Jumaat, 23 Disember 2011

Catatanku..

Menjadi seorang suri sepenuh masa bagi sebuah rumahtangga bukanlah seteruk mana. Pada mulanya, saya juga merasa sangat 'kecil diri' bila hanya dapat memegang status ini tatkala rakan dan kenalan lain sedang gah memegang 'title' yang lebih besar di sana sini.

Hampir kesemua orang yang saya temui mengatakan perkara yang serupa dengan ayat yang hampir serupa. "Awak belajar sampai UIA buat apa dok rumah? Buat penat je belajar tinggi-tinggi, rugilah kalau tak kerja.. Kat luar sana ramai yang nak kerja bagus tapi takde ijazah. Awak boleh dapat kerja bagus kalau mintak." Ini contoh ayat yang agak sopan.


"Abis ko punya ijazah tu buat bungkus nasi lemak jelah!" Ini pula contoh ayat yang buat saya tersentap dan 'makan dalam' untuk beberapa tahun (akhirnya orang ni jugaklah yang minta tolong saya uruskan 'rumahtangga' dia).

Selasa, 13 Disember 2011

Perubatan Islam ke ni?


Mutakhir ini terlalu banyak jenis rawatan dan perubatan yang mengklasifikasikan dirinya sendiri sebagai perubatan Islam. Hanya kerana mengamalkan ayat-ayat al-Quran. Namun, setiap kali muncul di kaca tv saya biasanya akan perhatikan bagaimana proses rawatan yang dijalankan. Kebiasaannya, oh mungkin saya boleh katakan kebanyakannya apabila wujudnya elemen 'bersentuhan antara pasien perempuan dan pengamal lelaki' hati saya tak semena-mena akan menyatakan 'seperti ada yang tak kena'.. Ya, walaupun dengan alasan "takpelah, untuk berubat.."

Ataupun saya akan perhatikan seperti ada unsur yang menunjukkan kehebatan pengamal itu sendiri seperti semasa mendiagnos atau memberikan rawatan hanya dengan melalui tangan yang di bentuk-bentuk di udara. Bukan kelakar tapi hati saya akan berkata, "wah, ajaibnya! ni mesti teror orang nih! orang lain tak semua boleh buat macamni.." kerana nampak seperti sesuatu yang mistik dan ajaib. Maka, barulah saya  sedar yang ayat sebegitu secara tanpa disedari hilang keyakinan saya terhadap yang menciptakan sesuatu yang lebih ajaib dan lebih hebat iaitu Allah s.w.t... Kerana itu tak hairanlah jika berbondong-bondong yang datang dari jauh untuk mendapatkan rawatan sebegitu hanya untuk bertemu dengan orangnya sahaja. Tak sah atau tak boleh kalau tak jumpa orang yang hebat itu sendiri.

Hasilnya, rawatan dan perubatan itu menjadi susah dan menyusahkan.

Sabtu, 3 Disember 2011

Asam Pedas Ikan Mayong.

SALAM PERKENALAN

Ruangan resepi ini dibuat khas untuk ibunda saya yang disayangi, Puan Salmah bt Kassim. Atau lebih mesra dipanggil Mak Mah. Emak sebenarnya dah lama menyuruh saya menulis dan membukukan resepi tradisionalnya tersendiri yang terdiri daripada lauk-pauk dan kuih-muih. Inspirasi emak ini sudah lama sebenarnya hasil daripada idea dan pengalamannya serta ilmu sedikit sebanyak yang diperolehi daripada bermacam-macam rancangan masakan. Yang terbaharu, mak suka sangat dengan rancangan Masterchef Malaysia di Astro Ria. Begitu juga slot bersama Chef Sabri di Ikim.fm setiap hari Jumaat jam 10 pagi mesti mak tak lupa!

Oleh kerana proses membukukan resepi tradisional mak agak memakan masa dan memerlukan 'test market' terlebih dahulu maka, saya fikir baik saya 'joint venture' saja ke dalam blog saya ini sekadar memulakan apa yang saya ada dan apa yang saya mampu. Mak juga tahu saya adalah seorang blogger aktif. Jadi, mak pula yang bersemangat untuk mengaktifkan resepinya dalam alam maya ini!

Niat asal mak hanyalah untuk berkongsi ilmu dan rahsia masakannya kepada anak cucu cicitnya kelak. Di masa akan datang, mak boleh menjangkakan yang generasi alpha (grup anak lahir tahun 2000 ke atas) akan ketandusan resepi warisan turun temurun dan mungkin rahsia menyiang ikan pun tak pandai jika tidak ditunjukkan. Jadi, ruangan resepi ini adalah sebagai catatan abadi di dunia maya ini serta perkongsian ilmu kepada anak cucu cicit ciutnya kelak atau sesiapa saja sebagai amal jariahnya. Mak kata, "Kalau mak dah takde nanti, sekurang-kurangnya masih ada lagi ilmu mak yang diwarisi.." InsyaAllah..

Jadi, untuk resepi pertama ialah Asam Pedas Mak Mah. Terus terang saya katakan, takde lagi masakan asam pedas yang setanding mak di mana-mana sekalipun! Walaupun saya dah berkahwin, ada anak pun saya lebih suka asam pedas mak ini. Tak sama dengan orang lain. Moto masakan mak adalah TIADA MSG, TIADA BELACAN... Semuanya oriiiiii!!! Barulah berkhasiat.. ;))


Khamis, 1 Disember 2011

Kecek-kecek malam hari 2.


Situasi 1, slot bersama Puan Jasmin dalam Ikim.fm pada hari Selasa jam 10 pagi. Etika anak-anak di rumah.
"Jadi ibu, jangan sesekali marah anak menjerit-jerit, mengherdik anak. Cuba gunakan frasa indah masa memanggil si anak. Contohnya, "Wahai bulan purnamaku Mohd Syafik, turunlah dari pokok itu! Ibu amat merinduimu dan ingin memelukmu.." Jangan sesekali tengking anak depan kawan-kawan dia. Bila kita guna bahasa yang bersopan dan berlemah lembut, akan datang dia pun akan guna perkataan yang bersopan bila bercakap dengan orang lain jugak. Kena ingat anak-anak ni takkan gagal meniru setiap tindak tanduk dan percakapan ibu ayahnya sendiri."

Situasi 2, di gerai burger.

Pakcik : Abanggg, dah besar nanti rajin pergi sekolah ye belajar pandai-pandai boleh jadi doktor.

Fathi : (tarik muka)..

Saya : Sorilah pakcik. Budak ni memang malu sikit pakcik.

Pakcik : Takpe, biasalah tu budak.. Anak sulung ke?

Saya : Ha ah.

Pakcik : Cucu pakcik semuanya perempuan! Lelaki sikit je boleh dibilang dengan jari! (Dia sebut semua nama anak-anaknya dan cucu lelaki yang rata-rata ada sorang je dalam 1 famili).

Saya : Takpelah pakcik.. Rezeki jugak namanya tu walaupun banyak perempuan. Sekarang ni perempuan memang makin ramai. Bijak-bijak.

Pakcik : (Mula bukak cerita cucu perempuannya hampir semuanya belajar tinggi. Senyum dan dengar jelah..) Pakcik nak bagitau awak eh. Jadi mak bapak ni rahsianya satu aje. Jangan jadi anjing menggongong bukit!

Rabu, 30 November 2011

Coklat Cenderahati Esklusif.


Terima kasih yang tak terhingga kepada sahabat lama saya, Nurul Asyikin Ngadiso atas kepercayaan dan peluang yang beliau berikan.

Saya baru saja menyiapkan coklat untuk dijadikan souvenir kepada International visitors dari UK. Saya tak ingat pelawat itu dari universiti apa tapi mereka adalah pelawat UTM dan Ikin memberikan ruang untuk saya mempromosikan coklat saya ini (walaupun saya rasa masih hijau lagi). Jadi, saya bertungkus lumus untuk menampakkan coklat buatan Pulai Utama ini kelihatan setanding antarabangsa tapi masih dalam sentuhan tersendiri. Inilah hasilnya..



1. Love : Almond white choc / Almond dark choc.
2. White choc with strawberry filling.
3. Rose : White choc with crunched wafer.
4. Almond coffee dark choc.


Rabu, 23 November 2011

Menuju Hidayah Taufiq ~Doakan yang lain.


Dahulu, saya pernah merasakan saya sudah punya banyak ilmu. Saya boleh bercakap tentang apa saja.

Dahulu, saya pernah ingin merasakan erti kebebasan untuk keluar malam bersama kawan-kawan. Dan mencari ketenangan pada waktu malam.

Dahulu, saya gemar berbalah semta-mata untuk menegakkan apa yang saya rasakan betul dan mencantas pandangan rakan yang lain.

Rupa-rupanya dahulu, tanpa saya sedari saya seorang yang sombong dan selalu saja melakukan dosa. Itu bukanlah sesuatu yang membanggakan. Patutlah segala apa yang saya pohon dan doakan tidak menjadi sepertinya. Padan muka saya.

Sehinggalah saya diuji dengan kesakitan (sakit telinga hingga hilang pendengaran agak teruk), kekecewaan (sering tak lulus interview kerja yang saya nak) dan kesedihan (trauma mencari cinta). Ianya berlaku serentak! Sangat perit!

Selasa, 15 November 2011

Coklat Loli (Lollychoc)



Sesiapa yang mengikuti blog saya pasti sudah sedia maklum dengan 'situasi' saya dan bisnes coklat ini melalui entri saya sebelum ini. Alhamdulillah.. Kesihatan mak dah makin baik. Jadi, saya boleh teruskan bisnes coklat saya ini seperti biasa.

Ya, untuk coklat dalam kotak hantaran memang agak mahal. Saya tak nafikan. Begitu juga coklat yang saya letak di JUSCO itu juga agak mahal setelah pekedai meletakkan harga untuk keuntungan tempatnya juga. Saya lebih suka jika anda tempah direct dengan saya kerana kebiasaannya saya akan lebihkan coklat anda dan jika minta kurang harga, saya akan faham dengan keadaan itu.

Khamis, 10 November 2011

Rasa - fikir - nilai - bertindak!


"Manusia bertindak berdasarkan apa yang dia rasa BUKAN apa yang dia fikirkan."

Selain daripada slot bersama Prof. Dr. Muhaya pada setiap hari Rabu jam 10 pagi, saya juga sangat suka mendengar slot bersama Ustaz Pahrol Juoi jam 5.15 petang setiap hari Isnin di IKIM.fm (106.20MHz = Johor).

Dua minggu lepas topik perbincangannya sangat terkesan di hati saya. Kerana saya baru berjumpa jawapan kepada semua kemusykilan saya. Ya, betapa sikitnya ilmu yang saya ada ini saya rasakan.

Barulah saya faham kenapa semua orang tahu yang merokok itu merosakkan kesihatan tapi masih ada yang suka merokok. ~~ Kerana I feel good....

Sabtu, 22 Oktober 2011

Demi cahaya : Berhijrahlah!

Saya bukanlah peminat kepada artis-artis tertentu apalagi nak menjadikan artis sebagai contoh (role model). Saya tidak berminat untuk berbuat begitu. Tapi tak bermakna saya tak mengikuti perkembangan artis hiburan di Malaysia ni.

Kadang-kadang saya lebih suka melayan Melodi dan Galaksi tv9 daripada menonton mana-mana berita di tv sebab rancangan picisan sebegini lebih punya kredibilitinya dan adil dalam melaporkan sesuatu berita. Taglinenya mudah, "Adalah tidak adil kita mendengar sebelah pihak saja. Jadi mari kita terjah sebelah pihak lagi untuk mendapatkan kebenaran!" Lalu, lagu terjah pun keluar... haha.. Prinsip sebegini lebih adil dan bermaruah daripada laporan berita utama yang lebih kurang berbentuk gosip dan lebih menyedihkan hanya mendengar di sebelah pihak saja.. Etika kewartawanan apakah itu? Oppsss, terkeluar tajuk pula..

Saya jarang melayan Youtube. Tapi minggu lepas abah ada buka youtube Inilah Kisahku.. yang saya nak tengok sepanjang Ramadhan lepas tapi tak pernahnya dapat tengok satu pun.huhu.. Yang saya nak tengok sekali ialah Catriona Ross dan Wardina.

Wardina, saya sudah lama meminatinya sejak dia menjadi VJ lagi. Sebelum sitkom Spanar Jaya lagi saya suka melihat aksinya mengacarakan rancangan. Entahlah.. Lagipun dulu saya agak perasan yang mukanya ada iras muka saya sebab tulah saya minat dia... HAR HAR HAR HARRR...

Rabu, 19 Oktober 2011

Remaja dan wanita alaf baru..

Pagi tadi topik perbincangan WHI tv3 sangat bagus. 'Ibubapa lalai, anak cak kun cak'... Ada seorang remaja perempuan yang sudah insaf dan sedang menjalani pemulihan di KEWAJA. Seorang panel adalah orang kuat KEWAJA dan seorang lagi kaunselor jemputan.

Pada permulaan, faktor menyebabkan anak yang bermasalah dan akhirnya 'menjadi bubur' ini dengan menyalahkan ibubapa sebagai orangtua yang tidak mengambil berat tentang anak-anak disebabkan hari ini kedua-duanya sibuk dengan kerjaya. Sebaliknya, remaja perempuan ini ibubapanya sangat mengambil berat hingga membuatkan dia lari tidak mahu dikongkong! Dan kemudiannya dia mengakui bahawa dia hanyut dengan pengaruh rakan sebaya (teman lelaki) yang akhirnya menyebabkan dia terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah dan membawanya ke KEWAJA. Di setiap pertanyaan pengacara pasti dijawabnya berulangkali bahawa 'dengarlah cakap ibubapa' kerana dia menyesal melawan cakap dan tidak mahu mendengar cakap orangtua satu masa dahulu.

Ohoo, sebelum topik pagi tadi berakhir, di awal rancangan lagi saya dan mak mengikutinya lalu mak terus berkata, "Percaya tak percaya, budak-budak takde pengalaman, macamana nak bagi kepercayaan.."

Saya..... Terdiam seribu bahasa....

Selasa, 11 Oktober 2011

Di balik kesempitan ada kesenangan..

Khamis lepas, setelah tiga hari saya menahan kesakitan di sekitar perut, akhirnya saya terpaksa mengikut prosedur biasa yang dicadangkan doktor klinik berdekatan untuk ke hospital besar. Suspek apendiks dan perlu permbedahan secepat mungkin. Saya mohon untuk di scan terlebih dahulu tapi kata doktor dan semua orang di hospital itu, "Memang kalau apendiks kita terus bedah. Ok ke tak ok ke kita terus buang. Itu memang prosedurnya."

Jumaat, 30/09/11, saya menjadi orang pertama untuk dibedah pagi itu. Pada mulanya, doktor mahu melakukan Appendictomy saja tapi ianya ditambah lagi dengan Laparascopy untuk melihat ovari saya. Dikhuatiri appendiks dalam masa yang sama juga sebab saya sakit di sebelah kiri juga apabila ditekan, dikhuatiri juga masalah berkaitan peranakan seperti mengandung luar rahim.


Semalam, saya masuk ke wad berseorangan kerana suami sedang memangku anak saya yang kecil, Fatihah, yang tidak mahu-mahu tidur mengamuk kerana saya tidak dapat menyusukannya seperti kebiasaan sebelum dia tertidur. Masuk-masuk wad nak call-out tak boleh, nak kirim mesej pun tak boleh kerana line fon saya terus masuk ke line Singtel (disebabkan betapa hampirnya hospital JB ni dengan tanah Singapura). Nasib baik suami tiba tepat pada waktunya. Dia sampai saja di wad (mencari-cari katil saya di mana), saya melambainya dan katil untuk ke bilik pembedahan pun sampai.


Jumaat, 23 September 2011

Bahagiakah anak kita?

Petang tadi saya tertengok pula satu dokumentari yang sangat menarik lagi berinformasi! Saya mengikut gerak hati untuk melihat channel #731 Astro BioChannel. Tajuknya saya lupa pula. Saya tengok pun sudah separuh jalan. Tapi saya tak sabar untuk berkongsi dengan ibubapa lain di luar sana apa yang saya peroleh.

Dalam rancangan tu, mereka menemubual beberapa jenis keluarga dengan masalah anak-anak serta pengurusan rumahtangga masing-masing. Mereka membuat penyelidikan untuk melihat sejauh mana kebahagiaan anak kecil itu dapat dilihat dan dikesan sejak awal. Saya kongsikan apa yang saya dapat.

Keluarga ini pada awalnya (semasa anak 2 dan sedang mengandung yang ke-3) sangat bahagia walaupun suaminya seorang disleksia dan kedua-duanya tidak bekerja. Semasa temubual si isteri baru saja mendapat pekerjaan. Selang beberapa bulan setelah bayi ketiga dilahirkan baby Charlotte, berusia 5 bulan, mereka melihat kembali kondisi keluarga ini.

Si ibu ini seorang yang suka bekerja di luar. Katanya, dengan keluar dari rumah dan berjumpa orang ramai membuatkan dirinya dapat melupakan seketika rengekan dan hiruk pikuk anak-anak yang sangat merimaskannya. Konflik antara dia dan suami pula menjadi semakin teruk kerana suaminya tidak dapat bekerja seperti orang lain dan akhirnya suaminya yang lebih selesa menjadi surirumah, menjaga anak-anak. Sehinggalah klimaks konflik ini pada satu hari si suami keluar minum bersama kawan-kawannya dan pulang lewat malam dan si ibu menjadi sangat berang apabila dia terpaksa menjaga anak-anak untuk sehari suntuk. Mereka bergaduh besar sehingga mengancam untuk membunuh suaminya. Sebelum itu pun mereka sentiasa bergaduh setiap hari hingga mereka tidak boleh berjumpa lagi dan tak boleh memandang antara satu sama lain! Anak-anak diletakkan di tepi jalan saja apabila masa penjagaan bertukar di antara mereka.

Lalu ujian pemerhatian di makmal dilakukan.

Isnin, 12 September 2011

Istighfar dan teruskan berdoa.

Petang tadi secara tidak sengaja saya terbuka Astro Oasis rancangan Ar-Rayyan bersama Dr. Fatma El-Zahra. Sudah bertukar wajah. Sudah musim ke-3. Saya tahu itulah yang terbaharu.

Saya ni bukanlah punya masa yang banyak sangat untuk menonton tv walaupun saya bekerja di rumah. Namun, tiap kali saya punya kemusykilan atau ada ketika saya perlukan 'refreshment' untuk diri saya tiap kali tu jugak bagai ada seru untuk bertindak atau berbuat sesuatu ke arah apa yang saya perlukan.

Jadi, saya tertengok Ar-Rayyan tu pun sudah separuh jalan barangkali. Saya tak pasti. Ayat pertama yang menangkap saya untuk terus khusyuk mendengar baris ayat seterusnya ialah (sila baca ikut intonasi Dr. Fatma bercakap ye) ;

"Kalau ada benda yang kita mahu tapi tak dapat, bermakna kita ada dosa dengan Allah yang kita tak selesaikan lagi. Atau kita ada dosa dengan makbapak kita. Kerana itu Nabi Muhammad s.a.w. ajarkan kita istighfar untuk kita amalkan iaitu dipanggil Penghulu Istighfar.


Kena tahu maksud : 
Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku, dan aku berlindung padaMu dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan, aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau.
Kalau kita faham maksudnya MasyaAllah, kita akan selalu mengakui dosa-dosa kita dan mintak ampun dari Allah. Kita manusia, mustahil kalau kita tak ada buat dosa. Cuma kita sadar atau tak saja. Kadan-kadan, kita buat dosa dengan mak bapak, kita tak sadar, sebab tu kita susah dapat apa yang kita mahu! 

Khamis, 8 September 2011

Mencari Kasih Sempurna.

"Fathi, jangan main pisau ni! Nanti luka, sakit!!!"
"Tiha, jangan diri kat situ nanti jatuh baru tau!!!"
Ibu mana dalam dunia ni yang mahu anak-anaknya berada dalam kesakitan? Itulah naluri seorang ibu. Begitu juga naluri seorang ayah.

Perkataan JANGAN memang negatif tapi perkataan itu saja yang mampu memberhentikan si anak agar tidak meneruskan langkah yang salah.

Bagi seorang anak pula dia takkan tahu betapa tajamnya pisau sehingga akan membuatkannya sakit. Dia juga masih naif untuk menjangkakan jikalau dia cuba berdiri dengan sebelah kaki di dalam besen yang di bawahnya ada air, maka dia akan tergelincir dan jatuh. Bukan tidak pernah dia jatuh terduduk atau luka di tangan sebelum ini akibat perbuatannya yang lain, namun hakikatnya dia tak pernah menduga perkara yang sama bakal berulang walaupun langkah berbeza yang dibuat.

Di sinilah maksud sebenar tentang ilmu kehidupan dan kematangan.

Setiap orang punya ilmu berbeza. Punya pandangan berbeza. Punya tahap kematangan dalam menilai sesuatu juga berbeza. Semua itu tertakluk kepada pengalaman dan pengamatan yang diterima.

Namun, walau betapa banyak pengalaman yang diperolehi tidak sesekali menjanjikan pengajaran dan pengamatan yang sama. Mungkin seseorang banyak pengalaman tapi tidak pernah belajar mengambil pengajaran.

Si ibu menegah si anak. Dalam ilmu si anak tiada kesalahan yang dibuat mengapa perlu marah-marah?

Si ibu pula, bersungguh-sungguh melindungi anaknya, namun si anak ingkar dan akhirnya merasa juga kesakitan itu. Jadi mengapa perlu diingatkan dari awal jika akhirnya terkena juga?

Ahad, 7 Ogos 2011

Coklat Bukan Ori - Warna warni Aidilfitri.

Coklat buatan saya tidak bermusim. Kesemua coklat di bawah ini berdasarkan permintaan dan saya cuba membuat penawaran semampunya.

Silakan belek membelek!





Coklat Tulen Strawberry Badam.
Pure Almond Strawberry Choc.


Secara peribadi, saya sangat suka coklat strawberi ini kerana coklat ini betul-betul rasa strawberi ori dan tidak terlalu manis. Apabila tergigit badam di tengahnya menimbulkan rasa yang sangat melemaskan anda dalam rasa coklat! Saya pasti dapat merubah mood anda bila memakannya.. ;))

Sabtu, 6 Ogos 2011

Coklat Original - Hitam Putih


Coklat Hitam Kosong Perisa Oren.
Plain Dark Orange Choc.


Bekas kecil - 20 biji.


Bekas besar - 50 biji.





Coklat campur-campur - 20 biji.



Jumaat, 29 Julai 2011

Ramadhan Kareem : Kullu 'Aam Waantum Bikhair..

Pasangan yang akan melahirkan zuriat pasti akan melakukan persediaan untuk menyambut si anak. Pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar juga sudah pasti akan melakukan persediaan sejak awal tahun lagi. Pekerja yang mahu mendapatkan pekerjaan yang baik pasti akan melalui sessi 'interview' terlebih dahulu. Sebelum pulang ke kampung menaiki kenderaan juga memerlukan kita memeriksa terlebih dahulu persediaan kereta itu untuk berjalan jauh. Semua perkara besar mahupun yang kecil dalam hidup kita memerlukan persiapan sebelum kita memulakan sesuatu. Agar apa yang kita buat itu punya momentumnya tersendiri dan bakal berpanjangan seterusnya menjadikannya sebagai salah satu cara hidup..

Sesuatu yang baik dan tidak tersusun pasti akan dikalahkan dengan sesuatu yang tidak baik tapi tersusun.

Oleh itu, mari kita sama-sama merebut peluang yang Allah beri dalam satu bulan khas untuk umat seluruhnya namun yang membezakan kita dan orang lain adalah PUASA YANG TERSUSUN. Saya menyeru juga kepada diri saya dan pembaca sekalian untuk berubah melalui Ramadhan tahun ini demi mencapai tahap kesihatan yang lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah..


Selasa, 26 Julai 2011

Dua mutiara hati..


Fathi dan Nurfatihah.


Bersama peminat setia blog ini.. ||Batrisya Amira Ramzi||. Cubaan untuk membuat 'peace'.


Dalam zon berangannya sendiri..


Siapa Tiha?? "Ni Taaaa"..


Aktiviti wajib hariannya..


Khamis, 14 Julai 2011

Zikr al-mawt... 29 tahun..

Setiap tahun, hari ini harijadi saya, esok pasti harijadi emak. Hari ini harijadi emak, semalam pasti sudah menjadi harijadi saya. Kami selalu diraikan bersama.

13 Julai 2011. Tahun ini genap saya 29 tahun. Mempunyai dua orang cahayamata lelaki dan perempuan, sepasang. Berkongsi pahit manis hidup bersama seorang suami yang bertimbangrasa dan beriman. Dapat menjaga dan berbakti kepada kedua orangtua saya dengan ilmu dan kudrat yang saya ada. Menjalani hidup yang serba sederhana dan hanya dapat melepasi keperluan tanpa berboros. Juga punya kedua orangtua mertua yang sangat memahami dan sangat menyokong apa saja kehidupan anak-cucu mereka. Alhamdulillah.. Segala puji hanya pada Allah..

Kelihatan sepertinya membaca pengakhiran sebuah cerita dongeng yang selalu dalam bentuk happy ending.

Maka, saya tertanya adakah ini petanda 'happy ending' dalam kehidupan saya?

Sabtu, 9 Julai 2011

Hydrocele & Fathi part 2.


Ketika umur Fathi 2 setengah bulan saya sudah mengesan tumbesaran yang tak sepatutnya terjadi di situ. Setiap bulan saya bawa check up biasa di klinik kerajaan. Masa 2 setengah bulan itu juga saya sudah memberitahu tentang kebimbangan saya. Dan misi mencadangkan Fathi dibawa ke GH untuk check up yang detail. Itulah kali pertama saya mendengar perkataan hydrocele.

Petang itu juga saya dan suami ke HKL (semasa itu masih menetap di KL) tapi kami tak jadi jumpa pakar kanak-kanak kerana kami kena tunggu dekat 4 jam lebih walaupun nombor sudah dapat. Agaknya doktor tu sibuk sangat dan tiada doktor lain kot.

Seterusnya kami mendapat pandangan pertama daripada doktor peribadi kami a.k.a abang ipar saya a.k.a abang kepada suami yang juga doktor alternatif. Dia cadangkan supaya kami jumpa dengan pakar kanak-kanak yang biasa dengan kes kanak-kanak dan cool di Kluang (caranya tak menakutkan mak bapak seperti doktor pakar lain yang selalu salah penggunaan ayat jika anak kita sakit). Nama klinik tu Johor Maternity Specialist. Jumpa dengan Dr. Lokman. Doktor lain taknak! Kliniknya jika nak pergi harus awal dari waktu operasi. Biasanya klinik tu akan penuh dengan orang pelbagai bangsa! Penuh! Percayalah! Tiada tempat duduk..


Berjumpa dengan Dr. Lokman memang best! (pandangan kedua/ketiga tak berapa ingat sebab dah ramai pakar kanak-kanak kami jumpa untuk mendapatkan pandangan samada perlu pembedahan segera atau tidak). Dia terangkan pada kami sampai puas hati. Dia beritahu kami tentang perkara yang kami tak tahu dari internet ataupun dari pembacaan kami. Siap lukiskan lagi!

Ahad, 26 Jun 2011

Si Manis Yang Cantik Jelita!


Apabila saya marah atau geram saya akan memanggilnya Si Manis! Kebiasaannya saya akan memanggil dia "Mana si manis mak yang cantik jelita tuuuu???"..... Kemudian, dia akan membuat muka jelitanya (sambil menyepetkan mata dan memuncungkan mulut).

Itulah anak saya yang kedua, Nurfatihah. Dah nak berakhir bulan Jun baru saya sempat bercerita tentang Tiha yang sudah masuk 1 tahun pada 3hb Jun yang lepas.

Tiha ini agak berlainan perangainya daripada si abang, Fathi. Dia agak agresif. Dan mempunyai raut muka yang agak garang. Tapi, pabila bertudung lihat saja rupanya yang mendamaikan itu.

Isnin, 20 Jun 2011

Coklat bertapa sebentar.


Saya ingin memohon maaf banyak-banyak jika ada tempahan coklat yang saya tak dapat tunaikan.

Untuk makluman, situasi saya begini. Sekarang, saya hanya dapat membuat coklat pada hari Ahad sahaja yang saya ada. Hari lain tidak mengizinkan.

Ini kerana saya menjaga emak saya yang masih tidak stabil kesihatannya. Anak-anak pula tiada yang dapat menjaga. Walaupun saya berada di kediaman mak dan abah (8 pagi hingga 8 malam a.k.a waktu bekerja saya) namun, saya dan suami tidak gemar untuk melepaskan tugasan menjaga anak-anak diberi sepenuhnya kepada atok dan nenek mereka. Jadi, saya harus berkompromi dengan keadaan semasa.

Jumaat, 17 Jun 2011

Hikayat Sang Puteri.



Tersebutlah kisah... Tinggal di dalam Kota Berbunga, ada 3 orang puteri yang tinggal bersama bondanya yang tercinta. Yang pertama, Puteri N yang baru menginjak 20 tahun. Yang kedua, Puteri A yang masih bersekolah yang berumur 12 tahun. Dan yang bongsu, Puteri B yang comel baru masuk sekolah yang berumur 6 tahun.

Baru-baru ini mereka kehilangan ayahanda yang tersayang. Secara tiba-tiba. Mereka semua sangat terkejut dan amat sedih dengan ketiadaan ayahanda yang tercinta. Ianya menjadi tamparan hebat buat Puteri B kerana di saat itulah dia baru memulakan satu fasa baru dalam hidup tanpa orang yang disayangi. Selalunya setiap kali pergi dan pulang sekolah ayahandalah yang mengambil mereka. Sekarang, tiada siapa lagi. Bondanya tidak mampu membawa kereta sendirian kerana penglihatan yang kabur dan akan membahayakan.

Walau bagaimanapun, Puteri A dan Puteri B tetap ke sekolah seperti biasa walau berjalan kaki mahupun basah dalam hujan yang lebat.

Oleh kerana, dahulu ayahanda yang menjadi tunggak dalam keluarga telah pergi buat selama-lamanya maka, tugas bonda menjadi semakin berat. Bonda harus keluar mencari rezeki untuk puteri bertiga meneruskan kehidupan mendatang. Pergi dan pulang kerja bonda tidak menentu. Kebanyakan masa Puteri A dan Puteri B terpaksa berdua saja di istana sehingga lewat malam. Tiada siapa dapat menemankan.

Selasa, 14 Jun 2011

Coklat hantaran.

Beberapa minggu yang lepas saya mendapat kiriman bekas hantaran saja.

Setelah diukur baru saya membeli kotak hantaran coklat yang bersesuaian dengan dulang hantarannya. Inilah hasilnya.

Ringkasannya, beginilah rupanya jika orang menempah coklat khas untuk hantaran. Saya akan membeli kotak yang cantik ukirannya. Jika coklat dijadikan hadiah untuk harijadi misalnya lain pula kotaknya. Lebih simple ditambah dengan reben saja.

Jadi, beritahu saya saja apa tujuan coklat anda dan saya akan sesuaikan mana yang patut.
Warna dan temanya.






Nota : Keluaran terbaharu saya ialah coklat badam berperisa kopi. Tak manis sangat dan rasanya mengujakan!

Jumaat, 27 Mei 2011

Ragam anak berdasarkan intuisi si ibu.



Tengahari itu selepas makan, mak menegur saya. "Kamu tengok dada Fathi turun naik tak tentu hala tu. Sikit-sikit terkejut sampai bergerak badan waktu tidur. Pergi tidur sebelah dia! Jangan bagi dia terkejut."

Selepas solat Zohor, dengan wudhuk yang masih ada saya memang terfikir untuk berkonfrontasi dengan anak sulung saya Fathi, 2 tahun. Ada sesuatu yang saya rasakan tidak betul. Tapi dia masih belum boleh bercakap lagi. Jadi, dengan cara ini sajalah saya boleh 'bercakap' dengannya.

Saya pegang dadanya yang berombak kencang itu dengan tangan kiri. Usap-usap kepalanya dengan tangan kanan. Dan berselawat sebanyak mungkin sehingga saya rasa saya sudah bersedia.

" Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal. Fathi tidur baik-baik ye. Nyenyak-nyenyak.. Jangan takut. Mak tak marah. Fathi tidur je. Mak temankan Fathi kat sebelah."

.
.

"Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal dengar kan cakap mak sekarang. Fathi tidur baik-baik.. Mak nak cakap ni. Kenapa Fathi selalu bangun malam? Kan mak dah bagi susu. Fathi bangun sejam, dua jam.. Tengahmalam pulak tu. Macamana mak nak tidur? Mak penat tau. Cuba Fathi bagitau mak kenapa sebenarnya? Kenapa Fathi tak boleh tidur ke? Ada orang kacau Fathi ke?"

.
.
.

'Fathi tidur sorang-sorang kat bawah. Mak dengan abah tidur dengan adik atas katil.'

"Ooo, Fathi takut tidur sorang-sorang ye. Fathi kan lelaki. Janganlah takut. Fathi dah besar sekarang. Nanti lambat laun Fathi kena tidur sorang-sorang jugak."

.
.
.

'Itu nanti. Bila tiba masanya. Sekarang tak nak.'

"Ok, lepas ni mulai malam ni kita tidur sama-sama atas katil eh. Dengan mak, dengan abah, adik kat ujung ok? Mak tidur kat sebelah kanan, abah tidur kat sebelah kiri Fathi sampai masanya nanti Fathi janji Fathi kena belajar tidur sendiri ok?"

.
.
.

'Ok'.

"Ok. Baik anak mak. Lagi satu mak nak tanya ni, Fathi marah kat mak ke? Fathi selalu baling-baling barang. Baling-baling makanan. Mak tak suka tau. Tak baik buat macam tu. Kalau Fathi taknak makan beri pada mak baik-baik, cakap taknak, geleng kepala. Kalau tak boleh buat pun, jangan baling-baling barang. Fathi selalu menangis tak pasal-pasal susah mak nak buat kerja tau. Fathi cuba bagitau mak. Apa Fathi rasa?"

.
.
.

'Mak asik dengan adik je.'

"Ooo pasal tu ye.. Adik masih kecik lagi. Kena bagi susu mak. Sebab tulah mak selalu dengan adik. Fathi kan dah besar. Dah jadi abang. Kenalah main sendiri. Pandai bawak diri. Fathi kan abang yang baik."

.
.
.

'Memanglah, tapi mak dah tak peluk Fathi lagi.'

"Ermmm, kadang-kadang mak terlupa. Fathi selalu menangis buat hal, jadi mak naik marah lah. Makan nasi taknak. Baling nasi. Baling mainan. Mak tak suka. Mak jadi selalu marah kat Fathi je macamana nak peluk. Tapi, mak tetap sayang Fathi. Lagipun, Fathi kan dah banyak dapat peluk dari atok dengan nenek. Atok dengan nenek boleh manjakan Fathi".

.
.

'Atok dengan nenek lain. Mak dengan abah lain.'

(Saya terkedu sebentar. Agak lama.) "Ok, baiklah. Lepas ni mak janji mak sayang Fathi banyak-banyak tiap-tiap hari. Mak akan berubah. Tapi, Fathi janji dengan mak, Fathi pun kena berubah. Jangan mengamuk tak tentu pasal lagi, taknak baling-baling makanan lagi, taknak bangun malam lagi, taknak gigit jari adik lagi ok?"

.
.
.

'Ok.'

"Macam tulah anak mak yg bijak... Mak saaaayaaaaangggggg Fathi! Lepas ni kalau mak terlupa lagi, Fathi kena bagitau mak baik-baik ok.. Takmoh nangis-nangis lagi..."

.
.

'Ok.'

"Sekarang, Fathi tidur baik-baik. Nyenyak-nyenyak. Semalam kan Fathi 4 kali bangun malam. Tak cukup tidur. Mak temankan Fathi tidur ye.." (Saya hanya memeluk erat tangannya sambil mulut masih lagi mencium dahinya..)...

Dan nafasnya kembali stabil. Dan senyap..

......................................................................................................................................................................



Dialog di atas bukan dibuat-buat. Ia datang dengan sendiri. BUKAN dalam bentuk bisikan. Saya hanya mengikut intuisi seorang yang telah melahirkan Fathi.

Saya tiada kelulusan dalam psikologi. Bukan juga pakar dalam bidang ini. Perbualan di atas hanyalah mengikut ilmu dan apa yang saya percaya tentang gelombang bawah sedar setiap manusia. Apalagi bagi seorang kanak-kanak yang masih suci lagi bersih ini. Sangat tulus.

Saya tak menyangka kepercayaan saya dan eksperimentasi saya terhadap anak saya ini berhasil sebegini rupa. Betul, saya tak menyangka! Niat saya hanya untuk membetulkan kesilapan saya tapi saya tak tahu di mana (saya tahu saya dah buat salah tapi tak tahu apa dia kesalahan saya). Dan selebihnya, itu dalam ilmu Allah yang dapat membimbing saya tentang tatacara yang betul dalam cuba memasuki zon gelombang bawah sedar si anak.

Perbualan ketika tidur dengan anak saya ini sudah berlaku beberapa bulan yang lalu semasa Fathi baru masuk ke usia 2 tahun pada Februari lalu. Fathi dapat adik baru ketika usianya 1 setengah tahun.

Semasa itu, saya akui saya agak kalut dan tertekan kerana si sulung secara tiba-tiba bangun malam dan menangis macam kena pukulan yang kuat di tengah malam. Tidak tentu masanya. Tahap kesabaran saya tercabar ketika sampai 2 jam sekali dia terbangun secara mengejut dan menangis di tempat tidur dengan kuat sekali. Mengalahkan adiknya yang perlu bangun menyusu malam!

Sudah banyak ayat dibaca, dihembus. Diberi susu ditolak. Bapaknya mahu angkat atau hanya berbaring di sebelah pun di sepaknya. Jika saya mendekat, lebih keras tangisannya. Boleh menjangkau 2 jam jika dibiarkan terus menangis. Hinggalah saya pujuk perlahan-lahan dan cakap seberapa banyak yang boleh yang saya sangat sedih dia menangis begitu sekali (hanya melalui hati). Barulah saya boleh angkat dia, bagi dia makan biskut dan beri dia 'cek katak' nya (ketika itu katak kesayangannya ini terlintas di hati saya). Dan serta merta dia tersenyap. Dan berbunyi, "wak. wak.. ummmmm.." Rupanya dia nak bagi cek katak makan sekali dengannya.

Hasilnya jam 3.30 pagi dengan badan yang lemah dan mata yang kelat, saya sedang menyuapkan anak dan katak kesayangannya makan biskut. Aduhhh!!!!! Saya terfikir, apa yang menyebabkan anak saya ini lebih sayangkan dan sangat selesa dengan kataknya berbanding saya sendiri seorang ibunya. Itu yang menyedarkan saya akan kesilapan saya. Bukan disebabkan 'mengada-ngada' dia.

Selepas perbualan tidur ini berlangsung, ia mengambil masa hampir 2 minggu untuk keadaan tenang kembali.

Paling awal perubahannya, dia nak makan nasi tapi mesti saya suap pakai tangan saya. Suap hanya dia seorang sambil bermain-main dan penuh dengan peluk-memeluk. Kemudian, barulah dia tidur tak bangun-bangun pada waktu malam. Ketika itu, saya sudah beritahu pada suami tentang peraturan baru ketika tidur. Tidur bersama-sama. Kemudian, beransur sedkit-sedikit dia tak lagi baling membaling barang atau makanan. Termasuk gigit jari adiknya.

Cuma, saya perasan sekarang dia hanya gigit jari adiknya apabila dia panggil saya tapi saya hanya menyahut dan tidak menoleh ke arahnya. Mungkin sebab masa tu saya sedang memasak atau menonton atau sembahyang. Asalkan saya atau suami tidak menoleh apabila dia panggil dia akan pergi dekat dengan adiknya dan gigit jari atau kaki si adik sampai menjerit!

Akhirnya, saya mendapat satu pengajaran berharga yang telah diajarkan oleh anak-anak saya.

Anak-anak kebiasaannya akan meragam dalam pelbagai cara dan dalam usia tertentu.

Ya, meragam/mengamuk (tantrum sindrom) itu biasa dan ada pada semua anak-anak. Lihatlah mereka dan akuilah kesalahan kita sendiri kerana dengan cara itu saja anak sedang berkomunikasi dengan kita tentang sesuatu.

Tak guna kita terus menerus memarahinya setiap kali dia mengundang amarah kita. Semua tindakan itu sebenarnya adalah protes terhadap apa yang kita telah lakukan kepada dia samada dia nak cakap, dia perlukan lebih perhatian atau kasih sayang, atau menegur tentang ketidakadilan kita.

Kasar hukuman kita kepadanya, lebih kasar ragam dia akan tunjukkan. Kerana dia tidak mengerti apa-apa kecuali ingin meluahkan saja. Tapi tak tahu bagaimana. Dan baginya, adakah itu juga salah?

Terbukalah untuk mempelajari dan memahaminya! Tak guna jawatan yang tinggi atau kelulusan pendidikan yang terbaik sekalipun jika perkataan si kecil pun tidak dapat kita fahami. Moga catatan ini dapat menjadi panduan kepada ibubapa yang runsing dalam menangani atau sekurang-kurangnya mengawal tantrum sindrom di kalangan anak-anak.

Jumaat, 20 Mei 2011

Coklat ke sekolah!

Sempena Hari Guru 16 Mei lepas, saya telah menerima tempahan ke dua buah sekolah. 100 batang lollychoc campur-campur untuk Koperasi Maahad Johor (terima kasih Cikgu Zie) dan sebuah SK di Pontian oleh teman sekolah saya yang dulu (maaf lupa nak tanya nama sekolahnya). 40 batang lollychoc & 40 biji mini bar (terima kasih cikgu Mazirah) untuk dijual bagi tujuan kumpul duit kebersihan kelas katanya. Siap ambil order terlebih dahulu! Sangat efisyen budak-budak SK ini. Kagum! :)


Ini design terbaru saya buat. Masukkan sekali untuk Maahad Johor. RM1 sebatang. Tapi, kalau nak order design ini lagi sudah tiada sebab corak ini sangat terhad.


Kira coklat design ini limited edition lah.. Beruntunglah pelajar-pelajar Maahad Johor yang membelinya! ;)


Ini juga hasil mould baru! Saya suka coklat bunga ni. Cute!


Dan cantik juga!


Di bawah ini juga hasil mould baru. Tapi, saya khaskan coklat ini untuk cikgu-cikgu kesayangan Nur Batrisya Amira & Nur Adreena Amira bt Ramzi di SK Sri Pulai.



Mana-mana cikgu yang dapat coklat ini, terima kasih banyak-banyak kerana menjadi guru kesayangan mereka berdua. Walaupun anak-anak saya masih kecil, belum bersekolah lagi, tapi menyediakan coklat untuk guru kesayangan dua amira ini dah cukup buatkan saya gembira sama seperti anak sendiri! Terima kasih kerana mengajar dan menyayangi anak-anak yatim ini.



Dan akhirnya, inilah semua hasilnya untuk dua hari yang penuh bercoklat. Sampai nak tidur pun mata terbayangkan coklat!



Oooo ye, ini pula order sesaja cikgu Mazirah untuk makan-makan. Strawberry coklat. 500gm (29 biji) RM 35. Saya salut keseluruhan strawberry ini dengan coklat. Sebab coklat tester (suami) kata sebelum ni coklat tak terasa kat strawberry tu, sikit sangat. Jadi, kali ni saya salut setebal yang boleh supaya coklatnya terasa. Tak cantik sangat jadinya.. Asalkan puas hati memakannya ok apa.. hehe..



Info : Lollychoc sebegini amat sesuai untuk dijual di koperasi sekolah saya kira selain daripada coklat bar. Lebih murah, lebih senang untuk budak-budak makan!






Percepatkan pernikahan anak.

Saya tak pasti ini bulan apa.. Dalam masa 24 jam saja saya menerima 3 emel dan 1 private message yg berkaitan mengandung luar nikah.. Alla...