lebih mahal sedikit, namun kami sepakat untuk memilih rumah yang dekat dengan masjid dan ada parking yang selesa dan lebih penting ianya ground floor. Semasa itu, kami tiada kereta. Kalau sesiapa datang senang nak parking.

Hahaha... Umpama kenangan manis! Walaupun ketika itu saya termenung jauh dari dalam lori mengangkut barang bersama adik di hadapan dan suami serta kawannya berdiri di belakang lori bersama barang-barang. Semasa berpindah saya hamil sebulan lebih ketika itu. Saya tak dibenarkan mengangkat barang sangat. Bayangkan nak angkut barang dari tingkat 13 turun ke bawah dan kemudian masuk ke dalam lori. Nasib baik adik ketika itu masih belajar di UIA. Boleh lagi paksarela dia tolong angkut barang. Dan juga jasamu dikenang selamanya kepada kawan sekerja suami yang sangat murah hati menolong kami.

Sewa rumah baru ini RM 600 sebulan. Sampai-sampai lantai kosong. Tiada alas. Nasib baik masjid sangat dekat. Jadi suami dan kawannya terus saja berjemaah di masjid. Saya pula dengan adik menyiapkan lauk pauk setelah bergilir sembahyang sambil mengemas terus sedikit-sedikit. Petang itu (dekat maghrib) kami berempat makan di lantai beralaskan suratkhabar saja. Rasanya seperti berpesta gembira sambil makan dengan selera dan hati lega sekali walaupun hanya makan di lantai yang masih basah itu.

Anak pertama, Fathi dilahirkan cukup-cukup bulan (akhir 35 minggu. Kalau mengikut hospital tak cukup bulan) pada 21 Feb 2009.


Sebelum itu, Disember 2008 kami baru dapat kereta pertama kami, Myvi dan kami mengambilnya dalam keadaan suami yang sangat teruk! Simptom awal denggi. Setelah dapat kereta, terus saja kami pulang ke JB (dengan saya yang sarat dan adik yang memang suka bawa kereta) untuk dapatkan rawatan daripada abang ipar di klinik alternatifnya. Ingatkan denggi biasa, rupanya suami denggi berdarah! haha.. Jangan ceritalah masa ni! Sadis sungguh! Saya hanya mampu menggelengkan kepala.. (Mungkin sebab saya sangat aktif turun naik hospital ketika sedang sarat menyebabkan saya melahirkan anak sebulan awal).

Dan, rezeki yang tidak disangka datang lagi. Semasa anak pertama 8 bulan, saya mengandung kembali. Pada awalnya terus terang saya katakan, saya sangat takut dan belum bersedia lagi untuk anak kedua. Namun, saya melihatnya untuk jauh lagi ke masa hadapan. Yang saya tidak pasti apa tapi saya pasti ada kebaikannya.

Anak pertama terpaksa dihentikan susu badan sebelum menginjak usianya 1 tahun. Kasihan sangat. Tapi, saya tidak berdaya.

Semasa saya sudah dekat dengan tarikh jangkaan bersalin anak kedua ini, kami nekad untuk pindah kembali ke JB. Untuk jangkamasa yang lebih panjang barangkali. Dekat 2 tahun di Wangsamaju dan kami berpindah pada Mei 2010.

3 Jun 2010. Saya melahirkan cahayamata kedua, Nurfatihah. Lebih dekat dengan keluarga. Lebih senang mak menjaga saya semasa berpantang. Ketika berpindah, suami baru saja mendapat pekerjaan dengan company di Singapura. Tapi, tidak bertahan lama.

Alhamdulillah sekarang pula rezeki kerjaya suami bersama company di Jepun pula. Majikannya orang Malaysia dan lebih bertolak ansur.

Ada kalanya, kami sangat kesempitan dari segi ekonomi. Kadangkala terpaksa catu susu anak. Tapi, di akhirnya datang rezeki (duit) tanpa kami sangka. Ia datang tanpa diduga. Samada kenalan lama membayar hutangnya yang dulu atau tiba-tiba saya mendapat durian runtuh hasil dari orang guna nama saya (ooo cara ini makteh saja yang tahu)..

Namun, bagi kami rezeki cahayamata dan kasih sayang yang lebih luas hadirnya. Saya bersyukur di atas setiap yang berlaku dan tidak menyesal kerana melalui semua ini.

Ada orang mahu stabil ekonominya sebelum berkahwin.

Ada orang mahu mengejar cita-cita dan bersedia terlebih dahulu sebelum mempunyai komitmen dan menimang cahayamata.

Ada orang yang sudah bersedia dari keseluruhan aspek namun tiada rezeki anak kunjung tiba. Rezeki lain pula datangnya.

Ada orang yang tidak berkira-kira sangat dan hanya melalui setiap apa yang berlaku dalam hidupnya itu sebagai satu cabaran. Redah saja!

Semua itu betul. Semua itu amat perlu dalam rumahtangga. Apa sahaja alasannya, jangan jadikan takut kepada masa depan itu penghalang untuk anda mendapatkan hidup yang lebih bermakna. Kerana kesusahan dan cabaran setelah berumahtangga itulah yang dapat mengajar anda untuk mendapatkan hidup yang bernilai untuk anda hargainya di kendian hari.

Hidup ini tempat kita diuji. Ujian dan rezeki itu datang dalam bermacam-macam bentuk dan gaya. Ingat, hidup senang juga ujian!

Saya sangat bersyukur mengandung awal untuk anak kedua ini. Hanya sekarang saya dapat melihatnya. Kerana niat saya selepas habis belajar dulu memang untuk menjaga kedua orangtua saya. Tapi saya tak tahu bagaimana. Yalah, saya sudah lebih 10 tahun duduk di asrama dan jauh dari keluarga sehingga tidak tahu apa jadi dengan keluarga sendiri kadangkala. Hanya sejak emak jatuh sakit beberapa bulan lalu dan berulang kembali sakitnya beberapa minggu yang lepas membuatkan saya terfikir sesuatu..

Betapa cantiknya perancangan Allah. Masa yang diaturnya sangat tepat!

Jika saya tidak mengandung tahun lepas saya pasti tidak pulang lagi ke JB. Jika saya tidak ada lagi di rumah ini pada ketika itu, saya tak pasti apa yang akan berlaku ketika emak jatuh seperti terkena strok semasa di dalam bilik air tempohari. Saya juga tidak pasti saya akan dapat membuat terapi untuk mak ketika mak sesak nafas tiba-tiba semasa dia berseorangan di rumah 2 minggu lalu ketika semua orang keluar bekerja.

Dan jika saya bekerja di luar (untuk mengukuhkan ekonomi rumahtangga saya), saya tak pasti saya mampu memasak dan menjadi teman berbual mak ketika mak dalam kesakitan hari ini.

Ini hanyalah luahan hati saya dan cerita saya saja.

Anda juga punyai cerita sedih dan kesusahan masing-masing. Hargailah apa saja yang berlaku kepada diri anda mahupun sekeliling anda. Dan jangan sesekali menyesalinya dan laluilah semuanya dengan berlapang dada. Kerana,
Boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, tapi ianya tidak baik untuk kamu. Boleh jadi kamu tidak suka (benci) kepada sesuatu tapi ianya baik untuk kamu.

Kita merancang. Allah juga merancang. Perancangan Allah itu adalah yang lebih baik.
Berdepanlah segala cabaran yang datang dengan hati terbuka dan bersangka baik kepada perancangan Allah. Hidup ini adalah mengenai sangkaan kita kepada Allah (yang menghidupkan kita tanpa perlu logik akal manusia) dan kesabaran.

Semoga Allah memberkati rumahtangga kami selama 3 tahun ini dan tahun-tahun mendatang.. Semoga berkekalan kasih sayang dan ketenangan yang ada di dalam keluarga ini... InsyaAllah.


Ahad, 8 Mei 2011

Kandungan coklat

Mei 08, 2011 0 Comments


Bahan-bahan : Coklat Beryl's (Coklat susu & Coklat hitam), Garam Bukit Infrasonik, Minyak sawit / Minyak zaitun dan (tambahan perisa / kekacang yang berbeza mengikut permintaan).

Untuk yang menjaga kesihatan, saya cadangkan permintaan anda adalah Coklat hitam sahaja (kerana dalam Dark Chocolate lebih banyak koko dan lebih pahit daripada Milk Chocolate yang lebih banyak gula dan sangat manis). Juga mintalah minyak zaitun. Saya gunakan minyak zaitun HPA.

-----------------------------------------------------------------------------------

Ramai yang bertanya apa kandungan yang saya gunakan dalam coklat saya ini.

Saya suka pada kelainan. Kerana semua orang boleh buat coklat. Tak kira lelaki atau perempuan. Senang saja. Tapi, apa yang membuatkan coklat saya lain daripada orang lain?

Saya tiada rahsia. Kerana saya lebih suka berkongsi sesuatu yang sihat.

Untuk pengetahuan, kebanyakan coklat di kedai-kedai menggunakan majerin untuk 'melemakkan' rasa coklat mereka. Di samping kos yang lebih murah. Saya tidak gemar kepada rasa majerin di samping majerin itu sendiri yang tidak sihat untuk diamalkan. Selain itu, mereka hanya menggunakan Milk Chocolate sahaja (kerana itu coklat jadi sangat sangat sangat manis!).

Baru-baru ini, saya mendapat 'tawaran' daripada abang ipar saya, Dr. Norhissam Mustafa untuk melebarkan sayap coklat saya ini melalui koperasinya. KUSKOM. (saya terlupa pula nama penuhnya walhal dulu saya turut sama dalam penubuhannya 2 tahun yang lalu hehe..). Namun, sebelum itu semua berlaku saya perlu memenuhi prosedur-prosedur tertentu untuk mendapatkan 'pengilangan secara Islam' seperti produk-produk kesihatan formulasinya yang lain.

Oleh kerana itu, saya sedang berusaha membaiki mutu pembungkusan coklat saya. Juga mutu rasa coklat saya.

Untuk permulaan, saya perlu mempamerkan kandungan di dalam coklat saya ini.


Selepas ini, saya perlu dapatkan sijil halal untuk raw materials coklat yang saya gunakan. Walaupun Beryl's Chocolate sudah ada logo halalnya dan produk buatan Malaysia namun, saya perlu juga mendapatkan salinan sijil halalnya juga untuk dokumentasi dan prosedur.

Proses seterusnya akan saya update lagi di kemudian hari yee..


Sabtu, 7 Mei 2011

Kasih ibu sepanjang hayat.

Mei 07, 2011 2 Comments

Ketika saya berumur 3 tahun kot.


Bersama arwah atok flat. Emak kepada emak saya.


Ketika saya menjadi bongsu..hehe.. Sori dik, masa ni adik tak wujud lagi.. Kakda yang cute ok!

Saya anak ketiga dalam keluarga. Emak kata muka saya sama macam muka mak ketika muda dulu. Ermmm, mungkin mak lebih lawa sikit kot. hehe..

Saya bukanlah jenis yang meraikan sesuatu berdasarkan ikutan orang lain kerana meraikannya. Begitu juga suami. Saya tidak dididik untuk meraikan hari-hari tertentu. Cuma ingatan untuk meraikan hari jadi saja yang saya belajar untuk menyambutnya dengan cara ibubapa saya sedari kecil. Iaitu menghantar pulut kuning ke masjid-masjid.

Saya menulis artikel ini bukanlah kerana memperingati Hari Ibu yang sedang rancak diucapkan dalam minggu ini sahaja.

Saya menulis ini kerana terpanggil untuk menyatakan sesuatu yang saya tidak akan ucapkan kepada emak saya. Dan juga untuk menyatakan sesuatu yang saya tidak pasti akan sempat saya ucapkan kepada anak-anak saya kelak.

Saya menjadikan emak sebagai idola saya. Walaupun pada zahirnya saya kelihatan seperti "tidak mahu mendengar cakap orangtua" atau sekali sekala "saya ni degil" tapi sebenarnya itu semua tidak lebih sebagai satu perbahasan untuk mencari titik persamaan ilmu dan pengalaman dua generasi yang berbeza pandangan dan pemikiran (jika tiada perdebatan macamana nak dapat titik persamaannya di mana kan).

Kerana itu, saya mahu menjadi seperti emak. Saya mahu menjadi pengurus rumahtangga seperti emak. Itulah sebab terpenting dan utama kenapa orang kerap bertanya kepada saya mengapa saya tidak bekerja dan mempunyai kerjaya yang "membanggakan" walhal saya belajar sampai masuk universiti. Saya ingin saja bertanya kepada mereka semula, adakah menjadi surirumahtangga a.k.a pengurus rumahtangga a.k.a pendidik utama anak-anak menjadi satu kerjaya yang hina dan tidak profesional lagi tidak intelektual seperti kerjaya lain?

Ya... Mungkin juga kerana menjadi surirumahtangga ini hanya berurusan dengan budak kecil yang tidak intelektual dan 'orang tak masuk universiti pun boleh jaga anak laaa'.

Dan kemudian orang akan bertanya lagi, "Habis ko punya ijazah tu buat apa? Bungkus nasi lemak jelah.."(Part ni jiwa saya menjadi kacau! Bercakap seperti saya tidak punya perasaan).

Dan suami pun menjawab. "Ijazah atau Master yang seorang wanita tu dapat gunanya untuk mendidik anak-anak. Bukan sebab untuk mengejar pangkat dan kemewahan. Tak tahulah kalau awak belajar dulu memang niatnya untuk dapatkan status sosial yang 'membanggakan'.." (Dan saya kena sekali lagi. Aduh!)

Namun begitu, katakanlah apa saja. Saya sangat bersyukur kerana suami saya sangat berlainan pemikirannya dengan pandangan popular yang lain. Malah, suamilah yang memberikan semangat ketika saya jatuh dan ingin tumbang disebabkan angin yang menerjah saya kadangkala sangat kuat hingga jiwa menjadi 'kacau'.

Katanya, nilai seorang lelaki adalah pada kerjayanya. Nilai seorang wanita adalah pada anak-anaknya.

Menyorot kembali bagaimana emak membesarkan anak-anaknya, saya menjadi kuat dan tabah semula. Segala ilmu dari emak saya cuba pelajari. Walaupun kadangkala berbalah kerana perkara kecil mahupun dari segi prinsipnya namun, saya akui emak telah berjaya mendidik dan membesarkan anak-anaknya yang empat ini. Walaupun, hakikatnya ada ketika anak-anaknya tidak mengikut seperti ajarannya di pertengahan jalan yang panjang tapi, di akhirnya anak-anaknya mampu 'mencari jalan pulang' semula ke asal.

Saya ingat lagi ketika saya darjah satu. Saya seorang yang rajin membaca. Emak yang menegur saya untuk membetulkan sebutan "jarum" yang saya sebut "jarung". Jika tidak, sudah pasti saya diketawakan oleh kawan-kawan lain jika orang lain mendengar salah sebutan saya itu. (Tu belum lagi susah payah mak membetulkan pelat saya yang lain.) Emak juga yang pertama mengajar saya huruf-huruf Hijaiyyah sehinggalah saya mampu membaca al-Quran ketika berumur 6 tahun. Dan khatam ketika di darjah dua. Abah pula selalu membetulkan saya bunyi dan makhraj huruf. Abah juga yang ajar saya bagaimana menulis huruf 'ra' dan 'mim' dengan betul.

Jika orang bertanya, "Apa pekerjaan ayah awak?". Dengan bangganya saya akan menjawab, "Pensyarah" (abah tak bagi bagitau orang dia dah ada Profesor Madya). Dan orang bertanya lagi, "Emak awak kerja apa?". Saya juga akan bangga menjawab, "Emak surirumahtangga." (Dialah yang menjaga saya, mendidik saya dan menguruskan saya adik-beradik. Setiap kali saya pulang dari sekolah, emak tahu pukul berapa cerita cina kegemaran saya. Emak tahu pukul berapa perlu kejutkan saya bangun dari tidur untuk ke sekolah agama. Emak tahu setiap kali bila saya sedih atau gembira lepas balik sekolah. Tiap hari saya makan air tangan mak yang sampai hari ini cara masakan saya juga mirip seperti emak. Dan emak juga yang mengubati dan mengurut kaki saya tiap kali saya sakit kaki pada malam hari. Yang paling tidak lupa emak selalu membacakan al-Quran di hujung katil ketika saya susah nak tidur).

Mungkin semasa kecil saya tidak dapat berfikir lagi uniknya di sebalik kerjaya surirumahtangga ini. Hanya sekarang saya menyedari bahawa, jika tidak ada suri untuk menguruskan satu rumahtangga itu manakan boleh si suami mendapat pekerjaan yang sangat mantap dan prestasi yang membanggakan?

Namun, saya ingin tekankan di sini, tidak semua suri yang mampu membentuk rumahtangga dengan baik jika tanpa ilmu dan seterusnya mendorong suami ke satu tahap tertinggi. Tidak semua juga wanita bekerjaya itu yang tidak mampu mengurus rumahtangganya dengan baik. Ada juga saya lihat wanita bekerjaya yang berjaya juga mendidik anak-anak ke tahap yang membanggakan. Semua itu, kembali semula kepada persoalan "nilai" yang difahami dan diterapkan kepada anak-anak dan kemampuan masing-masing. (Saya akui saya tidak mampu kerana alangkah saya yang buat coklat bukan setiap hari ni rasa bersalah pada anak kerana seperti abaikan mereka ketika saya bekerja. Saya jenis yang terlalu menumpu kepada satu pekerjaan sehingga anak-anak terabai. Ya, saya memang tidak mampu).

Setiap orang dan setiap rumahtangga ada 'sistem nilai' yang berbeza.

Kerana itulah, saya ingin sekali menerapkan nilai yang sama kepada anak-anak saya. Namun, saya akui bukanlah 100% kerana percantuman budaya dan pemikiran berlaku di dalam satu institusi kekeluargaan. Saya selesa dan berbangga kerana dididik dengan sistem nilai yang tidak terikut-ikut kepada nilai dan pemikiran yang popular malah, tidak menekankan status sosial yang tinggi dan lebih bersederhana.

Mujurlah nilai suami saya ini sejajaran dengan nilai didikan saya. Ini sajalah titik persamaan antara Johor-Kelantan. Dan saya sangat mensyukuri nikmat ini.

Semua wanita mampu melahirkan dan membesarkan anak-anak. Namun, amat payah untuk mendidik dan membangun jiwa, menetapkan jatidiri dan sahsiah satu generasi yang bukan dari zamannya.

Kerana itu, menghargai seorang ibu dan ayah adalah satu proses sepanjang zaman. Bukan kerana hari itu atau minggu itu atau bulan itu saja kita meraikan, belanja makan atau memberi mereka rehat dan bersenang-lenang. Menghargai dan menyayangi serta mengikut tunjuk ajar mereka adalah satu proses yang harus kita lakukan setiap ketika, sepanjang kita bernafas dalam dunia ini sehinggalah ke nafas kita yang terakhir.




Ahad, 1 Mei 2011

Apa nilai anda?...

Mei 01, 2011 0 Comments
Saya sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dan keluarga. Oleh kerana itu, saya selalu menjadikan pengalaman, pendengaran dan penglihatan saya sebagai ibrah untuk saya menetapkan satu nilai yang harus saya pegang.

Babak 1.

Abah baru pulang dari majlis potong jambul seseorang yang berdekatan dengan taman perumahan kami.

Abah : Nah, mainan untuk Tiha. Tadi dapat kat majlis aqiqah kat sana.

Saya : Eh, comelnya anak patung nih! Mesti anak dia pompuan ni. Warna pink!

Abah : A ahh.. Pompuan. Kat masjid tadi yang datang jemaah cuma ada 4 orang je. Wakil keluarga tu agaknya datang masjid jemput semua jemaah datang majlis aqiqah cucu dia katanya. Orang tu macam tak pernah nampak kat masjid sebelum ni. Dah dijemput sungguh-sungguh kesian pulak kalau tak pergi. Dah la hujan. Ingatkan majlis aqiqah la. Sampai-sampai sana je siap ada PA system lah, bukak khemah lah. Pastu, buat upacara potong jambul je. Tak buat tahnik pun. Sampai-sampai tu macam taknak masuk sebab dah nampak ada yang tak kena. Tapi.... Dah sampai pulak kan..Cara orang Melayu. Selawat sikit, potong jambul pastu nampak orang lain masukkan rambut tu dalam hapa ntah, dalam air, abah letak je rambut tu tempat lain. haha.. Pastu, dia bagi sorang satu bunga telur beruang nih. Pastu, terus balik. Tak makan pun. Dia tak jemput makan.

Saya : A ah ek.. Kalau orang yang jarang pergi masjid, apalagi yang tak pernah pergi masjid asik sibuk keje je, susah jugak nak panggil orang masjid buat upacara macamni ek. Mesti macam malu sebab tak kenal orang. Kalau jadi orang masjid pun, berbelah bagi gak. dah la tak kenal. Sembahyang berjemaah kat masjid pun tak pernah. Kalau taknak pergi dah jemputan dia. Nanti orang kata ahli masjid ni sombong taknak dekati masyarakat pulak. Nak tak nak terpaksalah pegi. Pegi pulak pahaman orang tu menyimpang pulak. Susah jugak ek jadi orang masjid nih.

Abah : Ada sorang mualaf tu yg sama-sama jemaah tadi. Bila dia dapat bunga telur beruang ni dia tanya, "Apa ni? Anjing! Najis! Tak boleh bawak masuk rumah, malaikat tak masuk!". Terus dia bukak cermin tingkap, dia buang beruang tuh..hehe.. Mualaf pun tau!

Saya : Haaaa, dia buang depan tuan rumah tu ke? Beraninya!

Abah : Taklah... Dia buang masa dalam kereta balik dari majlis tu.

Saya : Ooooo... Bagus la mualaf tu! Buat malu je orang Melayu ni. Malu dgn mualaf yang baru peluk Islam pun tau hukum hakam.

------------------------------------------------------------------------------------

Babak 2.

Saya tertonton RTM pagi itu. Siaran Selamat Pagi Malaysia yang kebetulan membuat rencana mengenai sebuah bridal yang terkenal di ibukota.

Bridal : Di sini kita menekankan 2 jenis konsep solekan untuk pengantin. Pertama, untuk Muslimah, yang ni solekan jenis natural. Tak gunakan banyak warna kerana berimej lebih sopan dan asli. Solekan ni banyak warna pastel, tak berapa menyerlah kerana jenis ini memang untuk yang gemarkan kesederhanaan dan natural. Kedua, solekan semi-Muslimah. Solekan ini lebih menyerlah kerana kita mainkan beberapa jenis warna dan lebih menonjol. Kerana biasanya solekan semi-Muslimah ini untuk mereka yang mahukan solekan yang tebal dalam masa yang sama cantik.

Saya : Hape kejadahnya semi-muslimah?!!!!!!!!!!!!!!!!! Orang-orang ni faham ke tak makna yang dia cakapkan tu selain dari solekan?!! Terlalu fashionable la sangat sampai wujud perkataan "semi-muslimah"???? (Dalam otak saya, apasal tak jadikan je skali perkataan "semi-man" ke "semi-guy" ke untuk orang macam dia jugak??)....

-----------------------------------------------------------------------------------

Babak 3.

Suami : Belum kawin lagi baru tunang dah kecoh satu Malaysia?? Masuk TV lagi!! Kan tunang tu harus dirahsiakan. Bila dah kawin nanti barulah wajib dihebahkan..

Saya : Nak buat camna... Awak bukan artis. Dia artis. Hak masyarakat. Masayarakat ada hak nak tau dengan siapa dia bertunang.. (Ayat tabloid lagi poyo..)

Suami : Tak kiralah artis ke tak.. Hak masyarakat ke tak.. Bukan isu. Mana prinsip dia? Pegangan dia?

Saya : Ehhh, dia mengubat orang melalui mukjizat al-Quran ok...

Suami : Mukjizat al-Quran tu dah lama dah saya percaya dan pegang. Bukan sekarang. Tak kesahla tu. Tapi bila macamni dah jadi ikutan orang.. nanti budak muda lain pun ikutlah macam dia.. Tunang siap pelamin, panggil satu kampung, buat besar-besaran.. Diorang ingat, ooo tu sebahagian ajaran agama jugak. Sebab dia buat...

Saya : Nak buat macamana.. Kita bukan artis. Dalam Malaysia ni, artis yg paling berpengaruh. Kalah Ustaz Zahazan.. Kalau awak nak betulkan masyarakat, jadilah artis! (Ayat sarkastik ye... Harap maklum..) Eh, tapi Farah dah tunang jugak tapi dia tak bagitau pun. Tetiba je si Nor dgn Talib tu cakap Farah dah nak kawin tak lama lagi.

Suami : Haaaa, macam tu kan bagus!..

------------------------------------------------------------------------------------

Isu utama : Nilai.
Punca : Cara membesar, didikan ibubapa dan ilmu pada peringkat yang berbeza.

Penyelesaian : Carilah ilmu yang bermanfaat dan pelbagai. Bukan hanya setakat apa yang kita tahu semalam dan hari ini saja. Atau apa yang kita mahu tahu semata. Carilah ilmu sehingga ke akhir hayat anda.


#jdtblogger #teambloggerjohor

Follow @khadijah_gani