Sabtu, 7 Mei 2011

Kasih ibu sepanjang hayat.


Ketika saya berumur 3 tahun kot.


Bersama arwah atok flat. Emak kepada emak saya.


Ketika saya menjadi bongsu..hehe.. Sori dik, masa ni adik tak wujud lagi.. Kakda yang cute ok!

Saya anak ketiga dalam keluarga. Emak kata muka saya sama macam muka mak ketika muda dulu. Ermmm, mungkin mak lebih lawa sikit kot. hehe..

Saya bukanlah jenis yang meraikan sesuatu berdasarkan ikutan orang lain kerana meraikannya. Begitu juga suami. Saya tidak dididik untuk meraikan hari-hari tertentu. Cuma ingatan untuk meraikan hari jadi saja yang saya belajar untuk menyambutnya dengan cara ibubapa saya sedari kecil. Iaitu menghantar pulut kuning ke masjid-masjid.

Saya menulis artikel ini bukanlah kerana memperingati Hari Ibu yang sedang rancak diucapkan dalam minggu ini sahaja.

Saya menulis ini kerana terpanggil untuk menyatakan sesuatu yang saya tidak akan ucapkan kepada emak saya. Dan juga untuk menyatakan sesuatu yang saya tidak pasti akan sempat saya ucapkan kepada anak-anak saya kelak.

Saya menjadikan emak sebagai idola saya. Walaupun pada zahirnya saya kelihatan seperti "tidak mahu mendengar cakap orangtua" atau sekali sekala "saya ni degil" tapi sebenarnya itu semua tidak lebih sebagai satu perbahasan untuk mencari titik persamaan ilmu dan pengalaman dua generasi yang berbeza pandangan dan pemikiran (jika tiada perdebatan macamana nak dapat titik persamaannya di mana kan).

Kerana itu, saya mahu menjadi seperti emak. Saya mahu menjadi pengurus rumahtangga seperti emak. Itulah sebab terpenting dan utama kenapa orang kerap bertanya kepada saya mengapa saya tidak bekerja dan mempunyai kerjaya yang "membanggakan" walhal saya belajar sampai masuk universiti. Saya ingin saja bertanya kepada mereka semula, adakah menjadi surirumahtangga a.k.a pengurus rumahtangga a.k.a pendidik utama anak-anak menjadi satu kerjaya yang hina dan tidak profesional lagi tidak intelektual seperti kerjaya lain?

Ya... Mungkin juga kerana menjadi surirumahtangga ini hanya berurusan dengan budak kecil yang tidak intelektual dan 'orang tak masuk universiti pun boleh jaga anak laaa'.

Dan kemudian orang akan bertanya lagi, "Habis ko punya ijazah tu buat apa? Bungkus nasi lemak jelah.."(Part ni jiwa saya menjadi kacau! Bercakap seperti saya tidak punya perasaan).

Dan suami pun menjawab. "Ijazah atau Master yang seorang wanita tu dapat gunanya untuk mendidik anak-anak. Bukan sebab untuk mengejar pangkat dan kemewahan. Tak tahulah kalau awak belajar dulu memang niatnya untuk dapatkan status sosial yang 'membanggakan'.." (Dan saya kena sekali lagi. Aduh!)

Namun begitu, katakanlah apa saja. Saya sangat bersyukur kerana suami saya sangat berlainan pemikirannya dengan pandangan popular yang lain. Malah, suamilah yang memberikan semangat ketika saya jatuh dan ingin tumbang disebabkan angin yang menerjah saya kadangkala sangat kuat hingga jiwa menjadi 'kacau'.

Katanya, nilai seorang lelaki adalah pada kerjayanya. Nilai seorang wanita adalah pada anak-anaknya.

Menyorot kembali bagaimana emak membesarkan anak-anaknya, saya menjadi kuat dan tabah semula. Segala ilmu dari emak saya cuba pelajari. Walaupun kadangkala berbalah kerana perkara kecil mahupun dari segi prinsipnya namun, saya akui emak telah berjaya mendidik dan membesarkan anak-anaknya yang empat ini. Walaupun, hakikatnya ada ketika anak-anaknya tidak mengikut seperti ajarannya di pertengahan jalan yang panjang tapi, di akhirnya anak-anaknya mampu 'mencari jalan pulang' semula ke asal.

Saya ingat lagi ketika saya darjah satu. Saya seorang yang rajin membaca. Emak yang menegur saya untuk membetulkan sebutan "jarum" yang saya sebut "jarung". Jika tidak, sudah pasti saya diketawakan oleh kawan-kawan lain jika orang lain mendengar salah sebutan saya itu. (Tu belum lagi susah payah mak membetulkan pelat saya yang lain.) Emak juga yang pertama mengajar saya huruf-huruf Hijaiyyah sehinggalah saya mampu membaca al-Quran ketika berumur 6 tahun. Dan khatam ketika di darjah dua. Abah pula selalu membetulkan saya bunyi dan makhraj huruf. Abah juga yang ajar saya bagaimana menulis huruf 'ra' dan 'mim' dengan betul.

Jika orang bertanya, "Apa pekerjaan ayah awak?". Dengan bangganya saya akan menjawab, "Pensyarah" (abah tak bagi bagitau orang dia dah ada Profesor Madya). Dan orang bertanya lagi, "Emak awak kerja apa?". Saya juga akan bangga menjawab, "Emak surirumahtangga." (Dialah yang menjaga saya, mendidik saya dan menguruskan saya adik-beradik. Setiap kali saya pulang dari sekolah, emak tahu pukul berapa cerita cina kegemaran saya. Emak tahu pukul berapa perlu kejutkan saya bangun dari tidur untuk ke sekolah agama. Emak tahu setiap kali bila saya sedih atau gembira lepas balik sekolah. Tiap hari saya makan air tangan mak yang sampai hari ini cara masakan saya juga mirip seperti emak. Dan emak juga yang mengubati dan mengurut kaki saya tiap kali saya sakit kaki pada malam hari. Yang paling tidak lupa emak selalu membacakan al-Quran di hujung katil ketika saya susah nak tidur).

Mungkin semasa kecil saya tidak dapat berfikir lagi uniknya di sebalik kerjaya surirumahtangga ini. Hanya sekarang saya menyedari bahawa, jika tidak ada suri untuk menguruskan satu rumahtangga itu manakan boleh si suami mendapat pekerjaan yang sangat mantap dan prestasi yang membanggakan?

Namun, saya ingin tekankan di sini, tidak semua suri yang mampu membentuk rumahtangga dengan baik jika tanpa ilmu dan seterusnya mendorong suami ke satu tahap tertinggi. Tidak semua juga wanita bekerjaya itu yang tidak mampu mengurus rumahtangganya dengan baik. Ada juga saya lihat wanita bekerjaya yang berjaya juga mendidik anak-anak ke tahap yang membanggakan. Semua itu, kembali semula kepada persoalan "nilai" yang difahami dan diterapkan kepada anak-anak dan kemampuan masing-masing. (Saya akui saya tidak mampu kerana alangkah saya yang buat coklat bukan setiap hari ni rasa bersalah pada anak kerana seperti abaikan mereka ketika saya bekerja. Saya jenis yang terlalu menumpu kepada satu pekerjaan sehingga anak-anak terabai. Ya, saya memang tidak mampu).

Setiap orang dan setiap rumahtangga ada 'sistem nilai' yang berbeza.

Kerana itulah, saya ingin sekali menerapkan nilai yang sama kepada anak-anak saya. Namun, saya akui bukanlah 100% kerana percantuman budaya dan pemikiran berlaku di dalam satu institusi kekeluargaan. Saya selesa dan berbangga kerana dididik dengan sistem nilai yang tidak terikut-ikut kepada nilai dan pemikiran yang popular malah, tidak menekankan status sosial yang tinggi dan lebih bersederhana.

Mujurlah nilai suami saya ini sejajaran dengan nilai didikan saya. Ini sajalah titik persamaan antara Johor-Kelantan. Dan saya sangat mensyukuri nikmat ini.

Semua wanita mampu melahirkan dan membesarkan anak-anak. Namun, amat payah untuk mendidik dan membangun jiwa, menetapkan jatidiri dan sahsiah satu generasi yang bukan dari zamannya.

Kerana itu, menghargai seorang ibu dan ayah adalah satu proses sepanjang zaman. Bukan kerana hari itu atau minggu itu atau bulan itu saja kita meraikan, belanja makan atau memberi mereka rehat dan bersenang-lenang. Menghargai dan menyayangi serta mengikut tunjuk ajar mereka adalah satu proses yang harus kita lakukan setiap ketika, sepanjang kita bernafas dalam dunia ini sehinggalah ke nafas kita yang terakhir.




Ahad, 1 Mei 2011

Apa nilai anda?...

Saya sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dan keluarga. Oleh kerana itu, saya selalu menjadikan pengalaman, pendengaran dan penglihatan saya sebagai ibrah untuk saya menetapkan satu nilai yang harus saya pegang.

Babak 1.

Abah baru pulang dari majlis potong jambul seseorang yang berdekatan dengan taman perumahan kami.

Abah : Nah, mainan untuk Tiha. Tadi dapat kat majlis aqiqah kat sana.

Saya : Eh, comelnya anak patung nih! Mesti anak dia pompuan ni. Warna pink!

Abah : A ahh.. Pompuan. Kat masjid tadi yang datang jemaah cuma ada 4 orang je. Wakil keluarga tu agaknya datang masjid jemput semua jemaah datang majlis aqiqah cucu dia katanya. Orang tu macam tak pernah nampak kat masjid sebelum ni. Dah dijemput sungguh-sungguh kesian pulak kalau tak pergi. Dah la hujan. Ingatkan majlis aqiqah la. Sampai-sampai sana je siap ada PA system lah, bukak khemah lah. Pastu, buat upacara potong jambul je. Tak buat tahnik pun. Sampai-sampai tu macam taknak masuk sebab dah nampak ada yang tak kena. Tapi.... Dah sampai pulak kan..Cara orang Melayu. Selawat sikit, potong jambul pastu nampak orang lain masukkan rambut tu dalam hapa ntah, dalam air, abah letak je rambut tu tempat lain. haha.. Pastu, dia bagi sorang satu bunga telur beruang nih. Pastu, terus balik. Tak makan pun. Dia tak jemput makan.

Saya : A ah ek.. Kalau orang yang jarang pergi masjid, apalagi yang tak pernah pergi masjid asik sibuk keje je, susah jugak nak panggil orang masjid buat upacara macamni ek. Mesti macam malu sebab tak kenal orang. Kalau jadi orang masjid pun, berbelah bagi gak. dah la tak kenal. Sembahyang berjemaah kat masjid pun tak pernah. Kalau taknak pergi dah jemputan dia. Nanti orang kata ahli masjid ni sombong taknak dekati masyarakat pulak. Nak tak nak terpaksalah pegi. Pegi pulak pahaman orang tu menyimpang pulak. Susah jugak ek jadi orang masjid nih.

Abah : Ada sorang mualaf tu yg sama-sama jemaah tadi. Bila dia dapat bunga telur beruang ni dia tanya, "Apa ni? Anjing! Najis! Tak boleh bawak masuk rumah, malaikat tak masuk!". Terus dia bukak cermin tingkap, dia buang beruang tuh..hehe.. Mualaf pun tau!

Saya : Haaaa, dia buang depan tuan rumah tu ke? Beraninya!

Abah : Taklah... Dia buang masa dalam kereta balik dari majlis tu.

Saya : Ooooo... Bagus la mualaf tu! Buat malu je orang Melayu ni. Malu dgn mualaf yang baru peluk Islam pun tau hukum hakam.

------------------------------------------------------------------------------------

Babak 2.

Saya tertonton RTM pagi itu. Siaran Selamat Pagi Malaysia yang kebetulan membuat rencana mengenai sebuah bridal yang terkenal di ibukota.

Bridal : Di sini kita menekankan 2 jenis konsep solekan untuk pengantin. Pertama, untuk Muslimah, yang ni solekan jenis natural. Tak gunakan banyak warna kerana berimej lebih sopan dan asli. Solekan ni banyak warna pastel, tak berapa menyerlah kerana jenis ini memang untuk yang gemarkan kesederhanaan dan natural. Kedua, solekan semi-Muslimah. Solekan ini lebih menyerlah kerana kita mainkan beberapa jenis warna dan lebih menonjol. Kerana biasanya solekan semi-Muslimah ini untuk mereka yang mahukan solekan yang tebal dalam masa yang sama cantik.

Saya : Hape kejadahnya semi-muslimah?!!!!!!!!!!!!!!!!! Orang-orang ni faham ke tak makna yang dia cakapkan tu selain dari solekan?!! Terlalu fashionable la sangat sampai wujud perkataan "semi-muslimah"???? (Dalam otak saya, apasal tak jadikan je skali perkataan "semi-man" ke "semi-guy" ke untuk orang macam dia jugak??)....

-----------------------------------------------------------------------------------

Babak 3.

Suami : Belum kawin lagi baru tunang dah kecoh satu Malaysia?? Masuk TV lagi!! Kan tunang tu harus dirahsiakan. Bila dah kawin nanti barulah wajib dihebahkan..

Saya : Nak buat camna... Awak bukan artis. Dia artis. Hak masyarakat. Masayarakat ada hak nak tau dengan siapa dia bertunang.. (Ayat tabloid lagi poyo..)

Suami : Tak kiralah artis ke tak.. Hak masyarakat ke tak.. Bukan isu. Mana prinsip dia? Pegangan dia?

Saya : Ehhh, dia mengubat orang melalui mukjizat al-Quran ok...

Suami : Mukjizat al-Quran tu dah lama dah saya percaya dan pegang. Bukan sekarang. Tak kesahla tu. Tapi bila macamni dah jadi ikutan orang.. nanti budak muda lain pun ikutlah macam dia.. Tunang siap pelamin, panggil satu kampung, buat besar-besaran.. Diorang ingat, ooo tu sebahagian ajaran agama jugak. Sebab dia buat...

Saya : Nak buat macamana.. Kita bukan artis. Dalam Malaysia ni, artis yg paling berpengaruh. Kalah Ustaz Zahazan.. Kalau awak nak betulkan masyarakat, jadilah artis! (Ayat sarkastik ye... Harap maklum..) Eh, tapi Farah dah tunang jugak tapi dia tak bagitau pun. Tetiba je si Nor dgn Talib tu cakap Farah dah nak kawin tak lama lagi.

Suami : Haaaa, macam tu kan bagus!..

------------------------------------------------------------------------------------

Isu utama : Nilai.
Punca : Cara membesar, didikan ibubapa dan ilmu pada peringkat yang berbeza.

Penyelesaian : Carilah ilmu yang bermanfaat dan pelbagai. Bukan hanya setakat apa yang kita tahu semalam dan hari ini saja. Atau apa yang kita mahu tahu semata. Carilah ilmu sehingga ke akhir hayat anda.


Percepatkan pernikahan anak.

Saya tak pasti ini bulan apa.. Dalam masa 24 jam saja saya menerima 3 emel dan 1 private message yg berkaitan mengandung luar nikah.. Alla...